PENYAMPAIAN terjemahan hadis secara makna tanpa mengubah maksud perkara biasa dilakukan ramai penceramah dan ilmuwan.
PENYAMPAIAN terjemahan hadis secara makna tanpa mengubah maksud perkara biasa dilakukan ramai penceramah dan ilmuwan.
Dr Mohd Khafidz Soroni

SARANAN agar penceramah menyampaikan terjemahan hadis secara literal dalam ceramahnya satu saranan yang boleh diterima dan baik. Namun, jika dikatakan wajib dia menyampaikan terjemahan secara literal, hal ini pasti akan menyukarkan dan menyulitkan ramai penceramah. Penyampaian terjemahan hadis secara makna asalkan tidak mengubah maksudnya adalah satu perkara biasa yang dilakukan ramai penceramah dan ilmuwan. Setakat ini tiada pendapat ulama atau fatwa yang melarang penceramah berbuat demikian, kecuali jika hadis yang disampaikan itu diubah maknanya atau diselewengkan maksudnya, maka sudah tentu perbuatan sebegini amat wajar ditegah dan dilarang.

Jika dikatakan wajib menyampaikan terjemahan hadis secara literal, maka ini adalah satu hukum yang boleh diperbincangkan dan diperselisihkan. Dalam konteks masyarakat Arab sendiri, ulama berselisih pendapat mengenai hukum periwayatan hadis secara makna (ar-riwayah bi al-ma'na) iaitu periwayatan hadis bukan menurut lafaz asalnya. Menurut pendapat sebahagian ulama seperti Ibn Sirin, Tha'lab dan Abu Bakr al-Razi serta dikatakan pendapat Ibn Umar RA, tidak harus meriwayatkan hadis melainkan dengan lafaz asalnya.

Bagaimanapun, jumhur ulama daripada kalangan salaf dan khalaf berpendapat harus meriwayatkan hadis secara makna sekiranya perawi yakin dapat menyampaikan maknanya. Perkara ini adalah perkara yang biasa dalam kalangan sahabat dan salaf terdahulu serta dibuktikan dengan periwayatan mereka terhadap sesuatu kisah atau peristiwa itu dengan lafaz yang berbeza asalkan tidak mengubah maksudnya.

Berikut beberapa pandangan golongan salaf yang dinukilkan daripada Tadrib ar-Rawi oleh as-Suyuti. Kata Jarir bin Hazim: "Aku pernah mendengar al-Hasan al-Basri menyampaikan beberapa hadis, sedangkan asalnya sama, hanya ungkapannya berbeza." Kata Ibn Aun: "Al-Hasan, Ibrahim dan as-Sya'bi sering membawakan hadis secara makna." Kata Ibn Syihab az-Zuhri: "Jika kamu menepati makna hadis dan kamu tidak menghalalkan yang haram serta tidak mengharamkan yang halal, maka tidak mengapa." Kata Waki': "Sekiranya makna itu tidak bersifat luas, maka manusia sudah pun binasa." Kemungkinan maksudnya ialah akibat terlalu sedikitnya hadis yang diriwayatkan menurut lafaz asalnya sehingga banyak ilmu tidak dapat disampaikan.

Al-Hafiz Ibn Hajar mengulas: "Antara hujah mereka yang paling kuat ialah adanya ijmak ulama terhadap keharusan menghuraikan syariat Islam kepada bangsa Ajam (bukan Arab) dengan bahasa mereka sendiri bagi orang yang arif dengannya. Justeru, jika harus ditukarkan hadis dengan bahasa lain, maka keharusannya dengan bahasa Arab itu sendiri adalah lebih utama."

Jika demikian pandangan jumhur ulama dalam masalah periwayatan hadis secara makna, maka tentunya dalam hal penyampaian terjemahan hadis secara makna juga adalah sama hukumnya. Tidak sewajarnya penceramah yang berbuat demikian dituduh menokok tambah hadis, kecuali jika maksudnya amat jauh berbeza sama sekali. Apatah lagi, seorang penceramah yang berada pada posisi berceramah sudah tentu tidak sama dengan seorang guru yang berada pada posisi mengajar dan meriwayatkan hadis.

Oleh itu, harus untuk penceramah itu menyampaikan hadis secara makna sahaja. Tidak wajib baginya untuk menyatakan mana terjemahan literal dan mana penjelasan peribadi beliau.

Misalnya, istilah 'rahib' dalam hadis mengenai kisah pembunuh 99 orang yang ingin bertaubat dan bertanya kepada seorang rahib. Jika penceramah menyebut 'rahib' kemungkinan istilah ini tidak dapat difahami secara jelas oleh semua orang. Justeru, harus beliau menyebutkan sifat rahib tersebut serta hal keadaannya iaitu 'rajin sembahyang tapi tiada ilmu', 'ahli ibadat tapi tiada ilmu', 'banyak ibadat tapi jahil', 'orang soleh tapi jahil'. Semua ini sifat yang menunjukkan makna yang hampir sama. Istilah rahib dalam bahasa Arab memang bermaksud orang yang memberi tumpuan terhadap ibadat atau ahli ibadat golongan Nasrani. Dalam pertuturan, 'tiada ilmu atau jahil' boleh difahami secara mudah sebagai sedikit atau kurang ilmunya, bukan penafian langsung terhadap ilmunya. Seperti kata: 'orang berilmu', bukan bermakna tiada langsung sedikit kejahilan pun padanya atau 'orang jahil', bukan bermakna tiada langsung ilmu pun padanya.

Jika diamati, hadis berkenaan juga diriwayatkan secara makna oleh ramai perawi yang meriwayatkannya.

Justeru, dilihat terdapat beberapa perbezaan lafaz antara riwayat Ahmad, al-Bukhari dan Muslim tanpa dapat dipastikan mana satukah lafaz Nabi SAW yang asal, meskipun mengandungi makna yang sama. Bagaimanapun, jika penceramah hanya menyampaikan maksud hadis dan tidak mengubahnya, adalah tidak wajar dan agak berlebihan jika dia dituduh sebagai 'putting words into the Prophet's mouth'.

Penulis Ketua Unit Hadis di Institut Kajian Hadis & Akidah (Inhad), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (Kuis)

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 13 Februari 2022 @ 5:59 AM