BUMI global (kiri) dan pemikiran bumi datar (kanan). FOTO/AGENSI
BUMI global (kiri) dan pemikiran bumi datar (kanan). FOTO/AGENSI
Muhammad Saufi Hassan


KUALA LUMPUR: Beranggapan bahawa bumi itu berbentuk datar dan mempunyai penghujungnya selain sering mengaitkan penemuan sains sebagai sebahagian teori konspirasi terancang membabitkan semua negara.

Itu antara dakyah jumud segelintir penyokong pandangan bumi datar atau Flat Earth (FE) sehingga menyanggah keputusan ijmak ulama serta pandangan cendekiawan Islam terkemuka seperti Al Khawarizmi, Al Biruni, Al Idrisi dan beberapa ulama terbilang Islam lain.

Golongan ini juga boleh dikelaskan sebagai ‘ajaran sesat’ dalam konteks ilmu kerana pandangan mereka tidak bersandarkan kepada sebarang rujukan sebaliknya kerap mengaitkan dengan konspirasi.

Wartawan Harian Metro cuba mendapatkan gambaran lebih jelas berhubung pandangan golongan ini dan wujud satu halaman dalam Facebook dipercayai milik penggerak pandangan itu untuk menyebarkan dakyah mereka.

Berdasarkan pemerhatian, halaman itu diikuti hampir 5,000 orang dan wujud sebahagian daripada mereka yang bersimpati terhadap pandangan struktur bumi ini adalah datar dan bukannya sfera.

Golongan ini juga begitu taasub dengan elemen konspirasi dan sebarang penemuan yang berkait dengan agensi angkasa dunia akan dikatakan sebagai penipuan terbesar.

Menerusi beberapa status di dalam halaman itu juga mempertikaikan beberapa perkara dan setiap kiriman berkenaan sering dikaitkan dengan konspirasi peringkat global.

Wartawan berkomunikasi dengan beberapa ahli dalam halaman berkenaan dan mereka menyokong pandangan bumi datar bersandarkan kepada beberapa ayat al-Quran yang diambil secara literal tanpa merujuk kepada terjemahan ulama muktabar.

Ada dalam kalangan mereka yang benar-benar yakin dengan dakyah bumi datar dan apabila wartawan bertanyakan di manakah penghujung bumi ini, individu berkenaan akan cuba mengelak dan memesongkan topik perbualan.

Wujud juga dakwaan daripada penyokong teori berkenaan bahawa penghujung dunia dikawal rapi oleh tentera yang dianggotai oleh semua negara.

Dakwaan berkenaan sememangnya lucu kerana kelompok ini masih menafikan kebenaran yang nyata dan isu bumi datar ini sudah diselesaikan oleh ulama Islam sejak zaman ulama salaf lagi.

Boleh dikatakan setiap kiriman halaman terbabit akan membawa rujukan daripada ‘pengkaji’ bumi datar dari barat sedangkan mereka mengatakan bahawa konspirasi terbesar ditunjangi dunia barat.

Pemerhatian juga mendapati ada dalam kalangan pengikut halaman itu cuba untuk membetulkan dakyah songsang bumi datar itu namun mereka menolak tanpa fakta kukuh sebaliknya hanya satu tanggapan yang remeh.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Februari 2019 @ 9:19 AM