ROPOL menarik seperti rupa bunga hydrangea.
ROPOL menarik seperti rupa bunga hydrangea.
Nurul Husna Mahmud


BUSANA pengantin selalunya dibayangi gaya tradisi termasuk persalinan songket dengan potongan kurung atau kebaya.

Ada kalanya pengantin mahukan gaya lebih santai dengan memilih tema gaun untuk digayakan dalam majlis resepsi atau acara potongan kek.

Apatah lagi Malaysia terdiri pelbagai kaum, mengenakan gaun dalam majlis bersanding atau resepsi bukan sesuatu yang janggal termasuk dalam kalangan masyarakat Melayu.

Rekaan gaun pengantin selalunya tampil dalam tema warna serba putih. Ternyata gaya klasik itu menguji kemampuan perekanya untuk tidak membuatkan gaya gaun itu tampak bosan.

Kreativiti pereka dan potongan gaun pengantin cukup penting dalam memberi efek 'wow' supaya pesona gaun putih itu dapat menarik perhatian tetamu raja sehari.

Pereka fesyen, Naim Muizzuddin Adnan umpamanya sering tampil dengan idea unik dalam rekaannya.

Bagi salah satu gaya gaun malam pengantin ditampilkan beliau, dua tona putih digunakan untuk menaikkan lagi pesona pemakai busana berkenaan.

Kata pereka berusia 23 tahun itu, beliau mengambil masa dua minggu dari idea sehingga menyiapkan gaun pengantin dengan konsep itu.

"Dalam rekaan gaun pengantin yang saya hasilkan, kekuatan adalah siluet yang dihasilkan sebaik pemakai mengenakan gaun pengantin terbabit.

"Potongan baju ala duyung (mermaid) membantu memberi visual lebih tinggi kepada tubuh pemakai walaupun ketika itu mengenakan warna putih.

PERINCIAN berbulu pada bahagian skirt duyung.
PERINCIAN berbulu pada bahagian skirt duyung.

PERINCIAN jumbai bertingkat membuat rekaan gaun pengantin tampak retro.
PERINCIAN jumbai bertingkat membuat rekaan gaun pengantin tampak retro.

"Perincian pada potongan duyung terutama bahagian pinggang dan ke bawah proses paling rumit kerana ada perincian seperti bulu perlu dijahit. Tetapi, berbaloi kerana perincian itu membuatkan ia tampak lebih elegan," katanya.

Tidak lupa untuk memberi sentuhan ketimuran, Naim Muizzuddin turut menggunakan motif songket pada gaun terbabit.

"Songket bunga penuh digunakan sebagai fabrik utama. Corak atau motif songket membantu memberi kelainan pada keseluruhan baju selain satin 'duchess' yang menyuntik elemen mewah dan elegan pada rekaan busana terbabit.

"Tampak lebih 'padu' apabila pemakai busana itu mengenakan layah dan mahkota sebagai persalinan lengkap ketika bersanding atau tampil dalam resepsi," katanya.

Bagi pereka gaun pengantin, Nurfatin Nadhirah Mohd Nor, 21, pula teruja dengan inspirasi warna batu karang di lautan dan menjadikan warna perak krim sebagai warna pilihan utama dalam rekaannya.

"Saya memilih potongan gaun 'pensil' sebagai gaya dalam rekaan gaun pengantin kali ini kerana mahu kelainan.

"Ia membantu tampak istimewa dalam potongan sederhana, perincian seakan-akan jumbai disusun pada baju

terutama pada bahagian kain atau skirt.

"Masa diambil untuk menyiapkan baju kira-kira sebulan dan cabarannya adalah jumbai itu sendiri yang perlu disusun dengan teratur untuk hasilkan efek menarik ketika pemakai mengenakannya," katanya.

Menerusi perincian itu, gaya pengantin dalam tona perak tampak sesuai dengan pengantin yang mahu tampil dengan tema majlis perkahwinan vintaj dan klasik.

Apatah lagi jumbai itu turut dipadan dengan fabrik berkilat.

NAIM Muizzuddin (kiri), Nurfatin Nadhirah dan Wan Aimi Amni.
NAIM Muizzuddin (kiri), Nurfatin Nadhirah dan Wan Aimi Amni.

Rekaan gaun pereka berusia 21 tahun, Wan Aimi Amni Ahmad Marzuki pula mengambil inspirasi bunga hydrangea dan membuktikan gaun pengantin tidak semestinya berwarna putih.

"Potongan awal adalah gaun lurus atau skirt pensil sahaja, tetapi apabila saya memuatkan inspirasi bunga hydrangea, rupa gaun berubah.

"Pemilihan tona warna berdasarkan kelopak bunga terbabit dan perincian pada bahagian bawah busana itu membuatkan efek terhasil adalah potongan separa kembang," katanya.

Kata gadis itu, dia gembira apabila kerja remeh dilakukan pada kemasan gaun menggunakan satin organza berjaya menghasilkan efek seperti bunga hydrangea.

"Bahagian perincian skirt mudah, tetapi mengambil masa lama untuk disiapkan. Saya mahu ropol di bahagian itu sama seperti rupa bunga hydrangea," katanya yang berasal dari Lenggong, Perak.

Beliau juga mahu membuat penambahan pada kemasan terutama menggunakan manik atau menambah ketebalan ropol untuk beri efek lebih dramatik sesuai dengan aura raja sehari.

"Penambahan perincian terutama manik dan ropol boleh membuatkan gaun tampak lebih menarik. Mungkin juga boleh sertakan riben pada bahagian belakang baju untuk lebih menonjol," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 24 Februari 2023 @ 7:00 AM