UniSZA
UniSZA
Dr Mohd Hasrul Shuhairi

SEMINAR Akidah dan Pemikiran Islam Peringkat Antarabangsa 2021 (SAPIA 2021) yang diadakan bertemakan Akidah Ahli Sunah Waljamaah (ASWJ) Melestarikan Keharmonian Masyarakat.

Seminar ini dianjurkan oleh Pusat Pengajian Usuluddin Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) Terengganu Malaysia, dengan kerjasama Universitas Islam Negeri KH Achmad Siddiq (UIN KHAS), Jember Indonesia dan Jabatan Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan.

Dalam ucapan pembukaan, Dekan Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI) Prof Dr Engku Ahmad Zaki Engku Alwi menyatakan bahawa penganjuran seminar ini membicarakan topik akidah dan pemikiran Islam yang sentiasa berhadapan dengan pelbagai isu khususnya dalam era globalisasi pada hari ini. Isu kompleks melibatkan ilmu ini perlu dijelaskan untuk mengelakkan masyarakat Islam terpengaruh dengan elemen luar dari landasan akidah dan pemikiran Islam yang betul.

Saya juga ingin memetik kata-kata daripada Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti (LPU) UniSZA Tan Sri Dr Abdullah Mat Zin dalam ucapan perasmian seminar SAPIA 2021 ini menyatakan bahawa seminar ini selari dengan realiti di Malaysia sebagai sebuah negara Islam yang berdasarkan pandangan ASWJ. Dasar ini jelas termaktub di dalam Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa Islam ialah agama bagi Persekutuan. Tafsiran 'Islam' dalam Perlembagaan diperincikan lagi menerusi keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan kali ke-8 yang diadakan pada 24 dan 25 September 1984 seperti berikut: "Menetapkan bahawa umat Islam di Malaysia hendaklah hanya mengikut ajaran Islam yang berasaskan pegangan Ahli Sunnah Wal-Jamaah dari segi Aqidah, Syariah dan Akhlak."

Beliau juga menzahirkan keputusan Mesyuarat Panel Pakar Aqidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bertarikh 28 Disember 2010 di Institut Latihan Islam Malaysia (ILIM) Bangi, bahawa definisi ASWJ ialah "Golongan yang memahami dan berpegang kepada al-Qur'an dan Sunnah Nabi SAW menerusi para sahabat, tabi'in dan tabi' tabi'in yang setia bersama mereka dalam prinsip-prinsip aqidah, syariah dan akhlak". Mesyuarat Panel Pakar Aqidah Jakim itu juga memperincikan tafsiran ASWJ seperti berikut:

a) Mereka adalah golongan yang memahami dan berpegang kepada al-Qur'an dan Sunnah Nabi SAW mengikut manhaj dan kaedah salaf dan khalaf (Asya'irah dan Maturidiyyah).

b) Mereka adalah golongan berfahaman sederhana (wasatiyyah), tidak melampau dan tidak terlalu longgar, ini mengeluarkan Khawarij, Syi'ah Rafidhah, Qadariyyah, Jabariyyah, Mu'tazilah, Anti-hadis, Islam liberal, pluralisme agama dan seumpamanya.

c) Mereka ialah golongan yang mengutamakan perpaduan dan persaudaraan Islam bukan permusuhan, perdamaian bukan peperangan, berpegang kepada prinsip tidak memuja pemimpin, tidak taasub sehingga mengkafir atau menyesatkan sesama Islam.Prof Dr KH Abdul Halim bin Soebahar dari Universitas Islam Negeri KH Achmad Siddiq (UIN KHAS) membentangkan kertas kerja bertajuk Wasatiyyah Akidah ASWJ dalam Konteks Masyarakat Islam di Indonesia. Beliau menyenaraikan beberapa ciri wasatiyyah (kesederhanaan) yang menjadi salah satu keputusan Musyawarah Nasional IX Majelis Ulama Indonesia (MUI). Ciri tersebut ialah Tawassut (mengambil jalan tengah), Tawazun (berkeseimbangan), I'tidal (lurus dan tegas), Tasamuh (toleransi), Musawah (Kesetaraan), Syura (musyawarah), Islah (reformasi), Aulawiyah (mendahulukan yang prioriti), Tatawwur wa Ibtikar (dinamik dan inovatif), dan Tahadhdhur (berkeadaban).Menurutnya, keputusan ini dikeluarkan, setelah mencermati munculnya kelompok yang eksklusif, tiada toleransi, kaku/rigid, mudah mengkafirkan orang dan kelompok lain, mudah menyatakan permusuhan dan melakukan konflik, bahkan ke tahap melakukan kekerasan terhadap sesama Muslim. Di samping itu, muncul juga kelompok yang dilihat cenderung ke arah fahaman liberal. Dua kelompok ini bertentangan dengan wujud ideal dan tepat dalam melaksanakan ajaran Islam di Indonesia dan dunia.Sahibus Samahah Datuk Dr Luqman Abdullah, Mufti Wilayah Persekutuan membentangkan kertas kerja bertajuk Peranan Institusi Pondok dalam Pengukuhan Akidah ASWJ di Malaysia. Beliau menzahirkan istilah ASWJ pernah digunakan oleh Saidina Ibn 'Abbas ketika mentafsirkan Surah Ali Imran ayat 106 yang bermaksud: "(Ingatlah akan) hari (kiamat yang padanya) ada muka (orang) menjadi putih berseri." Menurutnya, maksud, 'muka (orang) menjadi putih berseri' adalah penganut Ahli Sunah Waljamaah.Beliau juga menjelaskan definisi umum ASWJ merujuk kepada kelompak yang terselamat dan mereka adalah al-sawad al-a'zam (majoriti umat Islam) yang berpegang teguh apa yang dibawa oleh Nabi Muhammad SAW serta sahabat RA.Secara khusus, beliau menyatakan ASWJ merujuk kepada al-Ashairah dan al-Maturidiyyah yakni tokoh utamanya ialah Imam Abu al-Hasan al-Asy'ari (wafat 324H) dan Imam Abu Mansur al-Maturidi (wafat 333H). Pemuka al-Ashairah dan al-Maturidiyyah terdiri daripada kalangan ahli tafsir dan ulum Quran, ahli hadis dan ulum hadis, ahli fiqh dan usul fiqh, ahli sirah dan biografi, ahli bahasa dan dalam kalangan pemimpin.Menurutnya lagi, institusi pondok berjaya melahirkan generasi ulama ASWJ. Kekuatan kurikulumnya yang menjadikan kitab rujukan utama adalah kitab utama dalam ASWJ yang dilahirkan oleh ulama ASWJ, antaranya pengajian Sifat 20. Institusi pondok juga kuat berpegang kepada prinsip ASWJ yang tidak menerima sebarang kompromi dalam isu akidah yang di luar kerangka ASWJ.

