WARIS jadikan pengalaman PKP sebagai penanda aras, turut naik taraf jalur lebar.
WARIS jadikan pengalaman PKP sebagai penanda aras, turut naik taraf jalur lebar.
Suliati Asri


SEBELUM sesi persekolahan baru bermula, ibu bapa pastinya akan sibuk menyiapkan keperluan sekolah termasuk seragam sekolah, kasut, beg, peralatan tulis dan banyak lagi.

Namun, pandemik Covid-19 yang membawa kepada pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan proses pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian tahun lalu nyata mengubah cara ibu bapa kini membuat persiapan.

Mengambil iktibar dan pengalaman ketika PKP sebelum ini, kebanyakan ibu bapa kini menyenaraikan komputer, komputer riba, tablet dan telefon pintar sebagai peralatan kelengkapan persekolahan anak-anak.

Ada juga yang menaik taraf jalur lebar di rumah supaya sesi pembelajaran anak-anak di rumah berjalan lancar walau ia dilaksanakan secara dalam talian. Secara tidak langsung menjadikan persediaan persekolahan sesi 2021 ini sesuatu yang unik dan cukup berlainan.

IZWAH
IZWAH

Izwah Huzaimi, 43, berkata menerusi pengalaman PKP sebelum ini, tanpa peranti yang mencukupi seperti komputer riba, tablet dan telefon pintar, banyak kerja sekolah anak-anaknya tidak dapat dibuat sebaiknya.

Guru-guru juga kata Izawah, banyak menggunakan aplikasi Google Class Room dan WhatsApp untuk memberikan tugasan kepada anak-anak sehingga ada yang terlepas pandang berikutan tiada pengawasan disebabkan dirinya dan suami bekerja.

"Ketika PKP yang lepas, anak-anak melakukan tugasan yang diberikan menggunakan telefon pintar dan komputer saya atau suami.

"Antara yang menjadi kekangan apabila saya dan suami perlu keluar ke pejabat atau kami terpaksa menghadiri mesyuarat secara dalam talian ketika Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) sedang berlangsung.

"Disebabkan itu, sesi persekolahan tahun ini kami membelikan tablet kepada anak-anak sekali gus memudahkan mereka melaksanakan semua tugasan yang diberikan," katanya.

Bagi sesi persekolahan 2021 ini, anak sulong Izawah akan belajar di tingkatan lima, kedua tingkatan satu, ketiga darjah tiga dan yang bongsu pra sekolah.

Izawah dan suami tidak hanya mempersiapkan anak dengan barangan keperluan asas bersekolah seperti baju seragam sekolah, kasut atau beg tetapi juga membelikan anak-anaknya tablet.

Menurut Izwah, dia juga membelikan kad sim khas buat anak sulungnya supaya guru-guru boleh memasukkannya di dalam kumpulan WhatsApp kelas sekali gus memudahkannya menyiapkan tugasan yang diberikan.

MEMPUNYAI peranti sendiri memudahkan anak-anak fokus terhadap pembelajaran dan tugasan yang diberikan.
MEMPUNYAI peranti sendiri memudahkan anak-anak fokus terhadap pembelajaran dan tugasan yang diberikan.

"Memandangkan anak sulung akan memduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), dia akan pulang ke asrama seperti yang dijadualkan.

"Jadi, anak kedua akan mengambil tugas memantau WhatsApp kelas adik-adiknya sekiranya saya dan suami perlu ke pejabat atau bermesyuarat secara dalam talian.

"Dengan adanya tablet itu, mereka boleh fokus kepada apa yang diajar guru dan melakukan tugasan yang diberikan sebaiknya," katanya.

Selain tidak mahu lagi anak ketinggalan tugasan sekolah, Izwah dan suami memutuskan untuk menyediakan tablet seorang satu kepada anak-anak kerana merasakan ia gajet kini penting dalam menyong pembelajara anak-anak.

"Peranti dan rangkaian internet sudah menjadi satu keperluan dan bukan sekadar kemahuan kepada pelajar alaf baharu. Anak-anak boleh gunakannya untuk mencari bahan bacaan dan video bagi subjek yang dipelajari.

"Selain itu, mereka juga dapat menyertai pertandingan dan kuiz ko-kurikulum yang dianjurkan di peringkat kebangsaa dan antarabangsa," katanya.

