ISLAM menegah perbuatan fitnah bagi menjaga keharmonian masyarakat khususnya sesama Islam. FOTO Arkib NSTP
ISLAM menegah perbuatan fitnah bagi menjaga keharmonian masyarakat khususnya sesama Islam. FOTO Arkib NSTP
Dr Khairul Asyraf Mohd Nathir

Perkataan fitnah dalam masyarakat khususnya di Malaysia sudah tidak asing lagi mutakhir ini. Pemahaman umum tentang fitnah ini merujuk kepada tuduhan demi tuduhan yang dilemparkan. Selain itu fitnah merujuk kepada rekaan yang diadakan bertujuan untuk memburuk-burukkan seseorang atau memporak-perandakan masyarakat. Situasi ini seringkali berlaku apabila adanya pihak yang tidak sependapat dengannya dalam sesuatu perkara.

Namun apabila diteliti makna asal perkataan fitnah dalam bahasa Arab, fitnah merujuk kepada ujian, kufur, pembunuhan, kebakaran dan lain-lain sebagaimana pandangan daripada Ibn Athir.

Al-Imam al-Ghazali pula menjelaskan dalam Ihya'nya bahawa sifat fitnah merujuk kepada pemindahan kenyataan seseorang kepada orang lain sepertimana dia berkata, "si fulan berkata dan mengata kepada kamu itu dan ini."

Islam menegah perbuatan fitnah ini bagi menjaga keharmonian masyarakat khususnya sesama Islam.

Nabi SAW mengecam perbuatan fitnah ini sekeras-kerasnya. Baginda bersabda:  "Tidak masuk syurga orang yang menyebarkan fitnah (mengadu domba)." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Fitnah berdasarkan pandangan Imam Nawawi dalam mensyarah hadis ini adalah pemindahan maklumat daripada percakapan manusia atau orang ramai kepada seseorang yang lain dengan tujuan untuk merosakkan hubungan di antara mereka.

Pada hari ini, fitnah berleluasa dengan cara yang lebih mudah berbanding pada masa lampau. Hal ini kerana, perkembangan teknologi yang semakin rancak menjadikan amalan fitnah ini semakin mudah tersebar hanya dengan jari jemari yang rancak menulis di laman sosial Facebook, WhatsApp, Instagram, Twitter dan lain-lain.

Pada hari ini golongan yang menyebarkan fitnah ini mempunyai niat dan berkehendak kepada sesuatu yang bernilai seperti meraih sesuatu jawatan penting, dominasi perniagaan, politik, kedengkian terhadap kejayaan seseorang dan lain-lain.

Daripada Abu Hurairah RA, Nabi SAW bersabda maksudnya:  "Cukuplah seseorang dikatakan pendusta apabila dia menyampaikan apa sahaja yang didengarinya." (Hadis Riwayat Muslim)

Situasi ini apabila diteliti mempunyai kaitan yang rapat dengan soal hati yang tidak dipagari dengan iman yang teguh. Dalam perkara ini, syaitan akan memainkan peranan besar bagi memastikan manusia khususnya orang-orang beriman saling bertelagah antara satu sama lain.

Dalam al-Quran, Allah SWT menempelek mereka yang menyebarkan berita tanpa usul periksa. Allah berfirman maksudnya:  "Sesungguhnya orang-orang yang membawa berita bohong itu adalah daripada golongan kamu juga. Janganlah kamu kira bahawa berita bohong itu buruk bagi kamu bahkan ia adalah baik bagi kamu. Tiap-tiap seseorang daripada mereka mendapat balasan daripada dosa yang dikerjakannya dan siapa di antara mereka yang mengambil bahagian yang terbesar dalam penyiaran berita bohong itu baginya azab yang besar. Mengapa di waktu kamu mendengar berita bohong itu orang-orang Mukminin dan Mukminat tidak bersangka baik terhadap diri mereka sendiri dan (mengapa tidak) berkata: "Ini adalah suatu berita bohong yang nyata." (Surah al-Nur ayat 11-12)

Allah SWT telah menjelaskan balasan yang akan dirasai oleh mereka yang suka menfitnah. Allah SWT berfirman maksudnya:  "Sesungguhnya orang-orang yang suka menghebahkan tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat; dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian)." (Surah al-Nur ayat 19)

Imam Ibn Kathir dalam menafsirkan ayat ini, mengatakan ayat ini membawa makna orang-orang yang mendengar berita buruk kemudian menyampaikan dan menyebarkan berita tersebut.

