Oleh Prof Madya Datin Dr Sapora Sipon

Saya siswa jurusan kaunseling dan berdepan masalah yang sering membuat saya keliru. Islam menekankan manusia untuk amar maaruf dan nahi munkar. Begitu juga ada lagi ayat yang menyuruh kita berdakwah dengan berhikmah dan berdebat melalui contoh teladan yang baik.

Dalam pengajian subjek kaunseling, saya didedahkan dengan pelbagai teori kaunseling sekular yang mempunyai asas teoritikal tertentu. Kaunseling Barat tidak meletakkan nilai sedangkan dalam agama ada nilai jahat dan baik.

Saya juga didedahkan sikap lebih banyak mende­ngar dan tidak terus memberi penyelesaian, bahkan ada teori yang membiarkan klien bebas memilih jalan penyelesaian. Ini berlainan dengan ajaran agama di mana kita diminta mencegah perkara yang salah. Dalam berdakwah, manusia diajak kepada kebaikan.

Soalan saya, bagaimana jalan terbaik agar kita dapat membantu klien dan pada masa yang sama tidak meninggalkan suruhan Allah untuk mengajak berbuat maaruf dan menegah kemungkaran?

Kadangkala ini membuat­kan saya keliru, apatah lagi saya datang daripada pengajian sekolah agama.

SISWA KELIRU,

Selangor

Terima kasih di atas soalan yang sangat baik ini. Di dalam Islam kita diseru melakukan kebaikan dan meninggalkan kejahatan. Kaunseling juga adalah satu medan untuk membantu klien membuat satu keputusan ke arah lebih positif dan baik.

Tidak semua teori kaunseling Barat menekankan untuk kita hanya mende­ngar tetapi ada juga teori yang membolehkan kita berdebat dengan klien apabila pemikirannya bercanggah dengan kelakuan yang diinginkan.

Setiap teori mempunyai perbezaan penggunaan me­ngikut matlamat yang diinginkan. Klien dibenarkan memilih keputusan yang diinginkan tetapi sebagai kaunselor, tugas kita membantu supaya keputusan yang diambil selaras dengan syariat. Itu adalah satu perbezaan Islam dan Barat.

Teori kaunseling dari Barat adalah asas kepada ilmu kaunseling. Di dalam Islam, kaunseling mempunyai pengertian dan kedudukan tersendiri. Ini selaras de­ngan tuntutan Islam yang berpandukan al-Quran dan sunah.

Kebanyakan sentuhan kaunseling Barat lebih bertumpu kepada perubahan tingkah laku klien ke arah lebih rasional dan mengikut garis normal hidup sebagai manusia.

Kaunseling berperspektif Islam melihat elemen yang lebih mendalam iaitu keseluruhan kehidupan manusia. Kaunseling berpendekatan Islam dilihat lebih memberi kesan yang menyeluruh bagi hidup seseorang Muslim.

Namun, teknik dan gaya pendekatan kaunseling Barat boleh juga diaplikasikan ketika sesi kaunseling berlangsung.

Berkesannya kaunseling berpendekatan Islam ini kerana matlamat akhir yang berbeza dengan pendekatan kaunseling sekular yang lain.

Matlamat akhir bagi sesi kaunseling berpendekatan Islam ialah mengkehendaki klien memahami hubungan dengan Allah, makhluk ciptaan Allah, tujuan hidup dan matlamat akhir kehidupan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 17 November 2014 @ 5:59 AM