PERPADUAN ummah di atas landasan Ahlu Sunnah Wal Jamaah di Malaysia perlu sentiasa dipertahankan.
PERPADUAN ummah di atas landasan Ahlu Sunnah Wal Jamaah di Malaysia perlu sentiasa dipertahankan.
Ustaz Hafiz Za’farani

ANTARA syarat sesuatu fahaman itu dinilai berada atas jalan yang benar ia mestilah ia mempunyai pengikut yang ramai dalam kalangan ahli ilmu dan orang soleh, dalilnya: 'Daripada Anas bin Malik berkata: Aku mendengar Rasulullah bersabda: "Sesungguhnya umatku tidak akan bersepakat pada kesesatan (oleh sebab itu) apabila kamu melihat terjadinya sesuatu perselisihan, maka hendaklah kamu ikuti kelompok yang majoriti.'" (Hadis Riwayat Ibnu Majah)

Dalam hadis lain, Nabi SAW menyatakan dengan jelas bahawa keistimewaan umat Nabi Muhammad ialah Allah SWT menjadikan umat Baginda sentiasa sepakat atas kebenaran dan tidak akan sama sekali bersetuju dengan kesesatan. Berbeza dengan kaum Nabi lain yang bersepakat dengan kesesatan seperti yang berlaku kepada umat Nabi Nuh, Hud, Soleh, Luth dan lain-lain.

Dalam riwayat lain Nabi bersabda: "Sesungguhnya Allah SWT tidak akan menghimpunkan umatku (umat Muhammad) di atas kesesatan. Dan pemeliharaan Allah ke atas jamaah. Dan sesiapa syaz (menyalahi jamaah) bererti yang syaz itu ke dalam neraka." (Hadis Riwayat Tirmidzi)

Kata Imam at-Tirmizi selepas meriwayatkannya: "Tafsiran al-jamaah menurut ulama - mereka ialah ahli fiqh, ahli ilmu dan ahli hadis."

Oleh itu perlu kita sedari bahawa al-jama'ah di sini merujuk kepada ahli ilmu, secara tidak langsung jika majoriti umat Islam daripada kalangan orang jahil mengiktiraf perkara sesat, maka tidak membawa maksud perkara sesat itu adalah kebenaran.

Sebagai contoh ada suatu zaman, umat Islam dikuasai oleh fahaman Muktazilah iaitu bermula pada zaman Khalifah Ja'far Al-Mansur sehingga zaman kejatuhannya pada pemerintahan Khalifah Al-Mutawakkil iaitu hampir 100 tahun.

Ketika itu, pemerintah dan rakyat jelata kebanyakannya berfahaman Muktazilah. Namun ulama Ahli Sunnah Wal Jamaah tidak mengiktiraf fahaman ini sehingga ramai yang ditangkap dan dihukum termasuk Imam Syafie dan Imam Ahmad bin Hanbal.

Oleh yang demikian, Muktazilah tetap dianggap golongan yang menyimpang dan bersalahan dengan kebenaran kerana tidak mendapat pengiktirafan daripada majoriti ulama muktabar.

Dalam hadis di atas juga, Rasulullah SAW menyatakan sesiapa yang keluar daripada al-jama'ah dengan cara mengasingkan diri maka ia akan menjebakkan dirinya ke dalam neraka.

Hal ini jelas, sesiapa yang tidak mahu mengikuti kebenaran yang ada bersama golongan majoriti maka sudah tentu dia membabitkan diri dengan golongan sesat. Contohnya pada zaman Imam Hasan Al-Basri adalah ulama ulung dunia Islam yang mempunyai ribuan murid namun salah seorang muridnya bernama Washil bin Atha' tidak bersetuju dengan beliau.

Lalu Washil membuat majlisnya sendiri dan mengasaskan golongan Muktazilah. Hal ini menunjukkan mereka mengasingkan diri daripada kebenaran yang majoriti umat Islam ketika itu.

