SESI terapi seni di MIASA.
SESI terapi seni di MIASA.
Muhamaad Razis Ismail

Sebaik tiba di kediaman yang menempatkan pejabat pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Persatuan Kesedaran dan Sokongan Penyakit Mental (MIASA) di Petaling Jaya, Selangor terdapat beberapa individu sedang leka melukis.

Penulis teruja apabila melihat pelbagai lukisan menarik yang ditampal pada dinding bilik itu seperti berada di sebuah galeri pameran lukisan.

Sambil melukis dan mewarna, mereka secara santai berbual sesama sendiri berkenaan artis dan drama K-Pop.

Mereka yang terdiri daripada usia 16 tahun sehingga 40-an itu kelihatan gembira seperti tidak berdepan sebarang masalah.

Bagaimanapun, di sebalik senyuman di wajah, sebenarnya mereka berdepan masalah termasuk kemurungan, tekanan hidup, masalah keluarga dan sebagainya yang boleh menjurus kepada penyakit mental.

Mereka secara sukarela ke MIASA untuk menjalani sesi terapi untuk mengurangkan masalah yang dihadapi.

DANA dan Dan melihat sebahagian lukisan dihasilkan oleh ‘peer’ di MIASA.
DANA dan Dan melihat sebahagian lukisan dihasilkan oleh ‘peer’ di MIASA.

Sebagai sebuah NGO, MIASA menawarkan pelbagai bantuan dan sokongan kepada pesakit mental termasuk sesi terapi seni yang dijalankan secara percuma oleh sukarelawan di sini.

Presiden MIASA, Anita Abu Bakar berkata, pihaknya menyediakan pelbagai aktiviti untuk membantu mereka yang berdepan masalah dengan menjadikan MIASA sebagai zon selamat.

Katanya, di sini mereka dapat kembalikan kekuatan semangat selepas dapat bertemu dengan rakan seperjuangan.

"Salah satu program yang dijalankan secara percuma adalah terapi seni yang dikendalikan sukarelawan dengan memberi peluang mereka melukis.

"Biarpun tidak pandai melukis dan tidak minat, kaedah terapi ini sebenarnya bukan untuk melihat sama ada lukisan itu cantik atau tidak, sebaliknya kita fokus kepada proses itu sendiri yang terapeutik dan tidak memberi tekanan.

"Melalui proses menghasilkan lukisan ini, kita dapat membantu kurangkan rasa tekanan dalam diri," katanya ketika ditemui baru-baru ini.

Jelasnya, terapi seni sebenarnya sangat kurang diaplikasi di negara ini untuk membantu mereka yang berdepan masalah yang boleh menjurus kepada penyakit mental yang lebih serius.

"Di MIASA, kita ada banyak aktiviti dan solusi yang tidak menggunakan ubat untuk membantu individu berdepan masalah tekanan, kemurungan dan sebagainya.

"Kami tawarkan perkara yang dekat dengan hati masyarakat termasuk dengan melukis," katanya.

Pakar Psikioterapi Seni, Dana Kaarina yang berasal dari United Kingdom sanggup meluangkan masa dengan menggunakan kepakaran dimiliki menjadi salah seorang sukarelawan MIASA untuk membantu menjalankan sesi terapi seni.

Dana berkata, pendekatan terapi seni ini adalah kaedah alternatif membantu redakan tekanan dan kemurungan yang dihadapi individu sekali gus mengurangkan risiko penyakit mental

Katanya, menerusi kaedah terapi seni membantu mendidik mereka mengenali diri sendiri, mengurangkan tekanan dan kemurungan serta meningkatkan keyakinan diri.

PROSES melukis adalah salah satu ‘bahasa’ yang digunakan untuk luahkan masalah dihadapi.
PROSES melukis adalah salah satu ‘bahasa’ yang digunakan untuk luahkan masalah dihadapi.

"Sebenarnya ramai yang mengalami penyakit mental tidak dapat menggambarkan masalah yang dihadapi dengan perkataan dan ia tidak mudah dilakukan.

"Oleh itu, melukis adalah salah satu 'bahasa' yang digunakan mereka untuk memberitahu mengenai diri kepada individu lain," katanya.

Jelasnya, dia sering membawa pendekatan yang berbeza untuk setiap sesi yang dijalankan.

"Biasanya untuk sejam setengah pertama, saya akan berikan peluang mereka melukis sambil bercerita mengenai pelbagai perkara.

"Kemudian untuk setengah jam terakhir, kami akan berbincang berkenaan semua lukisan yang dihasilkan dan objektif utama untuk sesi ini semua orang dapat belajar mengenali diri sendiri melalui cerita orang lain," katanya.

Ujarnya, setakat ini, pihaknya mendapat maklum balas positif dalam kalangan 'peer' yang menyertai sesi terapi seni terbabit.

"Ada dalam kalangan mereka mengakui, melalui melukis dan mewarna dapat mengurangkan tekanan selain dapat belajar sesuatu apabila mendengar individu lain menceritakan mengenai diri mereka.

"Malah ada juga individu yang 'introvert' menangis kerana pertama kali mendapat keberanian untuk bercerita mengenai dirinya," katanya

Sementara itu, bagi sukarelawan MIASA, Dan Percival, setiap individu bebas menyertai setiap sesi terapi seni yang dijalankan pada setiap minggu di sini.

"Saya hanya lihat setiap individu yang hadir pada setiap sesi dapat hasilkan sesuatu yang mereka banggakan. Malah, ada dalam kalangan mereka ini sebenarnya tidak tahu pun mereka boleh melukis.

"Bagaimanapun, setiap lukisan yang dihasilkan bukanlah untuk dinilai dan apa yang penting adalah ketika proses lukisan itu dihasilkan dapat membantu redakan masalah dihadapi," katanya.

SEBAHAGIAN lukisan yang dihasilkan peer di Miasa.
SEBAHAGIAN lukisan yang dihasilkan peer di Miasa.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 4 November 2020 @ 7:01 AM