BERZIKIR selepas solat menjadi amalan hamba-Nya yang taat dalam mengikut petunjuk al-Quran dan al-sunah. FOTO Arkib NSTP
BERZIKIR selepas solat menjadi amalan hamba-Nya yang taat dalam mengikut petunjuk al-Quran dan al-sunah. FOTO Arkib NSTP
Dr Zamihan Mat Zin al-Ghari

Seseorang Muslim disunatkan untuk berzikir selepas solat. Iaitu setelah selesai mengucapkan salam. Ketentuan ini berdasarkan kepada beberapa dalil al-Quran dan disokong oleh hadis sahih. Terdapat beberapa zikir khusus selepas solat Subuh dan Maghrib antaranya: 

Zikir yang pertama diucapkan setelah selesainya solat adalah istighfar (meminta keampunan dari Allah). Ketentuan ini berdasarkan kepada hadis Tsauban RA. Beliau mengatakan: "Apabila Rasulullah SAW selesai menunaikan solat, Baginda SAW mengucapkan istighfar sebanyak tiga kali. Lalu Baginda membaca: Allahumma anta as-salam wa minka as-Salam tabarakta ya zaljala li wal ikram. (Ya Allah Engkaulah sumber keamanan dan dariMu keamanan itu, engkaulah Tuhan yang maha mulia dan mempunyai ketinggian dan kemuliaan)." (Hadis Riwayat Muslim)

Daripada Zaid bin Harithah (orang suruhan Nabi SAW) berbunyi: "Sesiapa yang mengucapkan astaghfirullah hal 'azim al-ladzi la ilah haillah huwal hayyul qayyum wa atubu ilaih maka akan diampunkan dosanya meskipun dia lari dari medan perang." (Riwayat Imam Ahmad)

Daripada Abu Dzar al-Ghifari dan Abd Rahman bin Ghannam meriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda: "Sesiapa yang membaca: La ilaha illah wahdahu la syarikalah. Lahu al-Mulk walahu al-Hamdu yuhyi wa yumit. Wa huwa 'ala kulli syain Qadir... sambil duduk membengkokkan kakinya sebelum bangun pergi pada solat Maghrib dan Subuh sebanyak sepuluh kali maka setiap satu lafaz yang diucapkannya akan dicatatkan baginya sepuluh kebaikan, dihapus sepuluh dosa dan diangkat baginya sepuluh darjat. Zikir itu juga menjadi perisai setiap bahaya bahkan menjadi penjaga daripada godaan syaitan yang terkutuk." (Hadis Riwayat al-Tirmizi di dalam Sunannnya)

Diriwayatkan daripada Sayyidina Muadz RA bahawa Rasululllah SAW bersabda: "Aku mewasiatkan kepadamu wahai Muadz supaya tidak meninggalkan zikir ini selepas solat iaitu: Allahumma 'ainni 'ala zikrika wa syukrika wa husni 'ala ibadatika. Maksudnya: "Ya Allah bantulah aku untuk mengingatiMu, mensyukuri limpah kurniaMu dan melaksanakan ibadah yang terbaik buatMu." (Hadis diriwayatkan oleh Ibn al-Sunni di dalam kitabnya 'Amal al-Yaum Wa Lailah, al-Suyuthi di dalam al-Jami' al-Saghir)

Diriwayatkan daripada Sayyidina Ali (semoga Allah meredhainya) berbunyi: "Apabila Rasulullah SAW selesai mengerjakan solat, Baginda mengucapkan salam lalu membaca (Allahummaghfirli ma qaddamtu wa ma akkhartu wa ma asrartu wa ma 'alantu wa ma asraftu wa ma anta 'alamu minni anta muwqaddimu wa anta muakhiru la ilaha illah anta). (Hadis diriwayatkan oleh Imam Ahmad,  Abu Daud,  al-Nisa'ie)

Diriwayatkan juga secara kuat daripada Rasulullah SAW bahawa Baginda pernah mengucapkan setelah selesai solatnya dengan lafaz: Allahumma la mania' lima a'thaita wa la mu'thia lima mana'ta. Wala yanfau' Dza al-jaddi minka al-Jadda.  Maksudnya: "Ya Allah, sesungguhnya tiada yang menegah apa yang engkau kurniakan. Dan tiada yang mampu memberi apa yang Dikau tegahkan. Dan tidak sesekali memberi manfaat kekayaan dan kemuliaan melainkan denganMu Ya Allah." (Riwayat Ibn Hibban 372 juz 5 dengan lafaz di atas. Manakala doa adalah seperti yang termaktub di dalam Muslim)

Imam Al-Hafiz Ibn Hajar al-Asqalani di dalam kitabnya Fath al-Bari juz 2 mengatakan: "Berkenaan dengan zikir ini terdapat beberapa lafaz tambahan yang masyhur dibaca oleh kaum Muslimin. Iaitu wala raada lima qadhaita. Lafaz tambahan ini terdapat di dalam al-Musnad bin Humaid". Bagi saya, isnad pada riwayat tersebut adalah sahih.

