UMAT Islam dianjurkan menyebarkan kebaikan dan menghormati ulama dan ilmuan seperti diajar Rasulullah SAW. - Gambar hiasan
UMAT Islam dianjurkan menyebarkan kebaikan dan menghormati ulama dan ilmuan seperti diajar Rasulullah SAW. - Gambar hiasan
Oleh Dr Mohd Khafidz Soroni

Antara tanda akhir zaman ialah munculnya golongan yang mencaci dan mencerca golongan umat Islam yang awal iaitu golongan Salaf. Kemunculan golongan ini disebabkan sifat taasub melampau hingga mereka sanggup membongkar semula fitnah-fitnah yang berlaku di kalangan umat Islam yang awal itu tanpa ilmu yang mencukupi dan kefahaman yang menyeluruh. Antara fitnah berkenaan ialah pertelingkahan yang berlaku antara para sahabat RA dan pergeseran yang tercetus antara aliran Ahli al-Hadith dan Ahli ar-Ra'y.  

Baru-baru ini terdapat segelintir kumpulan taasub yang cuba mempopularkan semula tohmahan sesat dan kufur kepada Imam Abu Hanifah (w. 150H), tokoh mujtahid Islam, pelopor aliran Ahli ar-Ra'y dan pengasas Mazhab Hanafi. Malah, termasuk dalam kalangan tabiin kerana sempat melihat sejumlah sahabat Nabi SAW, seperti Anas bin Malik RA, 'Abdullah bin Abi Aufa RA, Sahl bin Saad RA, 'Amir bin Wathilah RA, 'Amru bin Huraith RA, Wathilah bin al-Asqa' RA dan 'Abdullah bin Unais RA. Jelasnya, beliau termasuk ulama Salaf yang hidup dalam kurun yang terbaik, seperti sabda Rasulullah SAW: "Sebaik-baik kurun adalah kurunku, kemudian orang-orang yang datang setelah mereka, kemudian orang-orang yang datang setelah mereka." (Riwayat al-Bukhari)

Sedangkan tohmahan tersebut tidak benar dan telah dijawab secara tuntas oleh ramai ulama seperti Syeikh Muhammad Zahid al-Kawthari dalam  Ta'nib al-Khatib 'ala Ma Saqahu fi Tarjamah Abi Hanifah min al-Akazib, Syeikh Muhammad Abu Zahrah dalam  Abu Hanifah Hayatuhu wa 'Asruhu  dan sebagainya.

Termasuk golongan Salaf ialah sahabat RA. Namun, kumpulan Syiah Rafidhah gemar mencaci ramai para sahabat RA seperti 'Aisyah RA, Mu'awiyah RA, bahkan Abu Bakr RA dan 'Umar RA disebabkan mereka kononnya membenci dan memusuhi 'Ali bin Abi Talib RA dan Ahlul Bait. Golongan anti hadis pula mencaci Abu Hurairah RA kerana kononnya berdusta atas nama Rasulullah SAW. Sedangkan Rasulullah SAW bersabda: "Janganlah kamu mencaci sahabatku. Demi Allah yang jiwaku berada dalam kekuasaan-Nya, sekiranya seseorang daripada kamu membelanjakan emas sebesar bukit Uhud sekali pun, nescaya tidak akan dapat menyamai satu cupak salah seorang mereka, bahkan setengah cupak daripadanya yang dibelanjakan ke jalan Allah." (Riwayat Muslim)  

Kemunculan golongan sebegini sebenarnya sudah dikhabarkan oleh Nabi SAW. Terdapat banyak jalan riwayat hadis mengenainya daripada Jabir RA, Abu Umamah RA, 'Aisyah RA, Mu'az RA, 'Ali RA, Abu Hurairah RA dan 'Auf bin Malik RA. Meskipun kesemua jalan riwayat ini daif, namun ia mampu mengukuhkan antara satu sama lain serta membuktikan wujudnya apa
yang dinyatakan.

Diriwayatkan daripada Jabir RA daripada Nabi SAW sabdanya: "Jika golongan akhir umat ini melaknat golongan awalnya, lalu sesiapa yang menyembunyikan satu hadis, maka ia telah menyembunyikan apa yang telah diturunkan oleh Allah." (Riwayat al-Bukhari dalam at-Tarikh al-Kabir, Ibn Majah dalam Sunannya dan Ibn Abi 'Asim dalam al-Sunnah dengan sanad daif)

Diriwayatkan daripada Abu Umamah RA katanya: Sabda Rasulullah SAW: "Kiamat tidak akan berlaku sehinggalah golongan akhir umat ini melaknat golongan awalnya. Ketahuilah, ke atas merekalah turunnya laknat itu." (Riwayat Ibn Bisyran dalam Amalinya dan Ibn Battah dalam al-Ibanah dengan sanad daif)

Diriwayatkan daripada 'Aisyah RA katanya: "Kamu sekalian diperintahkan supaya beristighfar untuk golongan terdahulu kamu, namun kamu pula mencaci mereka. Sesungguhnya aku mendengar Nabi kamu SAW bersabda: "Tidak akan binasa umat ini (terjadi Kiamat) hinggalah golongan akhirnya melaknat golongan awalnya." (Riwayat at-Tabarani dalam al-Awsat dengan sanad daif)

Diriwayatkan daripada Mu'az RA katanya: Sabda Nabi SAW: "Apabila munculnya perkara-perkara bidaah dan golongan akhir umat ini melaknat golongan awalnya. Maka, sesiapa yang mempunyai ilmu, hendaklah ia sebarkannya. Sesungguhnya orang yang menyembunyikan ilmu pada hari itu adalah seperti orang yang menyembunyikan apa yang diturunkan kepada Nabi Muhammad." (Riwayat Ibn 'Asakir dalam Tarikh Dimasyq dan al-Dailami dalam Musnad al-Firdaus dengan sanad daif)

Diriwayatkan daripada 'Ali RA katanya: Rasulullah SAW bersabda: "Apabila umatku melakukan lima belas perkara, maka bala bencana akan menimpa mereka," kemudian disebut antaranya: "Golongan akhir umat ini melaknat golongan awalnya." (Riwayat at-Tirmizi, katanya: Hadis gharib). Hadis ini turut disokong oleh hadis Abu Hurairah RA dengan sedikit perbezaan lafaz (Riwayat at-Tirmizi, katanya: Hadis  gharib), dan hadis 'Auf bin Malik RA yang berbeza lafaz, namun mengandungi makna yang hampir sama. (Riwayat at-Tabarani dalam al-Kabir dengan sanad daif)

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (INHAD), Universiti Islam Selangor (UIS)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 21 Mei 2023 @ 7:01 AM