BELUM lagi dikomersialkan tetapi sudah mendapat perhatian golongan pendan dan selebriti.
BELUM lagi dikomersialkan tetapi sudah mendapat perhatian golongan pendan dan selebriti.
Hafiz Ithnin


Bagi pemilik nama Nur Farahin Mohd Nor, menyertai industri fesyen bukan sekadar mencipta pesona menerusi seni dalam rekaan malah ia begitu luas untuk diterokai.

Gadis berusia 24 tahun yang mesra di sapa Farah itu juga melihat fesyen membentuk dirinya untuk peka kepada persekitaran kerana ia boleh dijadikan sumber inspirasi dalam pelbagai karya.

Ia ternyata menjadi apabila tiga busana di dalam koleksi kapsulnya mengadaptasi inspirasi daripada kemajuan Kuala Lumpur terutama membabitkan bangunan ikonik, Menara Berkembar Kuala Lumpur (KLCC) dan kepesatan dalam pengangkutan awam.

Farah mengakui, dilahirkan di ibu negara membuatkannya melihat kemajuan Kuala Lumpur terutama dua elemen itu amat memberi kesan secara peribadi.

"Saya melihat kemajuan ibu negara sebenarnya boleh dijadikan satu karya yang menarik di dalam sebuah karya fesyen.

"Justeru, terhasil tiga busana di dalam koleksi kapsul ini yang membawakan gaya jalanan tetapi menceritakan mengenai kemajuan bangunan dan pengangkutan awam di ibu negara khasnya," katanya.

Katanya lagi, sebagai ibu negara, Kuala Lumpur juga memegang tempat yang kukuh dalam kalangan pusat komersial di Asia.

MENGANGKAT konsep athleisure yang mengabungkan sukan dan fesyen.
MENGANGKAT konsep athleisure yang mengabungkan sukan dan fesyen.

"Saya tertumpu kepada kesusasteraan Kuala Lumpur, khususnya tekstur KLCC dan Transit Aliran Massa (MRT) Lembah Klang.

"Tiap kali datang ke Kuala Lumpur, perkara pertama yang saya akan buat adalah melihat kehebatan infrastruktur dan bentuk Menara Berkembar Petronas. Ia menjadi kebanggaan rakyat Malaysia dan apabila ia berada di dalam rekaan ini, ternyata ia memberi makna tersendiri," katanya.

Jelasnya, konsep rekaannya bersandarkan fesyen athleisure merujuk kepada trend fesyen baharu yang menggabungkan kedua-dua realiti sukan dan fesyen.

Tambahnya, athleisure juga merujuk kepada pakaian olahraga yang menekankan penyesuian badan pemakai, di mana konsep ini memerlukan analisis dan kain pemilihan yang sesuai buat pemakai.

"Menerusi gabungan fungsi, keselesaan dan gaya trend ini mengubah dunia fesyen pada dimensi yang lain selain ia masih berkembang sehingga kini.

NUR Farahin
NUR Farahin

"Saya memfokuskan gaya hidup kesihatan dan aliran budaya yang merentasi antara kedua jantina dan generasi yang pelbagai," katanya.

Tambahnya, dia juga turut menggabungkan elemen 'techwear' iaitu gabungan fesyen dengan sedikit gaya ketenteraan, memberi tumpuan pada fungsi estetika dan utiliti baju.

"Ciri-ciri utiliti adalah berdasarkan bentuk baju, kain yang lasak, tidak berkedut, tahan lama dan lebih selesa apabila disarungkan.

Katanya, pada masa depan dia ingin mencipta jenama sendiri di dalam fesyen athleisure kerana di negara ini pasarannya masih luas.

"Jika kita lihat kebanyakan jenama dalam segmen fesyen ini adalah daripada firma antarabangsa dan mereka mempunyai pengaruh yang cukup kuat.

MENCIPTA corak di atas fabrik menerusi teknik cetakan.
MENCIPTA corak di atas fabrik menerusi teknik cetakan.

"Jadi, saya mempunyai impian untuk mewujudkan jenama tempatan dalam segmen ini kerana ia mempunyai pasaran yang cukup luas," katanya.

Farah ketika ini yang berkhidmat di dalam unit editorial firma media membabitkan gaya hidup terutama fesyen turut berkata, dalam masa yang sama dia juga ingin mencipta nama di dalam industri penerbitan digital sebagai penulis fesyen.

"Dunia fesyen bukan sekadar kita melukis dan menterjemahkan di dalam bentuk helaian busana tetapi ia juga boleh dikembangkan di dalam bidang lain seperti penulisan.

"Apabila saya mempunyai latar belakang pendidikan di dalam bidang fesyen dan menulis mengenai perkara itu, ternyata ia lebih mudah untuk diolah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 April 2022 @ 7:00 AM