WAWA menjadi perunding imej sudah sepuluh tahun.
WAWA menjadi perunding imej sudah sepuluh tahun.
Hafiz Ithnin

"PERUNDING imej adalah untuk memberi keyakinan kepada seseorang menerusi personaliti yang dibina. Bukan menjadikannya sentiasa kelihatan berfesyen," jelas seorang perunding imej wanita berusia 47 tahun kepada penulis.

Malah Siti Mizalwa Idris juga melihat bergelar perunding imej memerlukan ilmu pengetahuan yang tinggi supaya tidak kelihatan canggung apabila berdepan dengan pelanggan.

Apatah lagi, jika pelanggan dalam kalangan mereka yang mempunyai ilmu di dalam bidang fesyen atau membesar dengan persekitaran dunia fesyen.

Mempunyai latar belakang pendidikan ijazah sarjana komunikasi korporat dari Universiti Putra Malaysia (UPM), Siti Mizalwa yang lebih mesra disapa Wawa berkata, dia berada di dalam kerjaya perunding itu secara tidak sengaja ketika melanjutkan ijazah sarjananya.

Katanya, ketika itu seorang rakan melihat kemahirannya yang boleh bercakap di depan khalayak dengan baik dan juga mempunyai personaliti yang baik.

"Jadi kawan saya itu menyarankan saya untuk menjadi seorang jurulatih tetapi saya tidak tahu di dalam bidang yang sesuai. Secara spontan rakan saya menyarankan untuk saya menjadi perunding imej kerana mungkin melihat saya yang suka bergaya.

ANTARA aksi Wawa ketika memadankan warna kepada peserta kursusnya.
ANTARA aksi Wawa ketika memadankan warna kepada peserta kursusnya.

"Bermula dari situ, saya mula menerokai bidang ini termasuk mengambil kursus perunding imej di Malaysia dan United Kingdom bagi mendalami ilmunya," katanya.

Jelasnya, ketika menceburkan diri di dalam bidang perunding imej, dia masih bekerja di dalam sebuah firma korporat sebagai pegawai komunikasi korporat.

Akhirnya pada 2019, dia mengambil keputusan untuk berhenti dan fokus di dalam kerjaya perunding imej.

"Jika ikut kepada perkiraan tahun, sudah 10 tahun saya menjadi perunding imej dan saya menemui pelbagai latar belakang pelanggan.

"Mereka terdiri daripada kumpulan korporat, mempunyai latar belakang pendidikan yang tinggi sehingga golongan politik. Jadi ilmu dan kemahiran perlu ada untuk mengendalikan mereka ketika saya menjadi perunding imej," katanya.

Jelasnya, tugas perunding imej sebenarnya untuk mencipta sebuah personaliti kepada si empunya diri dan menjadikan mereka lebih yakin.

"Sebagai perunding, saya tidak ingin mereka menjadi seorang yang berfesyen tetapi mempunyai keyakinan diri untuk mengangkat personaliti unik masing-masing.

"Berbanding dengan tugas seorang jurugaya yang biasanya mencipta gaya individu tetapi sebagai perunding imej kita bukan sahaya mencipta gaya malah memberi idea kepada pelanggan untuk yakin dengan personaliti yang ingin dibentuk," katanya.

Tambahnya, jika ingin menjadikan seseorang itu sentiasa berfesyen, ia adalah sesuatu yang tidak kekal berbanding mencipta personaliti yang mempunyai fesyen malar segar masing-masing.

"Fesyen ini datang dan pergi. Kadang-kala kita melihat satu gaya itu menjadi hangat pada tahun ini tetapi pada tahun akan datang ia sudah tidak mendapat perhatian.

"Apabila seseorang itumelihat balik fesyen yang tidak kekal itu mungkin pada masa akan datang, mereka akan merasakan ia sesuatu yang mungkin tidak kena dengan personaliti mereka. Berbanding mencipta personaliti ia menjadi sesuatu yang malar segar dan menjadi satu lambang kepada diri masing-masing untuk jangka masa panjang,"' katanya.

Tambahnya, bagi membentuk personaliti kendiri, seseorang itu perlu bijak untuk memilih gaya yang sesuai dengan diri masing-masing.

"Perkara ini penting dari segi etika diri, pemilihan pakaian dan warna. Contohnya cara kita membawa tas tangan untuk menghadiri acara korporat. Etika mengalas tas yang betul perlu diberikan idea kepada seseorang itu supaya ia kelihatan bukan sahaja praktikal malah mempunyai etika yang betul.

"Jadi di sinilah tugas seorang perunding imej bagi memberi idea atau inspirasi supaya seseorang itu mampu mencipta personaliti yang tidak kelihatan canggung," katanya.

SENTIASA menjadi pilihan kumpulan korporat untuk mengendalikan seminar membina imej.
SENTIASA menjadi pilihan kumpulan korporat untuk mengendalikan seminar membina imej.

Bercerita mengenai cabaran, katanya, sudah pasti apabila berdepan dengan pelanggan dalam kumpulan yang besar dia perlu mengetahui secara ringkas mengenai latar belakang mereka.

"Kadang-kala ada dalam kalangan kumpulan itu membesar dalam dunia fesyen dari luar negara dan mempunyai kerjaya amat profesional.

"Jadi sebelum proses memberi rundingan itu berlangsung saya perlu bersedia dari segi ilmu supaya soalan yang diberikan dapat dijawab dengan baik. Disebabkan itu, menjadi perunding imej ini bukan hanya perlu mengikuti gaya arus kini sahaja tetapi perlu mempunyai ilmu dan fakta," katanya.

Katanya, menjadi perunding imej adalah satu kerjaya yang menarik untuk diceburi kerana mampu membina pelbagai kemahiran diri.

"Untuk menjadi perunding imej ini memerlukan kemahiran komunikasi yang tinggi seiring juga dengan ilmu. Kedua-dua perkara ini tidak boleh dipisahkan.

"Kegunaannya, apabila berdepan dengan khalayak yang ramai, kita boleh bercakap dan menerangkan dengan yakin tanpa perlu khuatir mengenai latar belakang masing-masing," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 14 Februari 2024 @ 7:38 AM