Ditanya mengenai harapannya sebagai seorang ibu untuk sesi persekolahan 2021 ini, Izwah berkata PKP 2.0 ini sudah dijangka memandangkan kes semakin meningkat pada akhir 2020.

"Sebab itu, kami tekankan pada anak-anak untuk 2021 ini, mereka perlu ada pengurusan diri, pengurusan masa dan 'self learning.'

"Persiapan persekolahan kami pada tahun ni juga memang berfokus kepada penyediaan peranti dan suasana dalam rumah yang sesuai untuk 'home based learning' seperti meja belajar, susun atur bilik dan banyak lagi," katanya.

KOMPUTER riba memudahkan pembelajaran anak-anak di rumah.
KOMPUTER riba memudahkan pembelajaran anak-anak di rumah.

Bagi Mas Rohayu Ismail, 43, ibu kepada tiga orang anak yang belajar di tingkatan lima, satu dan darjah satu, persediaan persekolahan tahun ini sememangnya unik kerana gajet seperti telefon pintar, komputer riba, tab menjadi satu keutamaan.

Menurutnya, situasi berebut gajet dan ada masa terpaksa lepaskan kelas kerana pertindihan jadual kelas dalam talian menjadi faktor utama komputer riba dan telefon bimbit menjadi salah satu senarai keperluan anak-anak untuk sesi persekolaha 2021 ini.

Bagaimanapun, kata Mas Rohayu, dia tidak membeli gajet yang baru sebaliknya menghantar dua komputer riba yang dimiliki ke pusat servis komputer bagi memastikan ia boleh digunakan sebaiknya bagi sesi pembelajaran dalam talian anak-anaknya nanti.

"Setakat pengumuman terbaru, hanya anak tingkatan 5 yang akan kembali ke sekolah untuk sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara bersemuka. Anak kedua dan ketiga pula memerlukan akses kepada Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) yang mana komputer riba dan telefon bimbit menjadi keperluan utama.

"Disebabkan syarikat mengenakan pemotongan gaji dan kegagalan untuk membuat pengeluaran I-sinar,

situasi kewangan agak membataskan untuk membeli gadjet yang baru. Maka pilihan yang ada adalah untuk servis kompter riba yang sedia ada," katanya.

Mengulas mengenai keperluan anak-anak mempunyai komputer riba atau telefon pintar sendiri untuk memudahkan mereka belajar, kata Mas Rohayu ia sememannya sangat perlu.

"Selain belajar melalui Zoom, ada sesetengah sekolah hantar soalan dalam google class room. Jadi anak-anak perlu pantau applikasi itu tiap hari.

"Telefon bimbit juga adalah keperluan setiap anak-anak sekiranya kedua ibu bapa berkerja dan tiada di rumah semasa sessi pembelajaran memandang pihak sekolah meggunakan aplikasi WhatsApp dan Telegram untuk menyampaikan maklumat mengenai jadual kelas dan bahan pembelajaran.

"Berkongsi telefon pintar antara ibu bapa dan anak agak membebankan kerana setiap anak akan memiliki group kelas masing-masing," katanya.

"Walaupun keinginan untuk melihat anak kembali mengikuti pembelajaran secara normal tinggi, namun keselamatan dan kesihatan anak-anak tetap menjadi pilhan keutamaan ibu bapa.

"Semoga pandemik ini cepat berlalu pergi dan pihak sekolah boleh memberi komitmen tinggi untuk menjalankan sesi PdPR," katanya.

Sementara itu bagi Norzatul Alia Mohd Rashid, 35, dia dan suami juga dalam perancangan untuk membeli telefon pintar atau komputer riba bagi menyokong membelajaran anak secara dalam talian.

Katanya, gajet kini adalah keperluan kerana ia memudahkan bukan saja orang dewasa tetapi juga pelajar dengan pembelajar secara dalam talian ini.

"Sebelum ini, anak-anak terpaksa berkongsi telefon untuk membuat tugasan yang diberikan menerusi Google Class Room.

"Apabila bertindih, saya terpaksa menggunakan telefon saya untuk kegunaan salah seorang daripada mereka.

"Memandangkan telefon yang sedia ada sudah rosak ditambah mereka perlu mengikuti kelas tambahan secara dalam talian, saya perlu membelikan yang baru bagi kelangsungan pembelajaran anak-anak," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 18 January 2021 @ 7:00 AM