ANAK menjadi pendorong Hanis untuk melaksanakan persekolahan di rumah.
ANAK menjadi pendorong Hanis untuk melaksanakan persekolahan di rumah.
Muhamaad Razis Ismail


Keputusan memilih persekolahan di rumah atau lebih dikenali sebagai 'homeschooling' didorong keinginan untuk melihat dan membentuk sendiri perkembangan anak-anaknya di depan mata.

Bukan sengaja ingin meminggirkan sistem pendidikan formal sedia ada, sebaliknya ia adalah pilihan Hanis Athirah Rusli dan suami dalam menginginkan yang terbaik untuk dua anak mereka yang masing-masing berusia lima dan tujuh tahun.

Pengalamannya yang pernah bertugas sebagai guru, menyedarkan dirinya bahawa pendidikan sendiri sepatutnya bermula dari rumah.

Baginya, ibu bapalah yang sepatutnya menjadi guru pertama dan rumah yang kita diami inilah madrasah utama anak-anak.

Hanis Athirah berkata, dia mula melaksanakan persekolahan di rumah sejak 2018 ketika mengikut suami bekerja di luar negara.

"Apabila sentiasa berada di samping anak-anak, saya perlu melakukan sesuatu untuk perkembangan pendidikan anak-anak yang tidak ke mana-mana institusi pendidikan.

"Tambahan pula saya melihat kesediaan belajar anak-anak sangat tinggi dan keterujaan mereka untuk menerima ilmu membuatkan saya tekad melaksanakan persekolahan di rumah," katanya.

HANIS bersama dua anaknya.
HANIS bersama dua anaknya.

Akuinya, anak - anak sendiri yang menjadi pendorong utama untuk menjadi guru mereka di rumah.

"Dulu, ketika bekerja saya terkilan kerana tidak mempunyai banyak masa untuk memberi tumpuan dan perhatian kepada anak-anak sehingga kurang cipta memori bersama mereka.

"Dengan menjalankan persekolahan di rumah, saya dapat kenal minat, kemampuan, personaliti gaya belajar, kecenderungan dan potensi sebenar anak-anak. Atas faktor ini, saya lebih bermotivasi untuk menjalankan persekolahan di rumah untuk anak," katanya.

PEMBELAJARAN secara informal turut dilaksanakan di luar.
PEMBELAJARAN secara informal turut dilaksanakan di luar.

Katanya, sebelum melaksanakan persekolahan di rumah, dia berbincang dengan suami untuk mendapatkan persetujuan bersama kerana setiap pasangan haruslah terbabit dalam merancang dan melaksanakan aktiviti pembelajaran anak-anak sekali gus mengurangkan beban.

"Selain itu, paling penting kena berpakat dengan pasangan untuk menyediakan ruang pembelajaran yang kondusif, penyediaan bahan sokongan, perancangan kurikulum serta belajar mendalami ilmu pendidikan serta persekolahan di rumah anak-anak," katanya.

SESI persekolahan di rumah
SESI persekolahan di rumah

Jelasnya, menerusi persekolahan di rumah, dia bebas memilih pendekatan mana yang sesuai untuk mereka sekeluarga yang berintegrasikan minat, kemampuan dan keperluan anak-anak.

Hanis Athirah berkata, sejak melaksanakan persekolahan di rumah, dia melihat banyak perubahan berlaku dalam diri anak-anaknya.

"Minda mereka dapat dirangsang, daya kreativiti dapat dipupuk dan potensi anak lebih menyerlah dalam pelbagai cabang serta sukakan ilmu," katanya.

TEKNIK pembelajaran yang mampu
TEKNIK pembelajaran yang mampu

Bagaimanapun, dia mengakui dalam melaksanakan persekolahan di rumah mempunyai cabaran tersendiri terutama dalam penguasaan ilmu dan keperluan sokongan.

"Sebenarnya untuk mengajar anak, kita sendiri yang perlu banyak belajar. Apabila tidak tahu, kita perlu terus menggali ilmu atau rujuk kepada individu yang lebih tahu. Cari kumpulan sokongan persekolahan di rumah yang membantu.

"Usaha, sabar dan semangat yang berterusan, Insya-Allah apa jua rintangan dan masalah boleh kita hadapi dengan penuh kesabaran," katanya.

MENGAMBIL kira minat, kemampuan dan keperluan anak-anak.
MENGAMBIL kira minat, kemampuan dan keperluan anak-anak.

Tambahnya, ibu bapa perlu bijak mengatur masa dan peranan pada setiap hari.

"Saya perlu memainkan peranan sebagai ibu dan guru serentak. Hal ini kerana dari anak bangun tidur sehingga mereka kembali tidur, sesi persekolahan di rumah berjalan seperti biasa sepanjang masa sama ada dalam bentuk formal dan informal.

"Pembelajaran anak berlangsung dalam suasana mesra dan yang berasaskan kasih sayang serta dorongan, bukan dengan kekerasan atau desakan yang keterlaluan," katanya.

d Azmin dan Mas Ermieyati menikmati makan tengah hari dengan anggota komuniti di Kampung Pengkalan Balak, Masjid Tanah.
d Azmin dan Mas Ermieyati menikmati makan tengah hari dengan anggota komuniti di Kampung Pengkalan Balak, Masjid Tanah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 22 September 2022 @ 6:31 AM