ISLAM menggariskan tatacara hubungan yang jelas bagi menjaga hubungan baik   sesama manusia.
ISLAM menggariskan tatacara hubungan yang jelas bagi menjaga hubungan baik sesama manusia.
Mohd Shahrizal Nasir

Kehidupan di dunia melibatkan hubungan sesama manusia dengan tidak ada insan yang mampu hidup bersendirian. Islam amat mementingkan hubungan baik sesama manusia, selain semestinya hubungan baik dengan Pencipta iaitu Allah SWT. Hubungan sesama manusia termasuk daripada kalangan keluarga dan sanak saudara, begitu juga dengan sesama insan lain sama ada yang Muslim ataupun sebaliknya.

Islam menggariskan tatacara hubungan yang jelas bagi menjaga hubungan baik dengan sesama manusia. Kehidupan di dunia akan harmoni sekiranya manusia dapat menjalinkan hubungan yang baik dalam mengurus hidup masing-masing. Sama ada manusia tersebut merupakan saudara seagama Islam atau sebaliknya, semuanya ada batasan dan peraturan tersendiri yang ditetapkan oleh Islam. 

Allah SWT berfirman dalam al-Quran bermaksud: "Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu menyekutukan-Nya dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada golongan yang sombong dan membangga-banggakan diri." (Suran an-Nisa', ayat 36)

Berdasarkan ayat tersebut, Allah SWT memerintahkan manusia agar berbuat baik kepada jiran tetangga. Jiran adalah satu kelompok manusia yang sebenarnya paling dekat dalam kehidupan kita. Setiap hari kita berada di sisi jiran dalam menjalani kehidupan seharian. Tidak semua orang tinggal berhampiran dengan keluarga sendiri, sebaliknya semua orang pasti tinggal dalam kelompok kejiranan. Malah Allah SWT mengkategorikan jiran kepada dua jenis iaitu jiran yang dekat dan jiran yang jauh. Hal ini menjelaskan kepada manusia betapa pentingnya jiran dalam kehidupan bermasyarakat.

Rasulullah SAW turut mengingatkan umatnya tentang keperluan menjaga hubungan baik dengan jiran menerusi sabdanya yang bermaksud: "Barang siapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jirannya." - (Hadis riwayat Muslim). Hadis tersebut jelas mengaitkan perbuatan menyantuni jiran berkait rapat dengan iman. Ia bukan satu perkara yang remeh sebaliknya perlu diberi penekanan sebagai bukti adanya iman dalam diri.

Daripada ayat al-Quran dan hadis tersebut juga dapat difahami bahawa menyakiti hati jiran atau memusuhi jiran tetangga merupakan perbuatan yang haram. Dalam apa juga keadaan, menyakiti hati jiran merupakan perbuatan yang ditegah oleh Islam. Hal ini juga disandarkan kepada hadis Rasululah SAW yang bermaksud: "Demi Allah! tidak beriman. Demi Allah! tidak beriman. Demi Allah! tidak beriman." Ditanya kepada baginda: "Siapakah yang tidak beriman, wahai Rasulullah?" Baginda bersabda: "Orang yang jiran tetangganya tidak berasa aman dengan gangguannya." (Muttafaq 'alaih)

Ternyata bahawa hubungan dengan jiran dan sesama manusia merupakan satu agenda besar yang perlu diambil perhatian serius oleh umat Islam. Menjaga hubungan baik dengan jiran tetangga bukan perkara remeh sepertimana pandangan sesetengah pihak. Adalah sangat mendukacitakan sekiranya ada dalam kalangan umat Islam yang tidak mengenali jirannya sendiri, sedangkan masing-masing mengetahui kehadiran satu sama lain di kawasan rumah sendiri. 

Terdapat banyak cara yang boleh dilakukan untuk menjaga hubungan baik sesama jiran. Amalan sentiasa memberi salam dan bertegur sapa, membantu dalam melancarkan urusan masing-masing, menziarahi jiran pada masa lapang dan memberi makanan kepada mereka merupakan antara perkara yang dapat merapatkan hubungan baik sesama jiran. 