Demikian juga hadis yang diriwayatkan oleh Samurah Bin Jundub RA, bahawa Nabi SAW telah bersabda maksudnya:  "Berkata malaikat yang mengiringi Rasulullah SAW: "Adapun orang yang diseksa dengan penyangkut besi yang menembusi pipi sehingga ke belakang lehernya dan disengkut lubang hidung sehingga menembusi belakang lehernya dan disengkut mata sehingga menembusi batang lehernya ialah kerana kerjanya sejak pagi menyebarkan pembohongan sehingga seluruh ufuk penjuru dunia." (Hadis Riwayat Ibn Hibban)

Nabi SAW juga bersabda maksudnya: "Celakalah golongan-golongan pelampau. Baginda SAW mengucapkannya sebanyak tiga kali." (Hadis Riwayat Muslim)

Imam al-Nawawi dalam mensyarahkan hadis ini menyebut golongan-golongan pelampau yang disebutkan di dalam hadis ialah golongan melampaui batas dalam pengucapan mereka.

"Jangan mulakan walau sekecil-kecil fitnah, kelak membarah memusnahkan diri."

Doa untuk mengelakkan diri daripada fitnah

Terdapat beberapa doa yang disampaikan oleh Rasulullah SAW seperti riwayat daripada Anas RA  yang bermaksud:  "Wahai Zat yang membolak-balikkan hati, teguhkanlah hatiku di atas agama-Mu. (Hadis Riwayat Imam Ahmad)

Doa Rasulullah SAW seperti riwayat Ibn Abbas RA maksudnya:  "Ya Allah! Sesungguhnya aku memohon kepada-Mu perbuatan kebaikan, meninggalkan kemungkaran, kasihkan orang miskin dan Engkau ampunkan dosaku, Engkau rahmatiku dan Engkau terima taubatku. Jika Engkau menghendaki dengan hamba-hamba-Mu fitnah, maka matikanlah aku tanpa sebarang fitnah." (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Doa Rasulullah SAW seperti riwayat Abi Burdah bin Abdillah, daripada bapanya maksudnya:  "Ya Allah! Sesungguhnya kami jadikan Kamu sebagai benteng pada leher-leher mereka dan kami berlindung dengan-Mu daripada kejahatan mereka." (Hadis Riwayat Abu Daud)

Doa Rasulullah SAW seperti riwayat Ibn Abbas RA  maksudnya:  "Tiada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenarnya kecuali Allah yang Maha Agung lagi Maha Lemah Lembut. Tiada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenarnya kecuali Allah Tuhan Pemilik Arasy yang Agung. Tiada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenarnya kecuali Allah Tuhan Pemilik langit dan pemilik bumi dan Tuhan pemilik Arasy yang mulia." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Doa Rasulullah SAW seperti riwayat Anas RA  maksudnya:  "Ya Allah! Engkaulah kekuatanku dan Engkaulah penolongku dan dengan-Mu aku berperang." (Hadis Riwayat al-Tirmizi)

Doa Rasulullah SAW seperti riwayat Sa'ad bin Abi Waqqas RA  maksudnya:  "Tidak ada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenarnya kecuali Engkau. Maha Suci Engkau, sesungguhnya aku daripada kalangan orang-orang yang zalim." (Hadis Riwayat al-Hakim)

Doa Rasulullah SAW seperti riwayat Abu Bakrah RA  maksudnya:  "Ya Allah, dengan rahmat-Mu aku berharap. Janganlah Engkau biarkan urusanku pada diriku sendiri walau sekelip mata dan perbaikilah seluruh urusanku. Tidak ada Tuhan yang berhak disembah dengan sebenarnya selain Engkau." (Hadis Riwayat Abu Daud)

Justeru itu, untuk mengelakkan diri daripada fitnah, maka jangan kita mulakan dengan memfitnah walaupun dengan sekecil-kecil perkara. Fitnah akan tersebar tanpa disedari, akhirnya merebak mencetus api membakar diri.

Penulis Pensyarah Kanan  Fakulti Pengajian Bahasa Utama,  Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 September 2021 @ 7:01 AM