Mekah. FOTO AFP
Mekah. FOTO AFP
Oleh Ustaz Hafiz Za’farani

SEMUA sedia maklum Imam Syafie adalah seorang mujtahid mutlaq yang menguasai pelbagai cabang ilmu. Oleh itu, Imam Syafie juga seorang ulama yang menguasai bidang akidah dengan cukup baik. Namun, timbul persoalan kenapakah kita yang bermazhab Syafie dalam fiqh, tidak mengikuti mazhab Syafie dalam bidang akidah? Bahkan di Malaysia sudah dibuat suatu ketetapan bahawa fiqh mengikut mazhab Syafie, akidah mengikut manhaj Asyairah Maturidiah dan tasawwuf pula mengikuti Imam Al-Ghazali serta Abu Junaid Al-Baghdadi.

Bagi menjelaskan persoalan ini, kita perlu mengetahui setiap ulama itu mempunyai tumpuan mereka tersendiri. Sebagai contoh, zaman Abu Bakar As-Siddiq mempunyai keutamaan untuk memelihara ketulenan agama Islam daripada golongan murtad, nabi palsu dan mereka yang ingkar dengan kefarduan zakat.

Demikian juga pada setiap era pemerintahan khalifah yang seterusnya, mereka mempunyai keutamaan sendiri. Oleh itu, ulama juga mempunyai keutamaan tersendiri seperti Imam Asy-Syafie yang memberi keutamaan kepada bidang usul fiqh dan fiqh sehingga terhasil mazhab beliau. Bahkan, Imam Syafie yang sibuk bergelumang dalam perbahasan fiqh juga terkenal dengan pendapatnya yang baharu selepas berhijrah ke Mesir, pendapat tersebut dikenali sebagai qaul jadid (pendapat baharu). Secara tidak langsung, kita dapat memahami Imam Syafie banyak memberi tumpuan dan keutamaan pada bidang fiqh di sepanjang hidupnya. Oleh yang demikian, tidak ada suatu bab akidah yang beliau susun melainkan ada beberapa yang dinisbahkan pada beliau dan ulama masih berselisih faham berkenaan pensabitannya.

Seterusnya walaupun sudah masyhur bahawa Imam Syafie antara ulama hadis yang sangat mahir dan menghafal ratusan ribu hadis, kita perlu tahu Imam Syafie juga tidak menyusun kitab hadis seperti yang dilakukan oleh Imam Ahmad bin Hanbal, Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Abu Daud dan lain-lain. Oleh itu, dalam bidang hadis kita mengikuti susunan yang dibuat oleh penyusun kitab hadis yang masyhur seperti kitab Sahih Al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan Abu Daud, Sunan At-Tirmidzi, Sunan An-Nasaie dan Sunan Ibnu Majah. Walaupun ada satu kitab hadis yang dinamakan Musnad Asy-Syafie, ulama masih membahaskan pensabitan kitab ini pada Imam Syafie. Ada yang mengatakan ia dihimpunkan oleh murid beliau dan bukan hasil penulisannya sendiri. Oleh itu, tidak salah jika dalam fiqh kita bermazhab Syafie manakala dalam hadis kita mengikut penilaian ulama yang disebutkan di atas.

Demikian juga dalam bidang akidah. Oleh kerana Imam Syafie tidak menyusun kitab khusus dalam bidang akidah, maka kita mengikut silibus akidah yang disusun Imam Abu Hasan Al-Asy'ari dan Imam Abu Mansur Al-Maturidiah. Penyusunan manhaj atau silibus yang dibuat oleh kedua-dua imam ini hampir sama dengan perkembangan setiap mazhab, khususnya mazhab Syafie. Hal ini kerana selepas asas-asas telah disusun oleh kedua-dua imam itu, murid-muridnya memberi khidmat yang luar biasa dalam mensyarah, menjelas dan menyebarkan silibus yang dibuat oleh kedua-dua pengasas tersebut. Oleh itu, kini manhaj akidah terbesar yang diakui mengikuti akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah hanyalah Asyairah dan Maturidiah yang pengikutnya berada di serata dunia. Kebanyakan pengikut mazhab Syafie, Maliki dan fudhala' Hanabilah mengikuti manhaj Asyairah. Manakala, kebanyakan pengikut mazhab Hanafi pula mengikuti manhaj Maturidiah. Sehingga kini, golongan yang tidak mengikuti manhaj Asyairah Maturidiah hanyalah golongan Syiah dan Wahhabi yang tidak diterima pengamalannya di Malaysia.

Hal yang sama berlaku dalam bidang tasawuf, ulama mengatakan bahawa penyusunan ilmu tasawuf mengalami kelewatan berbanding ilmu lain kerana pada peringkat awal Islam tasawuf tidak perlu kepada pengajaran secara khusus dan berkitab. Hal ini kerana ilmu tasawuf dipelajari secara tidak langsung melalui akhlak guru dan penghayatan daripada hadis Nabi yang masih kuat dalam hati umat Islam ketika itu. Hal ini terbukti dengan kata-kata Abdullah bin Mubarak seorang ulama salafussoleh yang terkenal mengakui beliau mempelajari adab selama 30 tahun berbanding ilmu lain yang dipelajari selama 20 tahun. Demikian juga Imam Abdullah bin Wahhab mengatakan beliau mempelajari adab Imam Malik lebih banyak daripada mempelajari ilmunya. Namun, setelah beberapa kurun berlalu, keruntuhan akhlak umat Islam semakin membarah sehingga perlu kepada penyusunan ilmu tasawuf secara terperinci dan kemas. Antara ulama yang muncul mengambil tanggungjawab ini ialah Imam Abu Junaid Al-Baghdadi (wafat 297), Imam Al-Ghazali (wafat 505), Imam Abu Hasan Asy-Syazili (wafat 656) dan Imam Ibnu Athaillah As-Sakandari (wafat 708). Hal ini menyebabkan penyusunan ilmu tasawuf lebih lewat berbanding ilmu fiqh, hadis, akidah dan lain-lain. Atas dasar itu, kita mengambil silibus ilmu tasawuf yang disusun oleh Imam Al-Ghazali dan tidak mengambil tasawuf Imam Syafie kerana beliau tidak terkehadapan dalam ilmu tasawuf.

Kesimpulannya, ulama Islam terbuka dan memahami kenapa akidah, tasawuf dan ilmu lain kita tidak mengikuti mazhab Syafie. Hal ini kerana Imam Syafie lebih menonjol dalam bidang fiqh berbanding ilmu lain. Manakala dalam bidang lain, ada tokohnya masing-masing yang diakui oleh umat Islam. Penerimaan umum umat Islam ini juga menunjukkan reda Allah kepada hal tersebut kerana semua yang berlaku sesuai dengan takdir dan kehendak Allah jua. Oleh yang demikian, kita juga perlulah menerima hal ini dengan dada yang lapang dan minda luas kerana ia adalah berkaitan perjalanan penyusunan ilmu sesuai dengan ketentuan Allah. Wallahu 'alam.

Penulis Setiausaha Muzakarah Hadis dan Syariat (Muhadis)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 12 September 2020 @ 6:30 AM