KESEDARAN kendiri yang perlu ada dalam diri setiap Muslim ialah perlu tahu ilmu asas dalam agama Islam.
KESEDARAN kendiri yang perlu ada dalam diri setiap Muslim ialah perlu tahu ilmu asas dalam agama Islam.
Dr Mohd Hasrul Shuhari

Cabaran umat Islam kontemporari antaranya ialah terdedah kepada ajaran sesat atau menyeleweng daripada ajaran Islam yang sebenar. Jika seseorang itu mengikuti pengajian sempurna berdasarkan pandangan ulama Ahli Sunah Waljamaah (ASWJ) maka kemungkinan untuk dirinya terpengaruh agak sukar.

Umat Islam perlu menyemak terlebih dahulu latar belakang sesiapa yang ingin dirujuk itu sama ada dia berpegang dengan pegangan ASWJ atau tidak. Jika tidak, ia mungkin akan terjebak dengan ajaran sesat seperti antihadis, liberalisme, takfir (suka mengkafirkan orang lain), tabdi' (suka membidaahkan amalan khilafiah), batiniah dan seumpamanya.

Tidak mustahil ia juga membuka ruang luas kepada golongan ekstremis dan militan untuk bertindak. Ini kerana telah diakui oleh pihak berkuasa sendiri bahawa golongan itu boleh terjebak adalah disebabkan mereka tidak memahami pandangan agama berdasarkan ulama ASWJ.

Bekas Ketua Penolong Pengarah Counter Terrorism, Cawangan Khas Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay yang kini Ketua Polis Johor menjelaskan kepentingan ASWJ sebagai benteng daripada terlibat dengan keganasan.

Pada 2016 di Universiti Malaysia Terengganu (UMT), beliau menegaskan bahawa daripada sejumlah tangkapan yang dibuat, hanya segelintir melibatkan pelajar pondok. Menurutnya, antara sebabnya ialah institusi pondok selari dengan fahaman ASWJ. Beliau menegaskan kitab yang digunakan berdasarkan al-Quran, sunah, ijmak dan qias. Selain itu, ulama pondok juga berpegang teguh dengan manhaj al-Asyairah dan al-Maturidiyah daripada ASWJ.

Terdapat kajian peringkat doktor falsafah (PhD) di Universiti Malaya bertajuk Isu-Isu Wanita Dalam Fiqh Jihad Kumpulan Ekstremisme Agama: Kajian Terhadap Majalah Dabiq Dan Kaitannya Di Malaysia. Kajian ini menyatakan sikap ingin berubah daripada dunia maksiat kepada hidup beragama, tetapi salah memilih guru dan rakan menyebabkan wanita tempatan terlibat dengan ekstremis. Mereka ini juga terdiri daripada golongan berpelajaran yang melakukan interpretasi sendiri terhadap bahan berita yang diperoleh melalui internet tanpa melakukan rujukan silang dengan pihak berautoriti dan ulama ASWJ yang sebenar.

Kajian ini juga mendedahkan antara ciri ekstremis ialah menuduh pihak lain sebagai bidaah dan kafir. Antara aliran yang dikafirkan oleh golongan ekstremis ialah mazhab muktabar ASWJ dalam bidang akidah yakni al-Asyairah dan al-Maturidiyah.

Kajian ini juga memetik pandangan Fathi Muhammad Ahmad Ismail dalam kajian sarjananya di Universiti al-Bayt Jordan bahawa hakikatnya, sikap keras yang melampau dalam beragamalah yang menjadi punca ekstremisme agama berlaku. Kemudian disimpulkan oleh pengkaji PhD ini bahawa golongan ini sukar bertoleransi dengan kepelbagaian kumpulan dalam masalah teori dan praktikal Islam sehingga membawa kepada amalan membidaahkan, menyesatkan dan seterusnya menghalalkan darah sesama Muslim.

