GAUN putih menaikkan seri pemakai.
GAUN putih menaikkan seri pemakai.
Intan Mas Ayu Shahimi

Padanan ringkas dan polos sentiasa serasi melengkapkan gaya santai zaman-berzaman. Namun, pada era serba moden kini, wanita lebih selesa dengan gaya feminin, manis dan tampak eksklusif.

Padanan warna yang tepat, corak dan potongan baju memainkan peranan cukup besar. Lihat saja koleksi musim bunga dan panas 2019, rekaan anak muda berbakat, Suffian Tugiman di pentas Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) 2018 lalu.

Kata Suffian, pilihan fabrik bagi koleksi itu diinspirasikan daripada sulaman dinding yang dilihat di kedai alat dekorasi, sementara potongan baju dibuat hasil perbincangan bersama pengasas KLFW, Andrew Tan.

TAMPAK eksklusif dengan perincian minimalis.
TAMPAK eksklusif dengan perincian minimalis.

“Dalam koleksi ini, saya banyak bermain dengan motif sulaman bunga berwarna-warni. Saya pilih fabrik rona putih dan hitam untuk menyerlahkan ciri eksklusif, sekali gus menampakkan pemakai lebih elegan.

“Dari segi potongan, kebanyakan baju untuk koleksi ini lebih longgar dan beralun. Bagaimanapun, ada juga yang mengikut bentuk tubuh. Pada bahagian lengan, saya berikan sedikit ‘volume’ untuk keselesaan dan menyerlahkan keseimbangan tubuh,” katanya.

SULAMAN bunga tersusun kemas pada leher menyerlahkan keunikan busana.
SULAMAN bunga tersusun kemas pada leher menyerlahkan keunikan busana.

Menurut Suffian, dia mahu menonjolkan gaya santai yang eksklusif dan sesuai dipakai tidak kira siang mahupun malam. Paling penting, koleksi itu juga berupaya melengkapkan keperluan persalinan ketika bercuti atau menghadiri majlis ringkas dan tidak formal.

“Sebenarnya, gaya sedia pakai ini banyak dipengaruhi koleksi rekaan pereka luar seperti Zuhair Murad dan Elie Saab. Tetapi, untuk menjadikannya lebih ringkas, saya sesuaikan dengan perincian lebih minimalis,” katanya.

ALUNAN fabrik sifon serlahkan kelembutan wanita.
ALUNAN fabrik sifon serlahkan kelembutan wanita.

Meneliti satu persatu rekaan diperagakan pada KLFW 2018 lalu, majoriti koleksi Suffian cukup sesuai untuk wanita yang sukakan gaya ringkas, elegan dan santai.

Perincian sulam di bahu, dada dan lengan, menonjolkan gaya berani, manakala taburan bunga pada gaun kembang dan skirt menampakkan pemakai lebih manis, menawan.

“Warna hitam dan putih memang dipilih untuk menyerlahkan perincian sulaman. Setiap rekaan pula menggabungkan jenis fabrik berbeza, antaranya krep, sifon, sutera, renda dan taffeta. Selain itu, saya juga selitkan teknik lipatan yang diolah supaya bersesuaian dengan potongan tubuh pemakai,” katanya.

SUFFIAN
SUFFIAN

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 22 September 2018 @ 7:45 AM