GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Dr Nor Hazrul Mohd Salleh

PENDIDIKAN adalah teras kemajuan negara bangsa. Ilmu pula menjadi asas kepada keutuhan setiap bangsa dan menjadi tunjang kesejahteraan negara. Institusi sekolah menjadi asas kepada pembentukan seorang insan yang berjaya. Menghargai dan menghormati guru adalah menjadi kewajipan kepada setiap orang yang pastinya pernah menerima pendidikan daripada individu bergelar guru.

Betapa pentingnya pendidikan kepada seseorang individu ditegaskan oleh Allah SWT dalam firman-Nya yang bermaksud: "Katakanlah lagi (kepadanya): "Adakah sama orang-orang yang mengetahui dengan orang-orang yang tidak mengetahui? Sesungguhnya orang-orang yang dapat mengambil pelajaran dan peringatan hanyalah orang-orang yang berakal sempurna." (Surah al-Zumar, ayat 9)

Berdasarkan penegasan Allah SWT di dalam ayat di atas, maka jelas bahawa pentingnya ilmu kepada seseorang. Ilmu membezakan di antara yang benar dan yang batil (tidak benar). Maka dengan itu, seseorang yang berilmu pastinya akan berlandaskan kepada kebenaran di dalam hidupnya. Manakala, orang yang tidak berilmu akan sentiasa mencari-cari kebenaran bahkan akan tenggelam di dalam kejahilan. Dengan itu juga, sesuatu perkara atau tindakan dalam hidupnya tidak berdasarkan kepada asas yang benar dan fakta yang nyata.

Pentingnya menghormati dan menghargai jasa guru tidak dapat dinafikan lagi. Dengan titipan ilmu daripada guru, kita berada sebagaimana kita sekarang.

Semuanya bermula daripada seorang guru. Tanpa pengorbanan mereka dalam menghadapi kerenah murid, tidak akan menghasilkan seorang insan, sama ada dia sekarang bergelar perdana menteri atau rakyat biasa. Semuanya bermula daripada seorang guru.

Rasulullah SAW sangat menganjurkan supaya memuliakan guru.

Sabda Baginda yang bermaksud: "Bukanlah di kalangan umatku mereka yang tidak memuliakan orang yang lebih tua, mereka yang tidak menyayangi anak-anak kecil dan mereka yang tidak memberikan hak kepada guru kami." (Riwayat Ahmad)

Namun, situasi yang dihadapi sekarang kadang-kadang membawa kepada rasa tercalarnya rasa hormat kepada guru. Biar apa jua keadaan sekalipun, rasa hormat dan ketaatan kepada guru yang mendidik kita tidak boleh terhakis hanya dengan beberapa peristiwa membabitkan guru.

Hakikatnya, guru juga adalah insan biasa yang mempunyai kelemahan dan kekurangan. Namun, tidaklah kelemahan itu mengurangkan sedikit pun jasa dan pengorbanan mereka. Rasa hormat kepada guru mesti kekal sehingga ke akhir hayat murid.

Dalam menggariskan adab murid kepada guru, ulama meletakkan beberapa perkara. Pertama, hendaklah seseorang murid itu menghormati gurunya secara zahir dan batin. Kedua, dia tidak menunjukkan perbezaan pandangan dengan gurunya (walaupun diketahui kekurangan gurunya) dan tidak meneruskan berhujah dengannya dalam hal perbezaan itu. Ketiga, hendaklah dia berusaha mengamalkan ilmu yang diajar oleh gurunya mengikut keupayaannya.

Keempat, hendaklah dia jujur dengan gurunya dan tidak bersifat nifaq (hipokrit). Apa yang ditunjukkannya di hadapan gurunya adalah sama dengan tindakan di belakang gurunya. Kelima, dia tidak bergaul dengan orang yang buruk perangainya. Perkara ini akan membawa kepada akhlak tidak baik dan menyebabkannya susah belajar.

Dalam menghadapi dunia moden hari ini, seorang guru juga sudah pasti akan bersedia untuk menghadapi segala bentuk cabaran baharu dalam pendidikan. Dalam konteks pendidikan abad ke-21 yang sinonim dengan alam digital, seorang guru juga tentu akan meningkatkan ilmu dan kemahirannya, terutama dalam pendekatan Pengajaran dan Pembelajaran (PnP).

Pengalaman mengajar secara online (dalam talian) sepanjang tempoh PKP telah mengajar guru kita banyak ilmu baharu.

Kecanggihan dalam kaedah pengajaran yang diperkenalkan untuk menjamin penerusan proses pendidikan sepanjang tempoh itu sebenarnya telah menagih pengorbanan yang lebih daripada kemampuan biasa seorang guru.

Namun, berkat kesabaran, ketabahan dan keikhlasan guru untuk menyampaikan ilmu kepada murid mereka, maka proses pendidikan telah berlangsung dengan lancar. Tidak ada satu perkara pun yang terbantut dalam proses pendidikan di negara kita sepanjang tempoh berkenaan. Bahkan, proses pengajaran dan pembelajaran telah berlangsung dengan baik. Peperiksaan utama dijalankan dengan jaya dan murid dapat belajar bahkan menyambung pelajaran mereka ke peringkat lebih tinggi

Semua ini berkat pengorbanan dan jasa guru. Menghormati dan menghargai jasa guru tidak semestinya dengan hanya menyampaikan ucapan atau memberikan hadiah dalam bentuk material semata-mata. Malah, seorang guru pastinya tidak mengharapkan jasa mereka dibalas. Apatah lagi dengan kebaikan ataupun dengan penghargaan yang berbentuk material. Kita sebagai murid kepada seorang guru mestilah cuba dan berusaha untuk menaikkan martabat mereka di mata masyarakat umum.

Rasa kurang hormat sesetengah pihak kepada golongan guru mestilah dikikis dan dihapuskan. Apatah lagi jika ada pihak cuba merendah-rendahkan martabat guru lantaran sedikit kelemahan yang mungkin ada pada mereka.

Di samping penghormatan dan penghargaan berbentuk material, tiupan semangat dan sokongan kita kepada setiap usaha guru dalam mendidik anak bangsa hendaklah disokong. Asalkan perkara itu membawa kebaikan kepada seluruh warga negara kita. Sempena Hari Guru wajar diadakan program membawa murid lama bertemu dengan guru mereka. Ini akan mengeratkan hubungan murid dengan guru.

Begitulah pentingnya guru kepada kita. Jasa dan pengorbanan tidak terbalas dengan kata-kata. Rasulullah bersabda yang bermaksud: "Sesiapa yang berbuat kepada kamu kebaikan maka balaslah. Jika kamu tidak mempunyai sesuatu untuk membalasnya, maka doakanlah dia, sehingga kamu merasakan kamu sudah membalasnya." (Riwayat Abu Daud)

Penulis Ketua Unit Bahasa Arab, Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (UM), Pusat Pendidikan UM, Bachok, Kelantan

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 Mei 2022 @ 8:43 AM