Kajian PhD ini juga menyatakan bahawa ekstremisme agama boleh berlaku akibat daripada kejahilan terhadap al-Quran, al-Sunnah, manhaj salafussoleh, maqasid al-syariah, sunnatullah, hakikat iman dan kaitannya dengan amalan, jenis hukum, jenis manusia, gaya bahasa Arab dan sejarah umat Islam.

Ini selari dengan kajian Leftenan Kolonel Dr Zulkarnain Haron daripada Cawangan Anti Keganasan Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP), Angkatan Tentera Malaysia. Beliau pernah menjelaskan sikap golongan ekstremis yang mempergunakan istilah salaf soleh.

Menurutnya, masalah yang timbul ialah ada sekelompok umat Islam yang mencanangkan bahawa mereka adalah golongan salafi dan pengikut manhaj salaf, lalu menuduh kelompok umat Islam yang lain tidak mengikut manhaj salaf. Kesedaran kendiri yang perlu ada dalam diri umat Islam ialah perlu tahu ilmu asas dalam agama Islam yang tersusun pada rukun agama. Rukun agama ada tiga iaitu akidah, syariat dan akhlak. Kesesatan sesuatu fahaman itu boleh berlaku apabila ia tidak tahu tentang ilmu asas ini. Perkara penting perlu disebut juga, ilmu ini perlu difahami berdasarkan fahaman ulama ASWJ. Jika tidak, terkini lihatlah bagaimana mudahnya sesetengah umat Islam terpengaruh dengan ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) sehingga sanggup menyumbang sebanyak RM84,721.

Dalam Mesyuarat Panel Pakar Aqidah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bertarikh 28 Disember 2010 diputuskan bahawa perincian definisi ASWJ ialah: (a) Mereka adalah golongan yang memahami dan berpegang kepada al-Quran dan Sunnah Nabi SAW mengikut manhaj dan kaedah salaf dan khalaf (Asya'irah dan Maturidiyyah); (b) Mereka adalah golongan berfahaman sederhana (wasatiyyah), tidak melampau dan tidak terlalu longgar, ini mengeluarkan Khawarij, Syi'ah Rafidhah, Qadariyyah, Jabariyyah, Mu'tazilah, Anti-hadis, Islam liberal, pluralisme agama dan seumpamanya; (c) Mereka ialah golongan yang mengutamakan perpaduan dan persaudaraan Islam bukan permusuhan, perdamaian bukan peperangan, berpegang kepada prinsip tidak memuja pemimpin, tidak taasub sehingga mengkafir atau menyesatkan sesama Islam.

Terdapat beberapa solusi penting yang dilaksanakan oleh pihak kerajaan untuk membanteras ajaran sesat seperti tercatat dalam buku terbitan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) pada 2015 bertajuk Ajaran Sesat: Merungkai Kekusutan dan Kecelaruan.

Antara solusi itu ialah: "Dalam konteks Malaysia, kerajaan melalui Majlis Fatwa Kebangsaan, Jabatan Mufti dan Jabatan Agama setiap negeri berperanan menjaga kesucian pengamalan agama Islam dengan penetapan bahawa akidah rasmi negara ini adalah berdasarkan akidah ASWJ; ikutan fatwa atau mazhab Imam Abu Al-Hassan Al-Ash'ari, fiqhnya berdasarkan fatwa atau mazhab Imam Muhammad Bin Idris Al-Syafi'i dan tasawufnya berdasarkan fatwa atau ikutan Imam Junaid Al-Baghdadi dan Imam Abu Hamid Al-Ghazali. Penentuan sebegini memberi kebaikan yang amat signifikan dari sudut kefahaman serta pengamalan masyarakat seterusnya kepada keamanan serta keharmonian negara."


Penulis Pensyarah Kanan, Pusat Pengajian Usuluddin, Fakulti Pengajian Kontemporari Islam (FKI), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Oktober 2021 @ 6:00 AM