SEGALA aspek perlu diambil kira.
SEGALA aspek perlu diambil kira.

hamaad Razis Ismail

[email protected]

HANYA dalam tempoh tujuh saat diperlukan seseorang itu untuk mengenal pasti latar belakang individu yang baru pertama kali ditemui menerusi gaya yang ditampilkan.

Menerusi gaya dan penampilan individu itu sudah dapat digambarkan jenis pekerjaan, pangkat, personaliti gaya, gaya hidup dan sebagainya.

Oleh itu, gaya yang ditampilkan memainkan peranan penting untuk memberi gambaran awal yang positif khususnya membabitkan pertemuan pertama.

Ia berkait rapat dengan pemilihan warna, jenis aksesori, jenis fabrik, pilihan corak yang memberi jawapan terhadap gaya peribadi seseorang.

Perunding imej dan warna profesional, Emi Idura Che Hashim berkata, untuk mengelakkan daripada tersilap memilih gaya sesuai, ilmu dan strategi yang betul amat diperlukan.

Katanya, hal ini kerana gaya merujuk kepada ekspresi diri iaitu salah satu cara untuk berkomunikasi secara tidak langsung (bukan lisan) dengan orang ramai.

"Rasa yakin diri yang tinggi sahaja tidak membantu, kerana kadang kalanya kesilapan dalam memilih gaya bakal membuatkan diri mereka dikecam.

"Gaya memberi informasi atau mesej mengenai siapa kita hari ini. Persoalannya, apakah mesej yang anda inginkan sampaikan atau harapkan ketika orang ramai melihat anda," katanya.

Menurutnya, sebagai panduan, anda boleh senaraikan kualiti dan identiti yang anda ingin gambarkan kepada semua.

WARNA antara elemen penting yang perlu dititikberatkan.
WARNA antara elemen penting yang perlu dititikberatkan.

"Mulakan dengan tiga hingga lima pilihan perkataan terbaik seperti profesional, berkeyakinan dan seorang yang feminin atau romantik.

"Kaedah ini membantu untuk mengenal pasti ciri-ciri personaliti gaya peribadi melalui gaya pemakaian anda selama ini," katanya.

Jelasnya, dalam memilih gaya terdapat kesilapan yang sering dilakukan termasuk terlalu teruja atau obses memilih fesyen yang sedang menjadi ikutan di pasaran.

"Kerana takut dikatakan ketinggalan atau dilabel tidak mengikuti fesyen semasa, seseorang individu sanggup berhabisan ribuan ringgit apabila sesuatu fesyen terbaru diperkenalkan.

DAPATKAN khidmat perunding imej bertauliah.
DAPATKAN khidmat perunding imej bertauliah.

"Tujuannya hanya untuk menunjukkan kepada rakan, orang ramai, kenalan di media sosial bahawa mereka juga mampu atau paling terawal untuk memiliki barangan atau koleksi itu," katanya.

Mengulas lanjut, rata-rata mereka yang tidak membuat analisa gaya boleh menjadi mangsa fesyen atau 'terjatuh' dalam kategori oniomania pula (gangguan belian kompulsif).

"Paling parah apabila duit simpanan banyak dihabiskan, kad kredit digesek semaksimum tetapi masih tidak temui gaya yang sesuai.

JANGAN terlalu obses dengan fesyen di pasaran.
JANGAN terlalu obses dengan fesyen di pasaran.

"Tidak hairan mereka ini bakal mengalami masalah kemurungan dan rasa tidak puas dalam berbelanja," katanya.

Justeru itu, beliau menasihatkan supaya seseorang itu perlu membuat Analisa Gaya Peribadi atau Analisa Personaliti Gaya terlebih dengan perunding imej bertauliah.

"Gaya peribadi adalah sebahagian daripada imej kita. Imej pula adalah sebahagian daripada jenama peribadi kita.

"Membina jenama peribadi adalah jalan mencapai kejayaan jangka masa panjang dan jika kita gagal untuk memahami konsep ini maka sukar untuk kita mencapai kejayaan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Oktober 2021 @ 6:35 AM