SESI persekolahan bermula.
SESI persekolahan bermula.
Bersama Mohd Shahrizal Nasir

MINGGU lalu bermulanya sesi persekolahan baharu tahun 2020.

Semua ibu bapa pasti sibuk menguruskan persekolahan anak masing-masing.

Sebelum sesi persekolahan bermula lagi, keperluan seperti pakaian, beg, peralatan tulis dan buku sudah disediakan.

Malah, kedai gunting rambut juga penuh kerana ibu bapa inginkan anak memulakan sesi persekolahan dengan penampilan sempurna.

Bayangkan, semua itu bukan hanya membabitkan keluarga berada sahaja.

Malah, keluarga kurang berada juga berusaha menyediakan kelengkapan anak mengikut kemampuan masing-masing.

Mungkin ada yang bergolok-gadai atau membuat pinjaman daripada pihak tertentu demi memastikan anak mempunyai kelengkapan asas untuk memulakan sesi persekolahan.

Begitu fitrah ibu bapa yang menyayangi anak mereka.

Pengorbanan ibu bapa membesarkan anak sememangnya tidak dapat disangkal sama sekali.

Maka, Allah SWT mengingatkan manusia sentiasa berbuat baik kepada kedua-dua mereka.

Firman Allah SWT yang bermaksud: “Dan Tuhanmu telah perintahkan supaya engkau tidak menyembah melainkan kepada-Nya semata-mata, dan hendaklah engkau berbuat baik kepada ibu bapa…” (Surah al-Isra’, ayat 23)

Perintah berbuat baik kepada ibu bapa dinyatakan dalam ayat al-Quran setelah perintah supaya menyembah hanya Allah SWT memberi petunjuk jelas kedudukan istimewa kedua-dua ibu bapa.

Rasulullah SAW pula bersabda menjawab pertanyaan seorang sahabat yang mafhumnya: “Wahai Rasulullah, siapa yang paling berhak aku perlakukan dengan baik?” Nabi menjawab: “Ibumu.” “Kemudian siapa lagi?” Nabi menjawab: “Ibumu.” “Kemudian siapa lagi?” Nabi menjawab: “Ibumu.” “Kemudian siapa lagi?” Nabi menjawab: “Ayahmu, kemudian yang lebih dekat setelahnya dan setelahnya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Pada hari pertama persekolahan, pelbagai gelagat dapat disaksikan lebih-lebih lagi melihat anak yang tidak dapat berpisah dengan ibu bapa.

Ada yang lari mengejar ibu bapa untuk pulang bersama dan sebagainya.

Begitulah fitrah anak yang berasa selamat hanya ketika bersama ibu bapa.

Persoalannya, bagaimana pula sikap anak selepas mereka dewasa dan ibu bapa pula meningkat usia?

Adakah mereka boleh berkorban sepertimana pengorbanan ibu bapa terhadap mereka?

Masih adakah perasaan ingin sentiasa mendampingi ibu bapa?

Melihat keadaan anak yang baru masuk darjah satu, ada ibu bapa yang membawa beg dan memimpin tangan si anak untuk menemani mereka masuk ke kelas.

Pada saat orang lain melihat situasi yang berlaku, ibu bapa tidak pernah rasa malu dengan kerenah si anak.

Bolehkah si anak memperlakukan sebegitu terhadap ibu bapa tatkala mereka mencapai usia tua?

Kenanglah jasa ibu bapa sewaktu mereka mencurahkan segala kasih sayang tatkala kita masih kecil dahulu.

Berbuat baik kepada ibu bapa adalah perbuatan yang amat dianjurkan Islam melebihi amalan, hatta berjihad pada jalan Allah SWT.

Seorang lelaki dari Yaman pernah menemui Rasulullah SAW untuk turut serta berjihad, namun tidak mendapat keizinan kedua-dua orang tuanya. Lalu Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Kembalilah kepada mereka berdua dan mintalah izin daripada mereka berdua. Jika mereka memberi keizinan, maka berjihadlah, akan tetapi (jika tidak), maka berbuat baiklah kepada mereka berdua.” (Hadis riwayat Abu Daud)

>>Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 6 January 2020 @ 8:55 AM