Selain berzikir, disunatkan juga bagi mereka yang selesai solat membaca ayat al-Kursi dan al-Ikhlas serta Muawwizatain (al-Nas dan al-Alaq). Hal ini berdasarkan kepada beberapa riwayat. Antaranya adalah: 

Diriwayatkan daripada al-Hasan bin Sayyidina Ali KWH bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang membaca ayat al-Kursi selepas solat fardu maka dia berada di dalam jagaan Allah sehingga pelaksanaan solat fardu yang lain." (diriwayatkan al-Bukhari m/s 325 juz 3, Muslim m/s 415 juz 1, Ibn Hibban di dalam Sahihnya m/s 373 juz 5 melalui sanad yang lain daripada Mughirah)

Diriwayatkan daripada Abi Umamah RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang membaca ayat al-Kursi selepas solat maka tidak ada yang menghalanginya daripada memasuki syurga kecuali kematiannya." (Hadis riwayat al-Thabrani di dalam Mu'jam al-Kabir m/s 84 juz 3 no: 2733)

Diriwayatkan daripada Uqbah bin 'Amir RA bahawa Rasulullah SAW menyuruhnya untuk membaca al-Muawwizatain (surah al-Falaq dan al-Nas) setiap kali selesai solat fardu." (Riwayat al-Nisa'ie di dalam Amal al-Yaum Wa Lailah no: 100 dengan isnad yang hasan)

Imam al-Nawawi mengatakan di dalam kitab al-Majmu' Syarh al-Muhadzab m/s 486 juz 3: "Maka sepatutnya bagi setiap orang (yang telah bersolat) membaca surah al-Ikhlas dan al-Muawwizatain."

Hadis selanjutnya daripada Sayyidina Abi Hurairah RA berbunyi bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesiapa yang bertasbih (subhnallah) setiap kali selesai solat sebanyak 33 kali, bertahmid (al-Hamdulillah) sebanyak 33 kali dan bertahlil (la ilaha illalah) sebanyak 33 kali jumlahnya menjadi 99 kali dan dia mengakhirkannya dengan (la ilaha illallah wahdahu la syarikalah lahul mulku wa lahul hamdu wa huwa 'ala kulli syai 'in qadir). (Tidak ada Tuhan yang berhak disembah melainkan Tuhan yang maha Esa. Tidak ada sekutu bagi-Nya. Hanya miliknya segala kekuasaan dan pujian. Dan Dialah Tuhan yang maha kuasa atas segala sesuatu) maka diampuni dosa-dosanya sekalipun sebanyak buih di laut." (Hadis riwayat Muslim di dalam Sahihnya m/s 418 juz 1)

Disunatkan juga berdoa setelah membaca wirid ataupun zikir yang disebutkan. Ini kerana doa yang dipohon setelah menunaikan solat fardu itu terlebih mudah untuk diperkenankan. Sayyidina Umamah RA mengatakan: "Doa apakah yang paling didengari oleh Allah"? Baginda menjawab: "Doa pada pertengahan malam yang akhir dan selepas dari solat fardu." (Hadis riwayat al-Tirmidzi di dalam sunannya m/s 527 juz 5 no :3499 dan hadis ini adalah sahih)

Dan disunatkan dalam doa-doa tersebut membaca selawat ke atas junjungan Nabi kita Sayyidina Muhammad SAW. Dan yang terbaiknya adalah di awal dan di akhir doa. Hal ini berdasarkan kepada hadis Baginda yang berbunyi: "Setiap doa tertutup dari perkenan Allah sehingga seseorang itu mengucapkan selawat ke atas Muhammad SAW dan kaum keluarga Muhammad SAW." (Riwayat al-Tirmidzi m/s 356 juz 2 daripada Sayyidina Umar secara mauquf)

Sayyidina Anas meriwayatkan: "Sesungguhnya Rasulullah SAW pernah menghampiri orang Arab Badwi sedang berdoa di dalam solatnya yang melafazkan doa dengan memuji Allah SWT. Lalu Baginda SAW menghadiahkan lelaki berkenaan dengan emas...." (Hadis ini diriwayatkan oleh Imam al-Thabrani di dalam al-Ausath. Ia juga ditashih oleh al-Damiri di dalam kitabnya Hayat al-Hayawan m/s 95 juz 2)

Kesimpulannya, dalil-dalil di atas mengandungi pensyariatan yang sangat jelas mengenai kesunahan untuk melafazkan wirid, zikir dan membaca selawat kepada Nabi SAW yang amat dikasihi Allah. Amalan seperti ini dilakukan oleh hamba-Nya yang taat dalam mengikut petunjuk al-Quran dan al-sunah. 

Ketika Baginda melihat ada orang yang memuji dan menyanjung Allah SWT serta berdoa kepada-Nya dengan doa rekaannya yang tersendiri ternyata Baginda tidak mencelanya (membidasnya). Bahkan turut memberinya hadiah. Situasi ini membuktikan perakuan Rasulullah SAW atas kesolehan seseorang yang telah memuji dan menyanjung Allah SWT. Semoga kita terdiri daripada kalangan hamba-hamba-Nya yang soleh.

Penulis Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penerbitan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 20 Februari 2021 @ 7:05 AM