FOTO HIASAN
FOTO HIASAN
Mohd Shahrizal Nasir

Ketika semua orang berdepan kesusahan hidup disebabkan wabak Covid-19, pelbagai inisiatif bantuan cuba dihulurkan kepada golongan yang memerlukan. Begitulah kecaknaan yang ditunjukkan oleh rakyat Malaysia yang tidak akan berdiam diri melihat orang lain dalam kesusahan.

Apatah lagi apabila membaca berita menyayat hati melibatkan individu yang membunuh diri kerana keperitan hidup ditanggung. Ada dalam kalangan mereka adalah saudara seagama dengan kita. Dalam keadaan semua orang terpaksa menjalani kehidupan norma baharu yang sangat mencabar, kadangkala kita terlupa nasib orang lain.

Kita sering memikirkan keadaan diri sendiri, tambahan pula semua orang perlu berada di rumah masing-masing. Ramai orang sudah lama tidak bertemu ahli keluarga sendiri, malah ada juga yang sudah lama tidak bertegur sapa dengan jiran. Islam mementingkan hubungan sesama manusia. Ini turut membabitkan hubungan kekeluargaan iaitu dengan insan yang dekat dalam kehidupan kita. Malah keharmonian hidup bermasyarakat bermula daripada sahsiah individu hasil kehidupannya yang baik dalam keluarga. Hubungan kekeluargaan sesama ahlinya pula ada yang dekat dan ada yang jauh.

Bagaimanapun, semuanya termasuk dalam satu keluarga. Keharmonian dalam kehidupan berkeluarga juga satu tanda yang membuktikan kekuasaan Allah SWT. Kehidupan keluarga yang bahagia adalah nikmat yang sepatutnya membuatkan manusia bersyukur kepada-Nya. Firman Allah SWT bermaksud: "Dan juga mereka (yang diredai Allah itu ialah orang) yang berdoa dengan berkata: Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh daripada isteri dan zuriat keturunan kami perkara yang menyukakan hati melihatnya dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang yang (mahu) bertakwa." (Surah al-Furqan ayat 74)

Islam menyarankan umatnya agar menjaga kebajikan sesama ahli keluarga. Sekiranya seseorang ditimpa kesusahan, ahli keluarga adalah pihak yang mula-mula kita minta pertolongan. Oleh itu, Islam amat menitikberatkan keutuhan hubungan kekeluargaan. Siapa lagi orang yang pertama kita minta bantuan kalau bukan daripada kalangan ahli keluarga sendiri? Setiap ahli keluarga ada tanggungjawab besar terhadap keluarga masing-masing. Seorang suami bertanggungjawab terhadap isterinya dan seorang bapa bertanggungjawab terhadap anaknya. Seorang abang atau kakak pula bertanggungjawab menyayangi adiknya. Malah lebih besar daripada itu, anak yang dewasa mempunyai tanggungjawab untuk menjaga kebajikan ibu bapanya.

Firman Allah SWT bermaksud: "Katakanlah: Marilah, supaya aku bacakan apa yang diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatu pun dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa…" (Surah al-An'am, ayat 151)

Rasulullah SAW pula bersabda mengenai kewajipan seorang anak berbakti kepada orang tuanya: "Kehinaan, kehinaan, kehinaan." Baginda ditanya: "Siapa (yang engkau maksudkan) wahai Rasulullah?" Rasulullah menjawab: "Siapa saja yang mempunyai orang tuanya ketika sudah lanjut usia, salah satu atau kedua-duanya, namun dia tidak (menjadikannya sebab) untuk masuk syurga." (Hadis Riwayat Muslim)

Oleh itu, dalam keadaan sukar sekarang diharapkan anak tidak sesekali melupakan orang tua masing-masing. Memang benar semua orang dalam keadaan susah, namun sebagai anak, tanggungjawab untuk menjaga kebajikan orang tua masih terpikul di atas bahu masing-masing. Walaupun ibu bapa tidak meminta dibelikan bekalan makanan atau barang dapur, mungkin anak boleh mengusahakan penghantaran keperluan itu menerusi pelbagai kaedah yang ada sekarang.