Dalam sebuah hadis, Rasulullah SAW bersabda kepada sahabat baginda bernama Abu Zar: "Wahai Abu Zar, apabila kamu memasak makanan yang berkuah, maka banyakkan airnya dan jangan lupa untuk jiranmu." (Hadis riwayat Muslim)

Sekiranya kita tidak mampu untuk membuat kebaikan kepada jiran, jangan sesekali melakukan perbuatan yang boleh menjejaskan hubungan sesama jiran. Pastikan setiap perbuatan yang dilakukan mengambil kira sensitiviti jiran tetangga lebih-lebih lagi yang berhampiran dengan rumah kita. Ada kalanya perbuatan yang dilakukan boleh menyakiti hati jiran, maka berhati-hatilah dalam setiap tindakan kerana perbuatan menyakiti hati jiran adalah dilarang dalam Islam.

Banyak hikmah di sebalik pensyariatan agar sentiasa menjaga hubungan baik dengan jiran. Sesungguhnya dalam menjalani kehidupan seharian, kita tidak sunyi daripada ujian dan halangan tertentu termasuk ujian ditimpa sakit. Maka pada saat kita memerlukan bantuan, jiranlah yang paling dekat untuk memberi pertolongan dan bantuan awal. Jika hubungan dengan jiran tidak harmoni, mana mungkin kita mampu untuk meminta bantuan daripada jiran sendiri. 

Hakikatnya kehidupan hari ini khususnya di kawasan bandar besar amat berbeza dengan kehidupan bermasyarakat satu ketika dulu terutama di kawasan kampung. Rata-rata manusia kini lebih suka untuk hidup bersendirian dan tidak menghiraukan jiran. Masing-masing membawa haluan sendiri. Malah lebih teruk apabila keadaan ini menjadi budaya masa kini yang tidak sihat. Tidak kurang juga ada yang berpandangan sekiranya wujud hubungan baik sesama jiran, kehidupan mereka tidak bebas kerana akan sentiasa diperhatikan oleh jiran.

Kepentingan jiran sangat menyerlah apabila difahami daripada hadis Rasulullah SAW yang menjelaskan betapa akrabnya hubungan manusia sesama jiran sehingga seolah-olah jiran itu sebahagian daripada keluarga sendiri dan seperti layak mendapat pusaka. Sabda Rasulullah SAW dalam sebuah hadis yang mafhumnya: "Jibril sentiasa berpesan kepadaku agar berbuat baik kepada jiran sehingga aku menyangka bahawa jiran itu termasuk ahli waris." (Hadis riwayat al-Bukhari)

Marilah sama-sama kita memperbaiki hubungan kita dengan jiran tetangga sama ada yang jauh, lebih-lebih lagi yang dekat dengan rumah. Setiap perkara yang ingin kita lakukan perlu mengambil kira sensitiviti dan perasaan jiran tetangga. Menjaga hubungan baik sesama jiran adalah satu aspek penting dalam menjamin keharmonian hidup bermasyarakat.

Daripada perbuatan baik dengan jiranlah, kita dapat melatih diri untuk turut menyayangi orang lain lebih-lebih lagi daripada kalangan sesama Muslim. Dalam masa sama, jangan pula menyisihkan jiran daripada kalangan bukan Muslim kerana perbuatan baik yang dilakukan oleh orang Islam boleh menjadi salah satu cara dakwah untuk menzahirkan keindahan Islam yang menjunjung hubungan sesama manusia (hablum minan nas).

Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Sebaik-baik teman di sisi Allah adalah orang yang paling baik di antara mereka terhadap temannya. Dan sebaik-baik jiran di sisi Allah adalah orang yang paling baik di antara mereka terhadap jirannya." (Hadis riwayat at-Tirmidzi)

Penulis Pensyarah Pusat Pengajian Bahasa Arab, Fakulti Bahasa Dan Komunikasi, Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA)

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 3 January 2023 @ 7:00 AM