GAMBAR hiasan.
GAMBAR hiasan.
Prof Madya Dr Shuhaimi Abdullah


PANDEMIK ini membawa kepada gangguan sosioekonomi global, penangguhan dan pembatalan acara kebudayaan, keagamaan dan kesukanan serta ketakutan yang meluas dalam kekurangan bekalan makanan mendorong kepada pembelian panik.

Teori maklumat palsu dan teori konspirasi mengenai virus itu tersebar secara meluas dalam talian dan terdapat insiden xenofobia dan perkauman terhadap orang Cina dan orang Timur atau Asia Tenggara lain.

Justeru, tindakan kerajaan membendung penularan Covid-19 melalui Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan pelbagai kempen kesihatan hingga 14 April ini, bertepatan dengan ajaran Islam.

Meskipun Covid-19 adalah petaka atau bala kepada umat manusia, namun di sana terdapat ibrah yang perlu diteladani dan diinsafi setiap individu atas kapasitinya sebagai hamba.

Di sebalik tularnya Novel Coronavirus 2019 yang ditakuti mengancam manusia, umat Islam sebenarnya perlu mengingati kembali apa yang berlaku terhadap umat manusia terdahulu yang ingkar kepada ajaran Allah SWT.

Ingatlah bagaimana kaum Nabi Luth AS yang Allah terbalikkan bumi ke atas mereka, bagaimana kaum Nabi Nuh AS ditimpa banjir besar yang menenggelamkan bumi, semuanya kerana mereka ingkar pada ajaran Allah. Malangnya, apabila Allah menurunkan bala dengan tujuan memberi peringatan supaya manusia menginsafi perbuatannya, namun manusia berterusan melakukan kerosakan dan melawan Allah.

Mereka mencabar orang beriman dengan kerosakan yang dibuat langsung tidak menjejaskan kehidupan mereka, bahkan kehidupan mereka semakin baik dan dilimpahi kesenangan. Sungguh malang manusia yang bertindak sedemikian.

Oleh yang demikian, apabila sesuatu tindakan itu berasaskan nafsu maka berlakulah sesuatu di luar batasan. Malah, boleh mendorong kepada perlakuan songsang, tidak berintegriti dan menyalahi sunnah alami.

Bahkan perbuatan, tindakan yang diklasifikasikan sebagai dosa dianggap sesuatu yang fitrah dan selari dengan hak asasi kemanusiaan.

Nabi Muhammad SAW memuji orang beriman, apabila ditimpa ujian mereka tetap kembali pada Tuhan. Sabda Nabi maksudnya: “Adalah amat mengkagumkan bagi orang yang beriman kerana seluruh kehidupannya sentiasa dalam keadaan baik. Keadaan ini tidak akan dirasai kecuali orang beriman sahaja. Sekiranya dia mendapat kesenangan, dia bersyukur maka ia baik baginya. Sekiranya dia ditimpa kesusahan, dia bersabar maka ia juga baik baginya.” (Hadis Riwayat Muslim)

Apresiasi manusia mengenai faktor alamiah menyebabkan manusia rasa terusik. Rasa terusik itu boleh menyebabkan manusia semakin dekat kepada Pencipta.

Ini kerana semua yang terlihat, terdengar dan terasa datangnya daripada kekuasaan Allah. Apa yang direka dan digubah manusia cuba mendekati Ilahi untuk membimbingnya menjadi insan yang terbaik. Itulah puncak pengabdian hamba kepada Penciptanya.

Umat Islam perlu menginsafi bahawa Islam membawa perubahan pada zaman dan bukan zaman membentuk prinsip Islam. Fitrah manusia perlu selari dengan fitrah zaman.

Islam adalah agama yang hidup. Ia bukan agama yang ketinggalan zaman. Takdirnya zaman menjadi rosak, manusia hanyut dengan fahaman kebendaan dan nafsu nafsi yang melampau, Islam tidak boleh menurutinya.

Ajaran Islam memberi jalan penyelesaian kepada umat manusia dalam apa jua keadaan sesuai dengan objektif syaraknya yang lima iaitu memelihara agama, nyawa, akal, harta benda dan keturunan.

Barangsiapa yang tidak memahami kewujudan maqasid dalam perintah dan larangan syarak, maka ia tidak memiliki pandangan yang jelas dan benar mengenai agama.

Justeru, menginsafi ibrah fenomena Covid-9 yang berlaku di dunia dan di Malaysia khususnya akan mematangkan lagi masyarakat, baik orang awam mahupun agamawan supaya kembali kepada ajaran Islam yang sebenar dalam konteks saling mengingati ke arah kebaikan dan kesabaran, keperluan menjaga kebersihan dan mengutamakan kepentingan umum daripada diri sendiri serta menjauhi daripada menyebarkan berita palsu.

Selain itu, ia mengingatkan kita bahawa ajaran Islam memberi penekanan kepada kebersihan diri termasuk kepada sebahagian daripada sunah Nabi mengenai adab menutup mulut dan merendahkan suara ketika bersin.

Fitrah manusiawi atas landasan akidah yang mantap, ibadah yang berterusan, kepatuhan kepada syariah bakal membentuk pekerti atau akhlak yang mulia.

Penulis adalah Pengarah Pusat Islam, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 8 April 2020 @ 7:10 AM