Sahibus Samahah Datuk Mohd Yusof Ahmad iaitu Mufti Kerajaan Negeri, Negeri Sembilan Darul Khusus membentangkan kertas kerja bertajuk Peranan ASWJ dalam Mendepani Penyelewengan Akidah.

Menurutnya, kerajaan memainkan peranan penting daripada sudut pewartaan fatwa berkenaan aliran manakah disepakati untuk diikuti dan aliran yang manakah yang ditolak. Ahli Jawatankuasa Fatwa Kerajaan Negeri Sembilan mengeluarkan panduan berkenaan ASWJ di negeri itu.Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Negeri Sembilan Bil. 02/2016-1437H yang bersidang pada 25 Februari 2016 bersamaan 16 Jamadilawal 1437H bersetuju menerima cadangan takrifan berkaitan ASWJ dalam konteks Negeri Sembilan iaitu merujuk kepada kelompok majoriti umat Islam mereka yang berpegang dengan ajaran Islam sebenar berdasarkan al-Quran dan panduan Nabi Muhammad SAW, sahabat dan ulama Islam muktabar serta berpegang dalam hal berkaitan dengan aqidah dan tauhid, berdasarkan pegangan Imam Abu Hasan al-Ashari dan Imam Abu Mansur al-Maturidi; fiqh dan syariah berdasarkan Mazhab Shafii di samping meraikan mazhab Hanafi, Maliki dan Hanbali; tasawuf berdasarkan manhaj ulama sufi berwibawa seperti Imam Junaid al-Baghdadi dan Imam al-Ghazali.Prof Madya Dr Ahmad Bazli Shafie dari Pusat Pengajian Usuluddin, UniSZA membentangkan kertas kerja bertajuk Peranan Akidah ASWJ dalam Mendepani Ancaman Liberalisme. Menurutnya, ASWJ umumnya berdasarkan pembahagian Imam al-Subki merujuk kepada Ahli Hadis, Ahl al-Nazor al-'Aqli (al-Ashairah dan al-Maturidiyyah) dan Ahl al-Wujdan wa al-Kashf (ahli Sufi).Beliau menyatakan ASWJ adalah manhaj dengan pendirian yang wasat iaitu 'adil-beradab' yang mewujudkan keseimbangan antara sifat inklusif dan sifat eksklusif ketika berdepan dengan aneka aliran pemikiran, pegangan serta kecenderungan ekstremisme.

Teras pandangan alam Islam serta akidahnya ialah penekanan tegas keupayaan manusia mencapai keyakinan dalam ilmu, mengikut saluran-salurannya yang khusus. Pandangan alam ini juga menolak sekeras-kerasnya sikap yang menafikan keupayaan manusia mencapai keyakinan oleh golongan sofis dulu dan semasa.

Menurutnya lagi, dalam konteks Malaysia, golongan liberal mula memperjuangkan pelbagai isu bertujuan menyebarkan idea liberalisme secara lebih meluas. Beliau mencadangkan perhatian yang serius perlu diberikan dengan langkah afirmatif atau drastik bagi mengangkat dan memperteguhkan manhaj ASWJ yang menjadi identiti kepada aliran majoriti umat Islam sejak zaman berzaman. ASWJ aliran wasatiyyah sebenar yang berpegang kepada keseimbangan antara wahyu dan akal, serta ijmak ulama yang muktabar dan adab al‐ikhtilaf bagi mengelakkan perselisihan, perpecahan dan ketidakharmonian masyarakat.

Penulis Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal
Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 11 November 2021 @ 5:59 AM