Dr Mohd Khafidz Soroni

Antara yang perlu kita yakini ialah semua umat Islam tidak akan berhimpun dan bersepakat di atas perkara kebatilan dan kesesatan, sebagaimana yang berlaku kepada umat terdahulu.

Jaminan Allah SWT untuk memelihara al-Quran daripada diselewengkan adalah isyarat jelas bahawa Allah SWT turut menjamin pengamalnya iaitu umat Islam daripada tersesat secara keseluruhannya.

Daripada Ibn 'Umar RA bahawa Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya Allah tidak akan menghimpunkan umatku di atas kesesatan" (Riwayat at-Tirmizi dan al-Hakim. Hadis hasan li-ghairih). Makna yang serupa turut diriwayatkan daripada hadis Abu Basrah al-Ghifari RA, Abu Malik al-Asy'ari RA, Anas bin Malik RA, Ibn 'Abbas RA, Abu Mas'ud al-Ansari RA secara mauquf dan al-Hasan al-Basri RA secara mursal.

Ringkasnya, hadis ini adalah antara kaedah penting untuk mengukur sesuatu kebenaran. Kata Imam al-Hakim selepas meriwayatkannya: "Kami telah menemui pelbagai riwayat sokongan (syawahid) bagi hadis ini selain daripada hadis al-Mu'tamir. Aku tidak mendakwanya sebagai sahih dan tidak juga menghukumnya sebagai lemah, bahkan menjadi kemestian untukku menyebutkannya kerana telah menjadi ijmak Ahli Sunnah di atas kaedah ini yang merupakan satu daripada kaedah-kaedah Islam."

Ini mengukuhkan lagi apa yang dijelaskan dalam siri-siri lalu mengenai kebenaran pegangan akidah majoriti ulama yang berpegang dengan fahaman Ahli Sunnah Waljamaah (ASWJ).

Manakala dalil-dalil yang menunjukkan sebaliknya adalah tertakwil secara automatik, yang mengisyaratkan kepada kemunduran atau kelemahan amalan umat Islam, bukan pegangan akidahnya. Meskipun adakalanya digunakan istilah yang sama bagi menggambarkan mengenai situasi berkenaan.

Misalnya, istilah 'Ahli Sunnah' turut digunakan oleh Imam al-Hasan al-Basri (wafat 110H) bagi menerangkan mengenai makin berkurangnya kualiti amalan dalam kalangan umat Islam. Kata beliau: "Sunnah itu - demi Tuhan yang tidak ada tuhan melainkan Dia - adalah berada di antara orang yang melampau dan orang yang sambil lewa. Maka, bersabarlah kamu sekalian ketika berada di atasnya, semoga Allah merahmati kamu. Sesungguhnya Ahli Sunnah adalah golongan yang paling sedikit pada waktu dahulu dan mereka juga golongan yang paling sedikit pada waktu kini. Mereka adalah golongan yang tidak turut serta bersama golongan yang rosak dalam kerosakan mereka dan tidak juga bersama golongan ahli bidaah dalam fahaman bidaah mereka. Dan mereka itu bersabar di atas jalan mereka sehinggalah mereka bertemu dengan Tuhan mereka. Justeru, seperti demikian itulah - dengan izin Allah - kamu sekalian patut jadi."

Al-Hasan al-Basri adalah seorang tabiin besar yang masyhur dan hidup dalam kalangan generasi salaf yang terbaik.

Justeru, tidak mungkin jika yang beliau maksudkan dengan 'Ahli Sunnah' itu adalah daripada aspek pegangan akidah. Maka, sudah tentu istilah 'Ahli Sunnah' dalam kata-kata beliau itu adalah istilah khusus, bukan istilah umum sehingga disangkakan bahawa golongan yang berpegang dengan akidah ASWJ sudah sedikit di zamannya.

Ini tentunya amat bercanggah dengan fakta dan realiti sejarah kerana zaman beliau hidup adalah zaman ramainya ulama salafussoleh!

Begitu juga kata-kata Fudhail bin 'Iyadh (wafat 187H) perlu difahami sedemikian iaitu katanya: "Ikutlah kamu jalan-jalan hidayah, dan tidaklah memudaratkan kamu dengan sedikitnya bilangan orang yang melaluinya. Berhati-hatilah kamu terhadap jalan-jalan kesesatan, dan janganlah kamu terperdaya dengan ramainya bilangan orang yang binasa kerananya".

Perlu diketahui, al-Hasan al-Basri dan Fudhail bin 'Iyadh adalah antara tokoh yang menjadi rujukan dalam bidang kerohanian dan contoh ikutan bagi ahli sufi.

Justeru, maksud sedikitnya 'Ahli Sunnah' dan sedikitnya bilangan orang yang mengikut jalan hidayah dalam kata-kata mereka itu seolah-olah khusus merujuk kepada pencapaian amalan golongan minoriti tertentu, seperti contohnya amalan sahabat besar RA dan Ahli Suffah RA yang merupakan golongan minoriti dalam kalangan sahabat RA.

Mereka seolah-olahnya menyatakan bahawa dari sudut amalan, golongan majoriti tidak semestinya diikuti dan benar. Namun berbeza dari sudut pegangan akidah, golongan majoriti tidak mungkin tersalah dan sesat berdasarkan pelbagai dalil yang sudah dikemukakan. Bagaimana mungkin boleh sesat dan tidak menepati kebenaran, sedangkan keseluruhan khazanah ilmu dan wacana turath majoriti ulama Islam adalah dalam kerangka ASWJ yang sudah pun wujud diwarisi lebih daripada seribu tahun.

Malah, ribuan kitab karangan ulama ASWJ dalam pelbagai bidang sejak berkurun lamanya diajar, dibaca, disalin, ditelaah, dipraktis dan diperturunkan secara bersanad antara mereka.

Semua ini adalah bukti jelas kebenaran pegangan akidah majoriti ulama ASWJ.


Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 18 September 2022 @ 7:00 AM