GAMBAR hiasan. FOTO Arkib Reuters
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib Reuters
Muhammad Saufi Hassan

Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan kritikan terbuka terhadap imam mujtahid, barisan ilmuwan silam dan cendekiawan Islam yang seharusnya dihormati atas keilmuan mereka.

Kritikan terbuka ini dipelopori oleh beberapa individu dan kemudiannya didukung oleh pendukung 'fahaman' mereka yang secara terbuka bukan saja mengkritik imam berkenaan sebaliknya menghamburkan kata-kata cercaan yang kotor dan tidak beradab.

Ini adalah satu darjah kebiadapan paling tinggi dilakukan oleh segelintir kelompok pendukung fahaman yang gemar membidaahkan perbuatan orang lain, gemar menghumban amalan umat Islam ke dalam syirik dan hanya pandangan mereka saja yang 'terpaling benar'.

Terkini, golongan berkenaan 'membuka ruang' dengan kritikan terhadap Imam Syafii, malah ada dalam kalangan pendokong fahaman ini yang menggelar Imam Syafii dengan panggilan 'Capie' seolah-olah merendahkan peranan besar tokoh berkenaan.

Mungkin pendukung golongan ini serta pemuka fahaman ini terlupa dengan keilmuwan yang besar dimiliki oleh Imam Syafii dan suka penulis ingatkan tentang ketokohan ringkas Imam Syafii.

Semua sedia maklum Imam Syafii adalah seorang mujtahid mutlak yang menguasai pelbagai cabang ilmu. Oleh itu, Imam Syafii juga seorang ulama yang menguasai bidang akidah dengan cukup baik. Namun, timbul persoalan kenapakah kita yang bermazhab Syafii dalam fiqh, tidak mengikuti mazhab Syafii dalam bidang akidah? Bahkan di Malaysia sudah dibuat suatu ketetapan bahawa fiqh mengikut mazhab Syafii, akidah mengikut manhaj Asyairah Maturidiah dan tasawwuf pula mengikuti Imam Al-Ghazali serta Abu Junaid Al-Baghdadi.

Memetik tulisan Setiausaha Muzakarah Hadis dan Syariat (Muhadis), Ustaz Hafiz Za'farani menyatakan bahawa bagi menjelaskan persoalan ini, kita perlu mengetahui setiap ulama itu mempunyai tumpuan mereka tersendiri. Sebagai contoh, zaman Abu Bakar as-Siddiq mempunyai keutamaan untuk memelihara ketulenan agama Islam daripada golongan murtad, nabi palsu dan mereka yang ingkar dengan kefarduan zakat.

Demikian juga pada setiap era pemerintahan khalifah yang seterusnya, mereka mempunyai keutamaan sendiri. Oleh itu, ulama juga mempunyai keutamaan tersendiri seperti Imam Asy-Syafii yang memberi keutamaan kepada bidang usul fiqh dan fiqh sehingga terhasil mazhab beliau.

Bahkan, Imam Syafii yang sibuk bergelumang dalam perbahasan fiqh juga terkenal dengan pendapatnya yang baharu selepas berhijrah ke Mesir, pendapat tersebut dikenali sebagai qaul jadid (pendapat baharu). Secara tidak langsung, kita dapat memahami Imam Syafii banyak memberi tumpuan dan keutamaan pada bidang fiqh di sepanjang hidupnya. Oleh yang demikian, tidak ada suatu bab akidah yang beliau susun melainkan ada beberapa yang dinisbahkan pada beliau dan ulama berselisih faham berkenaan pensabitannya.

Seterusnya walaupun sudah masyhur Imam Syafii antara ulama hadis yang sangat mahir dan menghafal ratusan ribu hadis, kita perlu tahu Imam Syafii juga tidak menyusun kitab hadis seperti yang dilakukan oleh Imam Ahmad bin Hanbal, Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Abu Daud dan lain-lain.    

Oleh itu, dalam bidang hadis kita mengikuti susunan yang dibuat oleh penyusun kitab hadis yang masyhur seperti kitab Sahih Al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abu Daud, Sunan At-Tirmidzi, Sunan An-Nasaie dan Sunan Ibnu Majah. Walaupun ada satu kitab hadis yang dinamakan Musnad Asy-Syafii, ulama masih membahaskan pensabitan kitab ini pada Imam Syafii. Ada yang mengatakan ia dihimpunkan oleh murid beliau dan bukan hasil penulisannya sendiri. Oleh itu, tidak salah jika dalam fiqh kita bermazhab Syafii manakala dalam hadis kita mengikut penilaian ulama yang disebutkan di atas.

