MARILAH kita  beringat agar sentiasa menjaga perkataan dan perbuatan melibatkan ibu bapa   kerana khuatir  menyebabkan  terjebak dalam dosa.
MARILAH kita beringat agar sentiasa menjaga perkataan dan perbuatan melibatkan ibu bapa kerana khuatir menyebabkan terjebak dalam dosa.
Mohd Shahrizal Nasir

Fitrah ibu bapa pasti berusaha untuk melunaskan tanggungjawab paling terbaik untuk anak-anak. Sudah pasti jasa dan pengorbanan ibu bapa tidak akan mampu dibalas oleh anak-anak meskipun mereka punyai kehidupan yang bahagia selepas dewasa. Ibu bapa akan berusaha memberikan perkhidmatan terbaik kepada anak-anak mengikut kemampuan masing-masing. 

Setiap ibu bapa akan berkorban mengikut keadaan masing-masing. Orang kaya dengan cara tersendiri, begitu juga dengan golongan yang kurang berupaya. Mereka akan sentiasa bertanggungjawab atas amanah yang diletakkan di atas bahu sejak hari pertama kelahiran anaknya. 

Begitulah fitrah ibu bapa yang amat menyayangi anak-anak mereka. Segalanya diusahakan demi untuk memastikan anak-anak mereka mendapat hak yang sepatutnya. Pengorbanan ibu bapa dalam membesarkan anak-anak sememangnya tidak dapat disangkal sama sekali. Oleh itu, Allah SWT Yang Maha Mengetahui tentang pengorbanan ibu bapa mengingatkan manusia agar sentiasa berbuat baik kepada kedua mereka. 

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: "Sembahlah Allah dan janganlah kamu menyekutukan-Nya dengan sesuatu pun. Dan berbuat baiklah kepada kedua orang tua."  (Surah an-Nisa', ayat 36)

Pada ayat yang lain, Allah SWT berfirman yang maksudnya: "Dan Tuhanmu telah perintahkan, supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa…" (Surah al-Isra', ayat 23)

Sesungguhnya perintah untuk berbuat baik kepada ibu bapa dinyatakan dalam ayat-ayat al-Quran tersebut setelah perintah agar menyembah hanya kepada Allah SWT memberi petunjuk jelas tentang kedudukan istimewa kedua ibu bapa. Kewajipan mentaati ibu bapa disebut setelah dinyatakan kewajipan mentauhidkan Allah SWT. Begitulah kedudukan istimewa kedua ibu bapa yang diangkat oleh Islam.

Perbuatan mentaati kedua ibu bapa juga dikaitkan dengan jihad di jalan Allah SWT. Sesungguhnya keluar berjihad di jalan Allah SWT merupakan perbuatan yang diletakkan pada tingkatan tertinggi bagi mereka yang berusaha melakukannya. Walau bagaimanapun, tatkala ibu bapa memerlukan anak-anak berbakti kepada mereka, maka itu lebih utama daripada keluar berjihad. 

Ini sebagaimana hadis tentang seorang lelaki yang meminta izin kepada Rasulullah SAW untuk pergi berjihad, maka Rasulullah SAW bersabda: "Adakah orang tuamu masih hidup?" Lelaki tadi menjawab: "Ya." Rasulullah SAW bersabda: "Kalau begitu datangilah keduanya dan berjihadlah dengan berbakti kepada mereka."  (Muttafaq 'alaih)

Dalam hadis yang lain, Rasulullah SAW bersabda menjawab pertanyaan seorang sahabat yang mafhumnya: "Wahai Rasulullah, siapakah yang paling berhak aku perlakukan dengan baik?" Rasulullah menjawab: "Ibumu." "Kemudian siapa lagi?" Rasulullah menjawab: "Ibumu." "Kemudian siapa lagi?" Rasulullah menjawab: "Ibumu." "Kemudian siapa lagi?" Rasulullah menjawab: "Ayahmu, kemudian yang lebih dekat setelahnya dan setelahnya." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Peringatan berkenaan kedudukan ibu bapa perlu sentiasa diperingatkan dari semasa ke semasa. Kadang kala sebagai anak, kita terlupa untuk menyantuni kedua ibu bapa melebihi pihak lain dalam kehidupan. Mungkin ada yang lebih mengutamakan kawan-kawan berbanding dengan ibu bapa sendiri. Inilah antara punca kehidupan seseorang anak tidak mendapat keberkatan daripada Allah SWT. 

