BELAJAR secara bersemuka membolehkan pelajar lebih fokus.
BELAJAR secara bersemuka membolehkan pelajar lebih fokus.
Suliati Asri


KEMBALI 'lagi' ke sekolah bagi sesi pembelajaran bersemuka nyata menggembirakan kebanyakan pelajar.

Rata-rata pelajar teruja dapat kembali ke sekolah dan berjumpa guru serta belajar bersama dengan rakan dalam kelas pembelajaran sebenar.

Walaupun kes Covid-19 masih berleluasa, namun ia tidak mematahkan semangat dan keterujaan pelajar untuk kembali ke sekolah.

Kebanyakan ibu bapa juga gembira anak-anak mereka kembali untuk meneruskan pembelajaran secara bersemuka di sekolah selepas belajar secara Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Pelajar tingkatan empat, Yus Iman Dalili Mohd Yusof mengakui sangat bersemangat untuk kembali ke sekolah kerana sesi persekolahan secara bersemuka baginya adalah lebih efektif berbanding PdPR.

Menurutnya sepanjang PdPR, antara kesukaran yang terpaksa dihadapi adalah membabitkan WiFi yang tidak stabil dan kesukaran berkomunikasi bersama guru.

"Kadang-kadang ketika kelas, WiFi tiba-tiba terputus, ia menyebabkan saya tidak dapat mengikuti pembelajaran. Jika pembelajaran diadakan secara Google Meet, pembelajaran akan terganggu jika tiba-tiba WiFi tiada dan ada kala saya tidak boleh daftar masuk kembali ke sesi Google Meet yang sedang berlangsung.

"Berbanding dengan sekolah secara bersemuka, ia lebih senang untuk bertanya guru dan lebih senang untuk fokus kerana di rumah, banyak gangguan bukan saja dari ahli keluarga, tetapi juga keadaan sekeliling," katanya.

Sebagai pelajar, berjumpa rakan di sekolah juga adalah saat yang sangat dinanti-nantikan walaupun terpaksa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.

Kata Yus Iman Dalili, dia sangat teruja untuk berjumpa rakan kerana sepanjang PdPR, dia tidak banyak bergaul bersama rakan.

"Sepanjang pandemik, saya bersama rakan ada juga berhubung sesama sendiri, namun ia tidak menyeronokkan seperti berjumpa secara ber

semuka.

"Bergaul secara fizikal rasa lebih seronok kerana hubungan dengan rakan lebih rapat dan pastinya banyak perkara yang boleh dikongsi," katanya.

Sekolah adalah tempat di mana seseorang pelajar sekolah mencipta momen indah zaman remaja mereka.

Bergaul dan melakukan pelbagai aktiviti bersama rakan sebaya pastinya akan menjadi kenangan terindah buat mereka.

RATA-rata pelajar gembira kembali ke sekolah selepas lama mengikuti PdPR.
RATA-rata pelajar gembira kembali ke sekolah selepas lama mengikuti PdPR.

Justeru, mengulas mengenai kerinduannya terhadap suasana pembelajaran dan pergaulan normal tanpa perlu mematuhi SOP yang ada, kata Yus Iman Dalili, PdPR memakan hampir semua zaman remajanya.

"Saya berpendapat remaja di usia saya patut 'enjoy' dan membuat banyak memori di sekolah.

"Jadi, saya kurang okay dengan pergaulan dengan SOP kerana rindu bergurau senda dengan rakan-rakan dengan lebih rapat," katanya.

Bagaimanapun, menurut Yus Iman Dalili dia sanggup untuk belajar secara PdPR jika langkah itu dapat mengurangkan kes Covid-19.

"Walaupun pembelajaran secara bersemuka lebih efektif terhadap pelajar, risiko dijangkiti Covid-19 masih ada walaupun sudah divaksinasi.

"Jika keadaan ini berlaku, jika PdPR dapat mengurangkan risiko, saya sanggup untuk melaluinya kembali.

MURID sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi memeriksa suhu badan sambil dibimbing guru bertugas.
MURID sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi memeriksa suhu badan sambil dibimbing guru bertugas.

"Selain itu, mungkin sesi pembelajaran fizikal patut diutamakan kepada pelajar yang akan menduduki peperiksaan seperti Sijil Pelajaran Malaysia (SPM)," katanya.

Bagi pelajar darjah satu SK Rimba Terjun, Pontian, Johor, Naila Ashura Mohad Syafik, sesi persekolahan bersemuka adalah momen yang sangat menggembirakan.

Menurutnya, dia sangat merindui cikgu dan rakan selain mahu belajar bersama-sama di sekolah.

"Ketika mengikuti sesi PdPR, suasananya sangat sunyi. Dapat jumpa cikgu dan kawan-kawan dalam komputer saja. Bila dapat masuk sekolah, saya gembira sangat.

"Kelas secara bersemuka juga lebih menyeronokkan kerana saya berada lebih dekat dengan guru. Jika ada perkara yang kurang difahami atau salah, saya boleh terus bertanyakan kepada guru," katanya.

Dalam keterujaan untuk memulakan sesi persekolahan, kerisauan turut dirasai anak kecil ini.

MURID Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi  sempat membaca buku sementara menunggu giliran untuk pemeriksaan suhu badan.
MURID Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Bangi sempat membaca buku sementara menunggu giliran untuk pemeriksaan suhu badan.

"Saya gembira sangat dapat kembali ke sekolah, tetapi dalam masa sama saya takut juga. Takut ada yang selesema dan berjangkit.

"Tapi, untuk mengelak daripada berjangkit, saya akan sentiasa membasuh tangan, memakai pelitup muka dan tidak boleh dekat dengan rakan yang selesema," katanya.

Keterujaan untuk memulakan sesi persekolahan secara bersemuka bukan hanya dirasai pelajar, tetapi juga ibu dan bapa.

Kakitangan swasta, Hamizah Badiran, 34, berkata lepas lebih empat bulan anaknya mengikuti sesi pembelajaran secara PdPR, dia sangat teruja dan tidak sabar untuk anaknya memulakan sesi persekolahan secara bersemuka pada 8 November lalu.

Menurut ibu kepada Maisarah Hannani Muhammad Apendy, 7, dia percaya pembelajaran secara bersemuka dengan guru di bilik darjah lebih efektif untuk murid terutama bagi pelajar darjah satu yang baharu mahu mengenal erti alam persekolahan sebenar.

"Mungkin kedengaran pelik, tapi jujurnya saya tak risau membenarkan Maisarah ke sekolah di kala Covid-19 masih merata.

"Saya mahu dia lebih faham dan fokus pada setiap pelajaran yang diajar guru berbanding jika belajar di rumah bersama kami, ibu dan ayahnya," katanya.

Sebagai ibu, perasaan risau terhadap pergaulan anak bersama rakan di sekolah lebih-lebih lagi anak masih darjah satu yang sentiasa mahu bermain dengan rakan.

"Memang risau mengenai pergaulan anak di sekolah lebih-lebih lagi Maisarah cepat mesra dengan rakan-rakan.

"Oleh itu, saya selalu pesan pada dia selepas buat sesuatu perlu basuh atau lap tangan dengan tisu basah, jangan kongsi air minuman dan main peluk-peluk dengan kawan," katanya yang sentiasa mendoakan semua anak-anak di sekolah dijauhkan daripada segala penyakit berbahaya.

Selain gembira anak sudah kembali ke sekolah, Hamizah juga teruja kerana rutin hariannya menyiapkan keperluan persekolahan anak kini boleh dilakukan semula.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 November 2021 @ 7:00 AM