Demikian juga dalam bidang akidah. Oleh kerana Imam Syafii tidak menyusun kitab khusus dalam bidang akidah, maka kita mengikut silibus akidah yang disusun Imam Abu Hasan Al-Asy'ari dan Imam Abu Mansur Al-Maturidiah.   

Penyusunan manhaj atau silibus yang dibuat kedua-dua imam ini hampir sama dengan perkembangan setiap mazhab, khususnya mazhab Syafii. Hal ini kerana selepas asas-asas telah disusun oleh kedua-dua imam itu, murid-muridnya memberi khidmat yang luar biasa dalam mensyarah, menjelas dan menyebarkan silibus yang dibuat oleh kedua-dua pengasas tersebut.

Oleh itu, kini manhaj akidah terbesar yang diakui mengikuti akidah Ahli Sunah Waljamaah hanyalah Asyairah dan Maturidiah yang pengikutnya berada di serata dunia. Kebanyakan pengikut mazhab Syafii, Maliki dan fudhala' Hanabilah mengikuti manhaj Asyairah. Manakala, kebanyakan pengikut mazhab Hanafi pula mengikuti manhaj Maturidiah. Sehingga kini, golongan yang tidak mengikuti manhaj Asyairah Maturidiah hanyalah golongan Syiah dan Wahhabi yang tidak diterima pengamalannya di Malaysia.

Hal yang sama berlaku dalam bidang tasawuf, ulama mengatakan bahawa penyusunan ilmu tasawuf mengalami kelewatan berbanding ilmu lain kerana pada peringkat awal Islam tasawuf tidak perlu kepada pengajaran secara khusus dan berkitab. Hal ini kerana ilmu tasawuf dipelajari secara tidak langsung melalui akhlak guru dan penghayatan daripada hadis Nabi yang masih kuat dalam hati umat Islam ketika itu. Hal ini terbukti dengan kata-kata Abdullah bin Mubarak seorang ulama salafussoleh yang terkenal mengakui beliau mempelajari adab selama 30 tahun berbanding ilmu lain yang dipelajari selama 20 tahun. Demikian juga Imam Abdullah bin Wahhab mengatakan beliau mempelajari adab Imam Malik lebih banyak daripada mempelajari ilmunya.   

Namun, setelah beberapa kurun berlalu, keruntuhan akhlak umat Islam semakin membarah sehingga perlu kepada penyusunan ilmu tasawuf secara terperinci dan kemas. Antara ulama yang muncul mengambil tanggungjawab ini ialah Imam Abu Junaid Al-Baghdadi (wafat 297), Imam Al-Ghazali (wafat 505), Imam Abu Hasan Asy-Syazili (wafat 656) dan Imam Ibnu Athaillah as-Sakandari (wafat 708). Hal ini menyebabkan penyusunan ilmu tasawuf lebih lewat berbanding ilmu fiqh, hadis, akidah dan lain-lain. Atas dasar itu, kita mengambil silibus ilmu tasawuf yang disusun oleh Imam al-Ghazali dan tidak mengambil tasawuf Imam Syafii kerana beliau tidak terkehadapan dalam ilmu tasawuf.

Kesimpulannya, ulama Islam terbuka dan memahami kenapa akidah, tasawuf dan ilmu lain kita tidak mengikuti mazhab Syafii. Hal ini kerana Imam Syafii lebih menonjol dalam bidang fiqh berbanding ilmu lain. Manakala dalam bidang lain, ada tokohnya masing-masing yang diakui oleh umat Islam. Penerimaan umum umat Islam ini juga menunjukkan reda Allah kepada hal tersebut kerana semua yang berlaku sesuai dengan takdir dan kehendak Allah jua. Oleh yang demikian, kita juga perlulah menerima hal ini dengan dada yang lapang dan minda luas kerana ia adalah berkaitan perjalanan penyusunan ilmu sesuai dengan ketentuan Allah. Wallahu 'alam.

Penulis Wartawan Harian Metro

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 24 January 2024 @ 7:00 AM