SESUNGGUHNYA berdiam diri lebih baik daripada melontarkan kata-kata tidak benar.
SESUNGGUHNYA berdiam diri lebih baik daripada melontarkan kata-kata tidak benar.
Mohd Shahrizal Nasir

Sejak kecil lagi, kita sering diingatkan agar menjaga lisan daripada mengeluarkan kata-kata yang buruk. Ibu dan ayah sangat menitikberatkan soal tutur kata anak-anak kerana ia menggambarkan didikan dalam rumah. Anak-anak yang terbiasa mengeluarkan kata-kata yang buruk bermakna mereka telah pun menggunakannya ketika berada di dalam rumah masing-masing. Didikan ini sepatutnya kekal menjadikan si anak membesar dengan kata-kata yang baik sahaja.

Hatta ibu bapa sendiri tatkala menegur anak-anak mereka yang melakukan kesilapan, mereka menggunakan perkataan yang baik. "Anak bertuah sungguh…", "Bijaknya dia…", "Budak baik sangat ni…" dan ayat-ayat seumpamanya yang menunjukkan didikan agar kata-kata baik perlu menjadi pilihan walaupun ketika membuat teguran kepada mereka kerana ia adalah doa untuk si anak.

Allah SWT berfirman dalam al-Quran yang bermaksud: "Tidak ada sebarang perkataan yang dilafazkannya (atau perbuatan yang dilakukannya) melainkan ada di sisinya malaikat pengawas yang sentiasa sedia (menerima dan menulisnya)." (Surah Qaf, ayat 18)

Dewasa kini, ramai orang terlibat dalam pemanfaatan media sosial. Seolah-olah setiap orang kini mempunyai akaun media sosial sendiri. Melihat kepada komentar netizan di media sosial, hati orang yang beriman pasti tidak selesa dengan perkembangan yang tidak sihat dalam media kontemporari tersebut. Seakan-akan tidak ada lagi rasa malu ketika menggerakan jemari menulis komen yang menjelekkan. Malah, ada yang sanggup membiarkan orang ramai mengenali dirinya yang menulis komentar negatif dan mengaibkan orang lain dalam media sosial.

Semua ini berlaku mungkin disebabkan slogan dunia tanpa sempadan yang membolehkan semua benda perlu disebarkan dengan nada sensasi. Malah, ada yang mewajarkan tindakan mengeluarkan kata-kata buruk, menjelikkan, menghina dan seumpamanya dengan alasan itu semua hak bersuara. Ingatlah bahawa sebelum bercakap tentang hak, setiap orang Islam mempunyai tanggungjawab menjaga lisan dan jemari masing-masing kerana semuanya akan dinilai di sisi Allah SWT.

Mu'az bin Jabal RA ketika bertanya kepada Rasulullah SAW tentang amalan yang dapat memasukkannya ke dalam syurga dan menjauhkannya daripada neraka, lalu baginda menyebutkan tentang rukun iman dan beberapa pintu-pintu kebaikan. Kemudian Rasulullah SAW berkata kepada Mu'az: "Mahukah aku jelaskan kepadamu tentang hal yang menjaga semua itu?" Lantas baginda memegang lisannya dan bersabda: "Jagalah ini."

Maka aku (Mu'az) bertanya lagi kepada baginda: "Wahai Nabi Allah, adakah kita akan diseksa dengan sebab perkataan kita?" Rasulullah SAW menjawab: "Semoga ibumu kehilanganmu! (ini adalah ungkapan agar perkataan selanjutnya diberi perhatian serius). Tidaklah manusia tersungkur di neraka di atas wajah mereka atau di atas hidung mereka melainkan dengan sebab lisan mereka." (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Penjelasan Rasulullah SAW tersebut sepatutnya menyedarkan kita semua tentang kepentingan menjaga lisan. Manakala dalam bab penggunaan media sosial, pastinya perkara buruk yang sepatutnya dituturkan oleh lisan, kini terserlah dengan peranan jemari masing-masing menaip perkataan buruk. Kelajuan jemari menaip perkataan yang tidak baik menyerlahkan tahap iman dalam diri dan hal ini tidak boleh dibiarkan kerana ia termasuk perbuatan dosa.

