SUMBANGAN Imam Abu Hanifah dalam bidang fiqah amat besar.  FOTO Arkib NSTP
SUMBANGAN Imam Abu Hanifah dalam bidang fiqah amat besar. FOTO Arkib NSTP
Dr Mohd Khafidz Soroni

Pada kurun kedua Hijrah, muncul perselisihan ilmiah yang masyhur di antara aliran Ahl al-Hadith yang mengutamakan hadis dalam pendalilan hukum dan aliran Ahl ar-Ra'yi yang menggunakan ijtihad dalam memahami nas syarak. Pergeseran antara dua aliran ini cukup sengit hingga ada yang menuduh pihak lawan dengan tohmahan yang tidak benar.

Aliran Ahl ar-Ra'yi dipelopori oleh Imam Abu Hanifah yang dilahirkan di Kufah pada 80H dan meninggal dunia di Baghdad pada 150H. Nama sebenar Abu Hanifah ialah an-Nu'man bin Thabit bin an-Nu'man atau Zuta al-Kufi, berketurunan Parsi.

Beliau tokoh mujtahid Islam yang terkenal mengasaskan mazhab Hanafi. Mazhab beliau tersebar dan menjadi ikutan paling ramai di serata dunia seperti Mesir, Turki, Syria, Iraq, India, Pakistan, Rusia dan China.

Beliau dianggap tergolong dalam kalangan tabiin kerana sempat melihat sejumlah sahabat Nabi SAW antaranya Anas bin Malik, Abdullah bin Abi Aufa, Sahl bin Saad, Amir bin Wathilah, Amru bin Huraith, Wathilah bin al-Asqa' dan Abdullah bin Unais.

Oleh itu, terdapat beberapa hadis antara beliau dengan Nabi SAW hanya melalui seorang perantara sahaja yang dipanggil wuhdaniyyat berjumlah empat atau tujuh hadis. Antara sanad tertingginya juga ialah antara beliau dengan Nabi SAW hanya melalui dua perantara yang dipanggil thuna'iyyat berjumlah 219 hadis.

Sebelum beliau berkecimpung dalam ilmu, beliau seorang pemuda yang sibuk berniaga. Sehinggalah Imam as-Sya'bi menegurnya setelah melihat kecerdikannya yang cukup luar biasa. Sejak itu, beliau berubah memberi perhatian terhadap ilmu sepenuhnya.

Beliau berguru dengan imam Kufah, Hammad bin Abi Sulaiman selama 18 tahun. Beliau turut belajar dengan ramai ulama tabiin seperti Ata'bin Abi Rabah, Ibn Syihab, 'Abd ar-Rahman bin Hurmuz, Nafi', Amru bin Dinar, Muhammad al-Baqir, Qatadah dan Alqamah bin Marthad.

Beliau mengembara untuk mempelajari hadis dan amat mengambil berat terhadapnya bermula pada 100H dan seterusnya sehingga mampu menghimpunkan seluruh ilmu yang ada di Kufah pada zamannya. Bilangan keseluruhan gurunya dikatakan seramai 4,000 orang. Beliau mula mengajar dan mengambil alih tempat gurunya, Hammad bin Abi Sulaiman hanya setelah kewafatannya iaitu pada 120H ketika berusia 40 tahun.

Melihat sumbangan besar beliau dalam bidang fiqah adalah amat sukar diterima kritikan yang mengatakan beliau lemah dalam bidang hadis. Jika kurang memberi fokus terhadap hadis, nescaya beliau tidak akan mampu mengistinbatkan banyak hukum fiqah.

Adapun tentang sedikit riwayat hadisnya, tidak menunjukkan sedikitnya hadis yang beliau ketahui. Namun, ia kerana fokus utama beliau ialah mengistinbatkan hukum daripada hadis, bukan meriwayatkannya. Dikatakan, persoalan fiqah Imam Abu Hanifah mencapai jumlah 500,000 masalah. Jumlah ini bertepatan dengan apa yang dicatatkan dalam kitab al-Wasiyyah, beliau meriwayatkan sebanyak 500,000 hadis.

Imam Murtadha al-Zabidi cuba menghimpunkan hadis yang menjadi dalil mazhabnya dalam kitabnya 'Aqd al-Jawahir al-Munifah fi Adillah Abi Hanifah. Terkini, Syeikh Latifur Rahman al-Bahraiji al-Qasimi berusaha mengumpulkan seluruh riwayatnya di dalam kitab al-Mausu'ah al-Hadithiyyah li Marwiyyat al-Imam Abi Hanifah yang terdiri daripada 20 jilid. Jumlah ditemui adalah sebanyak 10,588 hadis dan athar.

Adapun dakwaan beliau menyalahi hadis maka hakikatnya tidaklah begitu melainkan kerana faktor tertentu, seperti hadis berkenaan tidak cukup kuat atau tidak sampai kepadanya. Kata Imam Abu Yusuf: "Tidak ada orang yang kulihat lebih alim dalam mentafsirkan hadis selain Abu Hanifah dan beliau lebih mahir mengenai hadis sahih daripadaku."

Imam Abu Hanifah terkenal sebagai imam Ahl ar-Ra'yi yang menggunakan ijtihad dalam memutuskan sesuatu hukum apabila tidak terdapat di dalam al-Quran dan sunah. Beliau melatih anak muridnya dan menggalakkan mereka agar berijtihad. Pengaruh besarnya dalam fiqah disimpulkan oleh Imam as-Syafie, katanya: "Semua manusia bergantung dalam bidang fiqah kepada Abu Hanifah."

Beliau berjaya mendidik ramai anak murid yang terkenal seperti Zufar bin al-Huzail, Abdullah bin al-Mubarak, al-Qadhi Abu Yusuf, Muhammad bin al-Hasan, Waki' bin al-Jarrah, Yazid bin Harun, Abu Muti' al-Balkhi dan al-Hassan bin Ziyad al-Lu'lu'i.

Antara karya yang dihasilkan oleh beliau ialah kitab al-Athar, al-Fiqh al-Akbar, al-Fiqh al-Absat, al-'Alim wal-Muta'allim, Risalah ila 'Uthman al-Batti dan al-Wasiyyah.

Beliau dipenjara dan disebat kerana menolak tawaran sebagai kadi besar dalam Kerajaan Abbasiyyah. Selepas lima hari, beliau meninggal dunia pada usia 70 tahun dan dikebumikan di Baghdad.

Penulis Pensyarah dan Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Februari 2021 @ 7:05 AM