Oleh yang demikian, istilah Ahlu Sunnah Wal Jamaah amat diperlukan untuk membezakan ajaran Islam yang tulen dengan golongan yang jauh menyeleweng daripada kebenaran. Al-Syaikh Hassan Ibrahim di dalam kitabnya Tarikh al-Islam al-Siyasi Wa al-Din Wa al-Thaqafi Wa al-Ijtimaie mengatakan: "Istilah Ahlu Sunnah hanya digunakan bermula pada zaman permulaan kerajaan Abbasiyyah iaitu zaman mazhab Muktazilah sedang berkembang. Pada ketika itu penggunaan istilah Ahlu Sunnah merujuk kepada mereka yang berpegang dengan al-Quran dan al-Sunnah, manakala istilah Muktazilah pula digunakan bagi merujuk kepada mereka yang terlibat dalam siri perdebatan. Ada pun pada zaman awal Islam, istilah sahabat digunakan bagi merujuk kepada mereka yang berpegang teguh dengan al-Quran dan al-Sunnah kerana mereka berhimpun bersama Rasulullah dan membantu Baginda.

Penggunaan istilah ini berterusan sehinggalah al-Imam Abu al-Hassan al-Asy'ari bersama pengikut dapat mengalahkan golongan Muktazilah pada masa yang sama aliran yang lain di dalam Islam terjadi semakin lemah, akhirnya hanya tinggal dua puak saja yang masih kekal pada ketika itu iaitu al-Syi'ah dan Ahlu Sunnah, maka dikatakan satu puak sebagai Syi'e dan satu puak yang satu lagi sebagai Sunni. Penamaan/gelaran ini berterusan digunakan sehingga kini."

Jelaslah golongan majoriti sekarang ialah Ahlu Sunnah Wal Jamaah yang terdiri daripada pengikut Al-Asyairah, bahkan kata Imam Subki: "Mazhab Asya'irah adalah mazhab ahli hadis dulu dan sekarang." (Thabaqat al-Syafi'iyyah al-Kubra, juz 4, hal. 32.)

Imam Tajuddin As-Subki berkata dalam kitab lain: "Para ulama' Hanafiyyah, Syafi'iyyah, Malikiyyah dan sebahagian ulama' Hanabilah yang mulia, Alhamdulillah, dalam masalah akidah bersatu dalam pegangan Ahlu Sunnah Wal Jamaah yang beragama (berakidah) kepada Allah dengan manhaj Sheikhus Sunnah Abu Al-Hasan Al-Asy'ari, yang mana tiada siapa yang terpesong daripadanya. (Mu'id An-Ni'am: 62)

Kini, istilah Ahlu Sunnah Wal Jamaah eksklusif merujuk kepada Al-Asya'irah dan Al-Maturidiyyah seperti yang dikatakan oleh Imam Murtadha Az-Zabidi dalam Syarh Al-Ihya' Ulumuddin: "Jika disebut Ahlus-Sunnah wal Jamaah maka maksud dengan mereka adalah Al-Asya'irah dan Al-Maturidiyyah"

Hal ini kerana golongan Asyairah dan Maturidiyyah kekal sehingga sekarang menegakkan akidah yang benar dan menghapuskan semua akidah sesat. Ini bersesuaian dengan sabda Nabi: "Sentiasa akan ada satu kumpulan daripada kalangan umatku yang sentiasa zahir di atas kebenaran apabila orang yang menghina mereka, tidak dapat memberi mudarat kepada mereka sehingga datangnya Hari Kiamat, namun mereka tetap istiqamah berkeadaan demikian." (HR Muslim)

Semoga kita termasuk dalam hadis ini yang mendapat pujian Nabi iaitu golongan yang sentiasa memperjuangkan kebenaran sama ada melalui pengajian, penulisan atau pendidikan.

Penulis adalah Setiausaha Muzakarah Hadis dan Syariat (Muhadis)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 25 Julai 2020 @ 6:59 AM