Mungkin orang menjadi berani untuk menaip perkataan buruk dalam media sosial kerana mereka tidak berdepan dengan orang yang terlibat secara bersemuka. Orang yang beriman pasti berasa malu untuk menuturkan perkataan buruk kepada orang lain secara berdepan. Tetapi dalam media sosial, segalanya berlaku tanpa bersemuka, maka sebenarnya hanya sifat malu yang dapat mengekang perbuatan buruk ini.

Oleh sebab itu, Rasulullah SAW mengingatkan umatnya bahawa jika tiada sifat malu dalam diri, maka manusia akan melakukan apa sahaja yang dihajati oleh nafsunya. Baginda SAW bersabda yang mafhumnya: "Sesungguhnya di antara ucapan kenabian pertama yang didahului umat manusia adalah 'Jika kamu tidak malu, maka buatlah sesuka hatimu'." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Perbuatan melemparkan kata-kata buruk dan tulisan yang menjelikkan boleh berlaku sama ada oleh orang muda ataupun orang tua. Kadang kala orang muda belajar memberanikan diri mengungkapkan kata-kata atau tulisan yang tidak sopan daripada orang yang lebih tua daripada mereka. Justeru, setiap orang perlu berusaha mengawal diri daripada melemparkan kata-kata tidak baik kepada orang lain.

Sesungguhnya berdiam diri lebih baik daripada melontarkan kata-kata yang tidak benar, tidak sopan, tidak berhikmah dan seumpamanya. Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis bermaksud: "Barang siapa  yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berkata yang baik atau diam" - (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim). Rasulullah SAW turut bersabda yang maksudnya: "Barang siapa yang diam nescaya dia akan selamat." (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Perbuatan diam bukanlah bermaksud menyembunyikan kebenaran, tetapi diam dalam erti kata menjaga lidah daripada mengeluarkan kenyataan yang palsu, buruk, menjelikkan dan juga sekadar mengundang gelak ketawa orang ramai. Kenyataan tentang perkara yang membuka keaiban orang lain sememangnya boleh mengundang keseronokan dalam diri orang yang mendengarnya.

Sebenarnya dalam usaha menegakkan kebenaran, tidak perlu pengungkapan yang sensasi berbentuk kutukan, celaan, serangan peribadi dan sebagainya. Niat yang baik tidak akan sama sekali menghalalkan tatacara yang salah. Gunakanlah cara yang baik dan terhormat dalam menyelesaikan sebarang permasalahan kerana akhirnya setiap tindakan yang diambil akan dinilai oleh Allah SWT.

Sesungguhnya setiap perkataan yang keluar daripada mulut seseorang insan boleh menyebabkannya dirinya dimasukkan ke dalam syurga. Sebaliknya jika perkataan tersebut mengundang kemurkaan Allah SWT, maka ia boleh menjadi sebab diri seseorang dilemparkan ke dalam neraka.

Rasulullah SAW bersabda yang mafhumnya: "Sungguh seorang hamba mengucapkan satu kalimat yang mendatangkan keredaan Allah, namun dia menganggapnya ringan, kerana sebab perkataan tersebut Allah meninggikan darjatnya. Dan sungguh seorang hamba mengucapkan satu kalimat yang mendatangkan kemurkaan Allah, namun dia menganggapnya ringan dan kerana sebab perkataan tersebut dia dilemparkan ke dalam api neraka."  (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Jagalah lisan dan jemari kita semua kerana ia boleh menjadi punca diri mendapat dosa. Sebaliknya manfaatkanlah lisan dan jemari untuk mengumpul ganjaran pahala daripada Allah SWT sesungguhnya kita diciptakan di atas dunia ini untuk meraih keredaan-Nya.

 


Penulis Pensyarah  Pusat Pengajian Bahasa Arab,  Fakulti Bahasa Dan Komunikasi,  Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 Disember 2021 @ 7:01 AM