Mengimbau kenangan lalu ketika hari pertama persekolahan lebih-lebih lagi melihat gelagat anak-anak yang baru masuk ke sekolah, kelihatan mereka tidak dapat berpisah dengan ibu bapa. Mereka menangisi pemergian ibu bapa yang meninggalkan mereka seketika di sekolah. Ada yang lari mengejar ibu bapa untuk pulang bersama. Begitulah fitrah anak-anak yang berasa selamat hanya ketika bersama ibu bapa. 

Mereka tidak mahu berpisah dengan ibu bapa. Persoalannya bagaimana pula sikap anak-anak setelah mereka dewasa dan ibu bapa pula meningkat usia? Adakah mereka juga boleh berkorban sepertimana pengorbanan ibu bapa terhadap mereka? Masih adakah perasaan ingin sentiasa mendampingi ibu bapa? 

Melihat keadaan anak-anak yang baru memasuki alam persekolahan, ada ibu bapa yang membawa beg anak-anak, memimpin erat tangan si anak, menemani mereka masuk ke kelas dan jika anak tadi menangis maka dipujuknya tanpa memikirkan tanggapan orang sekeliling. Pada saat orang lain melihat situasi yang berlaku, ibu bapa tidak pernah rasa malu dengan kerenah anak sendiri. Bolehkah si anak memperlakukan sebegitu terhadap ibu bapa tatkala mereka mencapai usia tua? 

Kenangkanlah jasa ibu bapa sewaktu mereka mencurahkan segala kasih sayang kepada kita tatkala masih kecil dahulu. Berbuat baik kepada kedua ibu bapa adalah perbuatan yang amat dianjurkan Islam melebihi amalan hatta berjihad pada jalan Allah SWT sebagaimana dinyatakan dalam hadis Rasulullah SAW. 

Contohilah perbuatan Rasulullah SAW yang menyayangi anakanda Baginda dan keadaan anakanda yang menyantuni Rasulullah SAW. "Nabi SAW jika melihat puteri Baginda (iaitu Sayyidatina Fatimah) datang ke rumah Baginda, maka Nabi SAW akan menyambut kedatangannya. Nabi SAW berdiri lalu berjalan menyambutnya, menciumnya, memegang tangannya lalu mendudukkannya di tempat duduk Baginda. Jika Nabi SAW yang mendatangi rumah puterinya pula, maka Fatimah menyambut kedatangan Nabi SAW. Dia bangkit dan berjalan ke arah Baginda SAW lalu mencium (kening) Nabi SAW." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Selain itu, berbakti kepada kedua orang tua boleh menjadi sebab seseorang anak dapat memasuki syurga. Ini berdasarkan sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Kedua orang tua itu adalah pintu syurga yang paling tengah. Jika kalian mahu memasukinya maka jagalah orang tua kalian. Jika kalian enggan memasukinya, silakanlah mensia-siakan orang tua kalian."  (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Usah menunggu tarikh-tarikh tertentu untuk meraikan jasa kedua orang tua. Jadikanlah setiap masa yang ada sebagai peluang keemasan untuk berbakti kepada kedua orang tua. Fitrah orang tua akan mudah berasa hati tatkala usia semakin meningkat. Mungkin ada kalanya perbuatan yang kita lakukan menyinggung perasaan mereka.

Oleh itu, marilah kita sama-sama beringat agar sentiasa menjaga perkataan dan perbuatan melibatkan kedua orang tua kerana khuatir ia menyebabkan diri terjebak dalam dosa yang dimurkai oleh Allah SWT. 

Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang bermaksud: "Mahukah aku khabarkan kepada kalian mengenai dosa-dosa besar yang paling besar? Baginda mengutarakan pertanyaan tersebut sebanyak tiga kali. Para sahabat mengatakan: "Tentu sekali, wahai Rasulullah." Rasulullah bersabda: "Syirik kepada Allah dan derhaka kepada orang tua."  (Muttafaq 'alaih)

Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 8 November 2022 @ 6:01 AM