Memperbanyakkan mengingati mati  dapat merentapkan rasa nikmat dunia.
Memperbanyakkan mengingati mati  dapat merentapkan rasa nikmat dunia.
Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

Setiap yang bernyawa pasti merasai mati. Matinya manusia maka terputuslah hubungan antara jasad dan roh dan merupakan detik permulaan manusia menuju ke negeri akhirat yang merupakan garis permulaan bagi satu perjalanan yang sangat panjang.

Alam barzakh merupakan alam yang berbeza dengan kehidupan di alam dunia yang serba indah. Kematian dan masuknya manusia ke alam barzakh adalah ketentuan Allah SWT yang pasti akan terjadi.

Manusia tidak boleh lari daripada kematian. Masa, tempat, keadaan kematian telah ditentukan dan hanya menunggu tanpa diketahui.

Allah SWT berfirman  maksudnya:  "Tiap-tiap yang bernyawa akan merasai mati dan bahawasanya pada Hari Kiamat sahajalah akan disempurnakan balasan kamu. Ketika itu sesiapa yang dijauhkan dari neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia telah berjaya. Dan (ingatlah bahawa) kehidupan di dunia ini (meliputi segala kemewahannya dan pangkat kebesarannya) tidak lain hanyalah kesenangan bagi orang-orang yang terpedaya." (Surah Ali-Imran ayat 185)

Apabila Saidina Uthman berdiri di  perkuburan,  beliau menangis sehingga basah janggutnya. Lalu ada yang bertanya kepadanya, kenapa ketika di sebut syurga kamu tidak menangis kerinduan, ketika disebut neraka kamu tidak menangis ketakutan, tetapi kamu menangis pula kerana takutkan kubur. Beliau menjawab:  "Sesungguhnya Rasulullah SAW telah bersabda: "Sesungguhnya kubur itu ialah fasa pertama dari fasa-fasa akhirat. Sekiranya seseorang selamat  dari (keburukan) di kubur, maka keadaan selepasnya akan lebih mudah. Sekiranya dia tidak selamat, maka keadaan selepasnya lebih dahsyat." (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Allah telah menentukan ajal sejak azali lagi. Apabila sampai ajalnya, ia tidak akan dipercepatkan atau dilewatkan walaupun sesaat. Malaikat Izrail yang ditugaskan mencabut nyawa akan menjalankan tugasnya tanpa mengira masa, tempat dan keadaan seseorang. 

Apabila nyawa berada di kerongkong, segala pintu taubat telah tertutup dan penyesalan tidak lagi berguna. Imam al-Ghazali berkata: "Kematian itu datang tanpa meminta izin, tanpa mengetuk  pintu sebelum memasukinya. Ia datang secara tiba-tiba dan amat mengejutkan."

Apakah hakikat kematian?

Kematian adalah suatu yang pasti. Imam Al-Ghazali menjelaskan bahawa, kematian adalah perubahan kondisi roh dari memiliki kuasa penuh ke atas jasad kepada kehilangan kuasa tersebut. Kita berupaya mendengar dengan telinga, melihat dengan mata, merasa dengan lidah dan lain-lain tidak akan berfungsi setelah roh keluar dari jasad.

Allah SWT berfirman maksudnya:  "Dan (apabila sampai ajal seseorang) datanglah 'sakaratulmaut' membawa kebenaran (yang telah dijanjikan, serta dikatakan kepada yang mengingkarinya sebelum itu): "Inilah perkara yang engkau selalu mengelak diri daripadanya!" (Surah Qaff ayat 19)

Apakah tanda kematian husnul khatimah? Kematian husnul khatimah iaitu penutup usia kehidupan dalam keadaan baik adalah lawannya su'ul khatimah iaitu pengakhiran yang buruk.  Pengakhiran yang baik merupakan anugerah terindah yang diberikan oleh Allah SWT kepada hamba-hamba-Nya yang ikhlas.

Rasulullah SAW bersabda maksudnya:  "Jika seseorang hamba dikehendaki kebaikan baginya, Allah akan mempergunakanya." Para sahabat bertanya: "Wahai Rasulullah, bagaimana Allah mempergunakannya?" Baginda menjawab: "Allah memberinya  taufik untuk beramal soleh sebelum mati."  (Hadis Riwayat Al-Tirmizi)

Mengapa  perlu perbanyakkan mengingati mati?

Memperbanyakkan mengingati mati  dapat merentapkan rasa nikmat dunia yang sentiasa dikejar oleh semua manusia. Kesenangan dunia yang bersifat sementara selalu dikejar oleh manusia terutamanya dalam bab harta, pangkat dan  kedudukan yang cemerlang di mata masyarakat. Perkara ini sebagaimana sabda Baginda Nabi SAW yang bermaksud: "Perbanyakkanlah mengingati kematian. Seseorang hamba yang banyak mengingatinya, maka Allah akan menghidupkan hatinya dan akan menghilangkan baginya rasa sakit kematian itu." (Hadis Riwayat ad-Dailami)

Baginda Rasulullah SAW bersabda  maksudnya: "Perbanyakkanlah mengingati sesuatu yang dapat merenggut kenikmatan dunia iaitu kematian." (Hadis Riwayat Ibnu Majah dan Al-Tirmizi)

Dalam hadis lain, Baginda Nabi SAW  bersabda yang maksudnya:  "Perbanyakkanlah mengingati pemusnah kenikmatan dunia." Kami pun bertanya: "Apakah pemusnah kenikmatan dunia itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: "Kematian." (Hadis Riwayat Abu Nu'aim al-Hafiz)

Allah SWT berfirman  maksudnya:  "Dialah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat)." (Surah al-Mulk ayat 2)

Justeru itu, persediaan bagi mengahadapi kematian perlu dilaksanakan setiap masa kerana tiada sesiapa yang mengetahui bila saat dan tempat kematiannya.

Hitam rambut gagah perkasa,

Masa  hidup ketentuan-Nya,

Kematian datang ukuran masa,

Tiba saatnya  kembali  pada-Nya.

Penulis Pensyarah Kanan Fakulti Pengajian Bahasa Utama  Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 2 September 2022 @ 7:01 AM