PADA zaman ledakan komunikasi kini manusia bebas berkongsi apa saja. FOTO AFP
PADA zaman ledakan komunikasi kini manusia bebas berkongsi apa saja. FOTO AFP
Dr Mohd Khairul Naim Che Nordin

Perkembangan teknologi maklumat sejak 30 tahun lalu melenyapkan jurang komunikasi antara manusia. Ilmu pula dapat disebar dengan lebih meluas. Semua orang boleh berkongsi idea, pandangan bahkan isi hati mereka. Ia bising dengan hiruk-pikuk pandangan, komentar, kritikan dan luahan.

Mereka bebas berkongsi walau tiada autoriti, ilmu dan wibawa dalam bidang yang dibincangkan. Oleh kerana yang mengulas dan memberi pandangan itu ramai, akhirnya majoriti yang mengulas bukan mereka yang berkeahlian.

Di kala segala fakta dan maklumat boleh didapati hanya dengan satu klik, ironinya kita berasakan masyarakat kini semakin tidak mengetahui apa-apa. Faktornya, semakin ramai golongan tidak berkeahlian mahu mengupas apa yang mereka tidak tahu.

Ia wabak pemikiran yang bahaya apabila kita tidak sedar bahawa 'kita tidak tahu yang kita tidak tahu'. Dengan kejahilan ini, ia menyebabkan kita dengan yakinnya berasakan mengetahui apa yang diucapkan, walhal ia bukan sedemikian. Tambah bahaya apabila kita berkongsi pula hasil 'kejahilan' itu dengan orang lain di media sosial.

Lebih parah, algorithm seperti yang ditetapkan di media sosial seumpama Facebook akan memastikan hanya pola pandangan tertentu mendominasi dan muncul di paparan akaun seseorang walaupun pandangan itu boleh jadi salah. Ia bertujuan memastikan pengguna terus 'scroll' apa yang mereka minati dan bukan apa yang sepatutnya mereka tahu. Tujuannya, semakin banyak masa untuk iklan boleh dipertontonkan kepada pengguna.

Dalam keadaan inilah teori konspirasi yang menyanggahi disiplin ilmu tertentu dan ajaran salah yang menyalahi pegangan Ahli Sunah Waljamaah sebagai aliran arus perdana semakin berkembang dan menarik perhatian ramai.

Perlu ditekankan teori konspirasi yang saya maksudkan di sini ialah teori yang hanya bersandarkan andaian serta persepsi tanpa metodologi kukuh yang membenarkan teori itu, namun dibiarkan bergentayangan di alam maya.

Begitu juga ajaran salah diperkenalkan oleh individu tidak dikenali, tanpa latar pengajian agama yang jelas dan lagi malang apabila berhujah dengan hanya mimpi atau imaginasi. Dengan 'hujah' itu mereka menyalahi pandangan ulama muktabar yang terbukti wibawa keilmuan mereka dalam kalangan umat Islam. Wibawa itu pula diperoleh hasil pengiktirafan umat Islam terhadap sumbangan mereka menyebarkan agama sama ada melalui penulisan mahupun didikan dan bukan dengan banyaknya view atau like yang diperoleh.

Namun, mengapakah teori konspirasi dan ajaran menyeleweng diminati sesetengah manusia?

Faktor pertama adalah keinginan manusia untuk mengetahui sesuatu. Apabila berlaku krisis atau kejadian yang besar, secara tabiinya manusia mahukan penjelasan mengapa dan bagaimana sesuatu yang sebegitu besar boleh berlaku.

Namun, mereka juga bukan berkeahlian dan pakar dalam krisis atau kejadian berkenaan. Mereka tidak mampu membezakan sumber yang benar dan berautoriti dengan sumber salah serta palsu.

Mereka mahu dapatkan keyakinan dan buang keraguan, namun kadangkala diambilnya daripada sumber yang salah. Teori konspirasi dan ajaran menyeleweng biasanya dipersembah dengan menarik, melalui kod, isyarat dan istilah tertentu serta individu dan institusi berkepentingan sebagai watak antagonisnya. Ia tambah menarik apabila disadur dengan nas agama yang diambil secara literal dan digabungkan dengan teori berkenaan.

Faktor kedua ialah kemahuan manusia untuk rasa selamat dan miliki autonomi mengawal keadaan yang berlaku kepada diri mereka. Manusia seboleh-bolehnya tidak mahu rasa putus asa dan lemah apabila menghadapi sesuatu di luar kawalan mereka. Teori konspirasi setidak-tidaknya menjelaskan ada aspek tertentu di luar kawalan mereka.

Faktor ketiga, teori konspirasi dan ajaran salah boleh memberi rasa istimewa (feel good factor) kepada sesiapa yang mempercayainya. Mereka berasakan miliki akses maklumat dan ilmu yang tidak diperoleh orang lain. Ia boleh meningkatkan rasa nilai diri tinggi (self-esteem), unik dan istimewa berbanding orang lain yang dianggap jahil, dikuasai serta dikawal pihak tertentu.

Oleh itu apabila ada seseorang mendakwa bermimpi bertemu Imam Mahdi yang sememangnya disebut kedatangannya dalam hadis, diselit hujah dengan situasi dunia kini sebagai tanda kedatangannya dan kemudian menyeru 'semua yang terpilih' di media sosial untuk keluar serta pergi berbaiah kepadanya di sesuatu tempat maka ia ramuan cukup baik untuk menarik mereka yang mempunyai ciri seperti di atas. Formula: teori konspirasi + ajaran meyeleweng = kumpulan terpilih akhir zaman. Ramuan ini akan terus wujud namun dengan latar individu yang berbeza.

Namun, bagaimanakah ia dapat dibendung? Ia bermula daripada diri setiap individu itu sendiri yang mesti arif tentang cara mendapatkan sumber yang betul, berfikir secara kritikal serta sentiasalah timbulkan persoalan jika dihadapkan dengan teori dan pandangan berbeza daripada pihak autoriti dan ilmuwan agama.

Mimpi peribadi dan segala hujahan mistik selama-lamanya tidak boleh dijadikan hujah dalam agama. Dalam konteks teori konspirasi pula, janganlah kita terlalu bermain dengan kebetulan, angka dan simbol tertentu. Rukun iman keenam yang wajib kita imani ialah kuasa Allah yang menetapkan setiap sesuatu yang telah, sedang dan akan berlaku. Sememangnya janji Allah itu pasti, namun janganlah pula kita menjadi ahli nujum yang mengandaikan kejadian sesuatu dan kemudian menyeru semua mengikutinya walhal ramalan itu datang daripada mimpi atau khayalan kita.

Rumusannya, apabila kita membaca atau mendengar sesuatu yang disebut konspirasi pihak tertentu di alam maya maka renungkan, mungkinkah ia sebenarnya satu konspirasi untuk kita menanggapinya sebagai konspirasi? Jika ada yang mendakwa membawa ajaran baharu dalam agama maka ingatlah Islam terbina bersumberkan al-Quran dan al-sunnah. Ulama dalam pelbagai disiplin ilmu agama pula saling berganding bahu memberi kefahaman kepada umat dan bukannya keraguan yang membawa kepada ketakutan seperti disebarkan pengasas ajaran salah dan menyeleweng.

Penulis Pensyarah Kanan Jabatan Akidah dan Pemikiran Islam, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya (UM)

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 9 September 2021 @ 7:01 AM