BERSEDEKAH kepada kaum kerabat merupakan antara kategori sedekah yang paling afdal setelah sedekah kepada kedua ibu bapa seperti disarankan Rasulullah SAW.
BERSEDEKAH kepada kaum kerabat merupakan antara kategori sedekah yang paling afdal setelah sedekah kepada kedua ibu bapa seperti disarankan Rasulullah SAW.
Datuk Mohd Ajib Ismail

Ajaran Islam menuntut umatnya agar mengambil peduli terhadap kebajikan orang lain tanpa mengira sama ada mereka mempunyai hubungan kekeluargaan dengan kita ataupun tidak. Perkara tersebut berdasarkan firman Allah SWT dalam al-Quran surah al-Ma'idah ayat 2 yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu bertolong-tolongan untuk membuat kebajikan dan bertakwa, dan janganlah kamu bertolong-tolongan pada melakukan dosa (maksiat) dan pencerobohan."

Namun syariat Islam menekankan agar mengutamakan kebajikan ahli keluarga sendiri terlebih dahulu kerana mereka adalah insan yang paling hampir dengan kita. Justeru jangan ada dalam kalangan kita yang membiarkan ahli keluarga hidup dalam kesusahan dan mengabaikan mereka ketika memerlukan bantuan. Rasulullah SAW menjelaskan tentang kepentingan menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan bermula dengan ahli keluarga terdekat selaras dengan firman Allah SWT dalam al-Quran surah al-Isra' ayat 26 bermaksud: "Dan berikanlah kepada kerabatmu dan orang miskin serta orang musafir akan haknya masing-masing; dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau."

Sifat mengambil peduli antara satu sama lain akan membina sebuah keluarga yang bahagia sekali gus melahirkan masyarakat yang makmur dan sejahtera. Oleh itu, dalam melaksanakan amal kebajikan, ahli keluarga adalah golongan paling utama yang perlu diberikan perhatian. Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa' ayat 36 yang bermaksud: "Dan hendaklah kamu beribadat kepada Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan hendaklah kamu berbuat baik kepada kedua ibu bapa dan kaum kerabat dan anak-anak yatim dan orang-orang miskin dan jiran tetangga yang dekat dan jiran tetangga yang jauh dan rakan sejawat dan orang musafir yang terlantar dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang sombong takbur dan membangga-banggakan diri."

Kebajikan yang dilaksanakan terhadap orang lain haruslah seiring dengan kebajikan yang dilakukan kepada ahli keluarga.

Rasulullah SAW bersabda dalam sebuah hadis yang bermaksud: "Orang Mukmin yang paling sempurna imannya ialah yang paling baik akhlaknya dan yang berbuat baik kepada ahli keluarganya." - (Riwayat Abu Daud). Bahkan bersedekah kepada kaum kerabat merupakan antara kategori sedekah yang paling afdal setelah sedekah kepada kedua ibu bapa. Perkara tersebut berdasarkan sebuah hadis bermaksud: Daripada Anas bin Malik RA beliau berkata: "Abu Talhah merupakan individu dari kalangan Ansar yang paling banyak hartanya di Madinah. Harta yang paling beliau cintai adalah suatu kebun yang disebut sebagai Bayraha dan ia terletak berhadapan dengan masjid. Rasulullah SAW pernah memasuki kebun tersebut dan meminum suatu minuman yang enak di dalamnya. Lalu Anas berkata: Apabila turunnya ayat yang bermaksudnya: "Kamu sama sekali tidak akan mencapai pahala kebajikan sehinggalah kamu membelanjakan apa yang kamu cintai.‏"

Maka Abu Talhah pun menuju kepada Rasulullah S.A.W lalu berkata: "Sesunguhnya Allah telah berkata di dalam kitab-Nya: Kamu sama sekali tidak akan mencapai pahala kebajikan sehinggalah kamu membelanjakan apa yang kamu cintai.‏ Dan sesungguhnya harta yang paling aku cintai adalah Bayraha dan ia aku jadikan sebagai sedekah kerana Allah yang mana aku mengharapkan kebajikan dan ganjarannya di sisi Allah. Maka gunakanlah ia wahai Rasulullah ke mana sahaja yang kau kehendaki. Maka Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Amat baik ia merupakan harta yang menguntungkan. Aku telah mendengar apa yang kamu sebutkan namun aku berpendapat agar ia (sedekah kebun tersebut) diberikan kepada kaum kerabat kamu.‏ Maka Abu Talhah pun mengagihkan kebun itu kepada kaum kerabatnya dan juga sepupu-sepupu beliau dari sebelah ayah." (Riwayat Muslim).

Walaupun bersedekah adalah amalan yang digalakkan namun adalah lebih baik diutamakan kepada ahli keluarga dan saudara mara yang sangat memerlukan bantuan. Di dalam sebuah hadis daripada Jabir bin Abdullah RA, sesungguhnya seorang lelaki telah berkata: "Wahai Rasulullah, sesungguhnya aku memiliki harta dan anak dan ayahku ingin mengambil hartaku, maka Rasulullah SAW bersabda: "Kamu dan harta kamu adalah milik ayah kamu." - (Riwayat Ibn Majah). Berdasarkan hadis ini, sebahagian ulama berpandangan bahawa harus bagi seorang bapa menggunakan harta anaknya dalam keadaan memerlukan.

Setelah semua keperluan ahli keluarga terdekat dipenuhi, kita juga bertanggungjawab untuk mengambil berat kebajikan orang lain yang memerlukan seperti jiran tetangga kerana mereka adalah golongan paling hampir ibarat ahli keluarga sendiri. Di dalam sebuah hadis daripada Abi Syuraih RA bahawa Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan Hari Akhirat, maka hendaklah dia berbuat baik kepada jirannya." - (Riwayat Muslim).

Di dalam sebuah hadis yang lain daripada Ibnu Abas bahawa Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: "Tidak termasuk orang Mukmin, orang yang kenyang sementara tetangganya kelaparan." - (Riwayat At-Tabrani). Justeru antara bukti keimanan seseorang adalah memiliki sifat prihatin terhadap kesusahan jiran tetangga, sebaliknya tidak sempurna iman seseorang yang tidur dalam kekenyangan sedangkan ada jiran tetangga yang berada dalam kelaparan.

Di Wilayah Persekutuan, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) menjadi sebahagian daripada pasukan sukarelawan Skuad Musaa'dah Keluarga Malaysia yang disertai oleh 14 buah agensi agama di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) yang dilancarkan baru-baru ini. Skuad tersebut bertujuan menyantuni asnaf dan keluarga yang memerlukan dengan agihan bantuan bakul makanan, wang tunai dan barangan keperluan tanpa mengira latar belakang agama, bangsa dan budaya. Program tersebut merancakkan lagi pelbagai inisiatif yang telah digerakkan oleh Jawi sebelum ini seperti bantuan Jawi Food Bank, Gerobok Rezeki Masjid dan Dapur It'am yang mengedarkan pek makanan bermasak secara percuma setiap hari kepada golongan sasaran yang memerlukan.


Penulis Pengarah Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi)

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 11 Disember 2021 @ 6:00 AM