Kebajikan ahli keluarga antara perkara perlu diambil perhatian yang serius. Ada dalam kalangan kita yang sanggup membiarkan ahli keluarga sendiri hidup dalam kesusahan. Ada pula yang lebih mengutamakan orang lain daripada keluarga sendiri. Bantulah ahli keluarga terlebih dahulu kerana mereka termasuk dalam tanggungjawab kita.

Rasulullah SAW menjelaskan perlunya membantu golongan yang memerlukan dan dimulai dengan mereka yang menjadi tanggungan sendiri iaitu ahli keluarga. Sabda Rasulullah SAW bermaksud: "Tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah dan mulai dengan mereka yang menjadi tanggunganmu. Sebaik-baik sedekah ialah ketika berada dalam keadaan mencukupi (segala keperluan). Sesiapa memohon dipelihara (untuk tidak meminta-minta) maka Allah akan memeliharanya. Siapa yang bermohon dicukupkan (segala keperluan), maka Allah akan mencukupkan kehidupannya." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Selain itu, Rasulullah SAW juga menjelaskan kelebihan bersedekah kepada kaum keluarga yang memerlukan bantuan: "Sedekah kepada orang miskin terhitung pahala satu sedekah. Sedekah kepada kaum kerabat mendapatkan dua pahala (iaitu) pahala sedekah dan pahala menyambung silaturahim." (Hadis Riwayat Ahmad)

Bertanyalah khabar ahli keluarga sendiri tatkala semua orang berdepan ujian Covid-19. Mungkin dengan bertanya khabar, kita lebih mengetahui keadaan ahli keluarga sendiri dan dapat menghulurkan bantuan mengikut kemampuan yang ada. Perkara ini pastinya akan membuatkan hubungan kekeluargaan semakin akrab lebih-lebih lagi daripada kalangan keluarga dekat seperti adik-beradik.

Perintah untuk melakukan kebaikan kepada keluarga dinyatakan oleh Allah SWT dalam al-Quran: "Dan berikanlah kepada kerabatmu (kaum keluarga terdekat) dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau." (Surah al-Isra' ayat 26)

Selain keluarga, orang yang hampir dengan kehidupan kita ialah jiran. Usah jadikan alasan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) maka kita dilihat jauh daripada jiran tetangga. Kita tidak perlu pergi ke rumah mereka, namun sesekali cuba bertanya khabar menerusi kemudahan telefon. Dengan cara itu, mungkin juga kita dapat menghulurkan bantuan sekiranya jiran berada dalam kesusahan.

Hakikatnya kehidupan hari ini khususnya di kawasan bandar besar berbeza dengan kehidupan bermasyarakat satu ketika dulu di kawasan kampung. Rata-rata manusia kini lebih suka hidup bersendirian dan tidak menghiraukan jiran. Masing-masing membawa haluan sendiri. Malah lebih teruk apabila keadaan ini menjadi budaya kontemporari yang tidak sihat.

Kepentingan hubungan baik dengan jiran dapat difahami menerusi hadis Rasulullah SAW. Baginda menyebut hubungan kuat manusia dengan jiran sehingga seolah-olah jiran itu sebahagian daripada keluarga sendiri dan layak mendapat pusaka. Sabda baginda bermaksud: "Jibril sentiasa berpesan kepadaku agar berbuat baik kepada jiran sehingga aku menyangka bahawa jiran itu termasuk ahli waris." (Hadis Riwayat al-Bukhari)

Marilah kita berusaha menghulurkan bantuan kepada orang lain khususnya kepada insan yang hampir dengan kehidupan kita. Sepatutnya kita berasa malu sekiranya orang lain terlebih dahulu menghulurkan bantuan kepada ahli keluarga dan jiran sendiri sedangkan kita mampu membantu mereka.

Sebenarnya hubungan erat sesama ahli keluarga dan jiran tetangga akan menjadikan hidup lebih bahagia. Kebahagiaan itulah nanti akan menjadikan masyarakat hidup sejahtera tanpa ada rasa dengki dan iri hati sesama sendiri. Mudah-mudahan tidak ada dalam kalangan insan yang hampir dengan kehidupan kita yang sedang menahan kelaparan sedangkan kita tidur dalam kekenyangan.

Penulis pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Julai 2021 @ 6:00 AM