Mohd Shahrizal Nasir

Islam menggesa umatnya sentiasa menjaga kebajikan sesama ahli keluarga. Percanggahan pandangan dan perbezaan prinsip itu adalah lumrah dalam kehidupan.

Namun, usah diputuskan hubungan kekeluargaan. Sekiranya kita ditimpa kesusahan, maka ahli keluargalah yang mula-mula kita minta bantuan.

Seorang suami bertanggungjawab terhadap isterinya, bapa bertanggungjawab terhadap anak-anaknya dan abang atau kakak pula bertanggungjawab menyayangi adik-adiknya.

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud: “Setiap kalian adalah pemimpin. Setiap kalian juga akan dipertanggungjawabkan berkenaan kepemimpinannya. Seorang imam bertanggungjawab dan akan dipertanggungjawabkan berkenaan kepemimpinannya. Seorang lelaki bertanggungjawab terhadap keluarganya dan akan dipertanggungjawabkan berkenaan kepemimpinannya. Seorang wanita bertanggungjawab terhadap urusan di rumah suaminya dan akan dipertanggungjawabkan berkenaan kepemimpinannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Dalam hadis itu, Rasulullah SAW berpesan supaya setiap ahli keluarga, khususnya tonggak utama dalam rumah tangga iaitu suami dan ayah perlu memainkan peranan dalam memacu rumah tangga untuk meraih keredaan Allah SWT.

Kebajikan ahli keluarga antara perkara yang perlu diambil perhatian serius. Ada dalam kalangan kita yang sanggup membiarkan ahli keluarga hidup dalam kesusahan.

Malah, ada yang lebih mengutamakan orang lain daripada keluarga sendiri. Bantulah ahli keluarga terlebih dahulu kerana mereka termasuk dalam tanggungjawab kita.

Rasulullah SAW ada menjelaskan, perlunya membantu golongan memerlukan dan dimulai dengan mereka yang menjadi tanggungan sendiri iaitu ahli keluarga.

Sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Tangan di atas lebih baik daripada tangan di bawah dan mulai dengan mereka yang menjadi tanggunganmu. Sebaik-baik sedekah ialah ketika berada dalam keadaan mencukupi (segala keperluan). Sesiapa memohon dipelihara (untuk tidak meminta-minta), maka Allah akan memeliharanya. Siapa yang bermohon dicukupkan (segala keperluan), maka Allah akan mencukupkan kehidupannya.” (Hadis riwayat al-Bukhari)

Rasulullah SAW menjelaskan kelebihan bersedekah kepada kaum keluarga yang memerlukan bantuan iaitu: “Sedekah kepada orang miskin terhitung pahala satu sedekah. Sedekah kepada kaum kerabat mendapat dua pahala (iaitu) pahala sedekah dan pahala menyambung silaturahim.” (Hadis riwayat Ahmad)

Dalam konteks lebih luas, setiap Muslim perlu memastikan setiap ahli keluarga terselamat daripada seksaan api neraka. Hal itu meliputi pelbagai aspek dalam kehidupan seorang Muslim termasuk akidah, ibadah dan akhlak.

Kita perlu memastikan akidah ahli keluarga berada pada paksi yang betul. Jauhi perbuatan khurafat kerana ia boleh membawa kerosakan yang amat bahaya.

Sekiranya akidah ahli keluarga tidak dipelihara, maka akan timbul pelbagai kerosakan dalam institusi kekeluargaan.

Begitu juga dalam aspek ibadat, ia asas paling penting dalam kehidupan keluarga Islam. Setiap ahli keluarga perlu sentiasa menasihati antara satu sama lain agar aspek ibadat sentiasa dijadikan keutamaan.

Tunaikanlah solat secara berjemaah dalam keluarga kerana ia boleh mendatangkan seribu satu rahmat daripada Allah SWT.

Begitu juga dengan akhlak, ia perlu diberi perhatian dalam kehidupan berkeluarga.

Sifat hormat-menghormati, tolong-menolong, semangat kebersamaan, kasih sayang sesama keluarga serta budaya amar makruf nahi mungkar perlu disuburkan dalam kehidupan berkeluarga.

Marilah kita berazam untuk menghulurkan bantuan kepada ahli keluarga yang memerlukan. Bantuan itu pastinya akan mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan.

Jadikan tahun 2019 sebagai satu titik permulaan bagi mewujudkan keluarga bahagia dengan ahlinya saling menghulurkan bantuan.

Firman Allah SWT dalam al-Quran bermaksud: “Dan berikanlah kepada kerabatmu dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau.” (Surah al-Isra’, ayat 26)

Hubungan erat sesama ahli keluarga akan menjadikan hidup lebih bahagia. Kebahagiaan itulah akan menjadikan masyarakat hidup sejahtera tanpa ada rasa dengki dan iri hati.

Natijahnya, sebuah negara dihuni masyarakat yang harmoni kerana segalanya bertitik-tolak daripada keluarga yang saling bantu-membantu.

Penulis pensyarah Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 31 Disember 2018 @ 3:06 PM