DANA terkumpul diserahkan kepada rumah kebajikan terpilih. - FOTO Amirudin Sahib
DANA terkumpul diserahkan kepada rumah kebajikan terpilih. - FOTO Amirudin Sahib
Muhamaad Razis Ismail


Program tanggungjawab sosial tahunan, Roche Children's Walks di Malaysia berjaya mengumpul dana berjumlah RM63,200 untuk membantu kehidupan kanak-kanak yang kurang bernasib baik.

Dana terkumpul yang merekodkan jumlah tertinggi itu disalurkan kepada Rumah Kanak-Kanak Triniti dan Shelter Home for Children supaya dapat terus menyediakan perlindungan, makanan, pakaian dan sebagainya kepada kanak-kanak memerlukan.

Pengurus Besar Roche Malaysia, Deepti Saraf berkata, warga kerja Roche Malaysia melancarkan pelbagai inisiatif untuk mengumpul dana termasuk menerusi majlis pembidaan dan penganjuran acara jualan yang membabitkan penjualan kemeja-T, topi dan payung yang direka sendiri.

Katanya, kemuncak acara ini adalah penganjuran acara berjalan dari Sunway Pinnacle sehingga Universiti Sunway membabitkan 400 warga kerja Roche.

"Acara fizikal ini diadakan semula selepas terhenti selama dua tahun berikutan penularan pandemik Covid-19. Biarpun begitu, pelbagai inisiatif mengumpul dana terus diadakan semasa pandemik.

SEBAHAGIAN warga kerja Roche bersama jemputan dan kanak-kanak rumah kebajikan. - FOTO Amirudin Sahib
SEBAHAGIAN warga kerja Roche bersama jemputan dan kanak-kanak rumah kebajikan. - FOTO Amirudin Sahib

"Saya teruja menyaksikan tenaga, semangat dan keghairahan yang ditunjukkan warga kerja Roche dalam membantu kanak-kanak yang memerlukan di negara ini," katanya dalam Majlis Penyerahan Dana Terkumpul di universiti berkenaan baru-baru ini.

Roche Children's Walks adalah program mengumpul dana dikendalikan warga kerja Roche yang dianjurkan sejak 2003 membabitkan 274,000 warga kerja Roche di seluruh dunia.

Sementara itu, Eksekutif Hubungan Awam Shelter Home For Children, Jerry Choo berkata, pihaknya berbesar hati dipilih sebagai penerima dana Roche bagi tahun kedua.

Katanya, inisiatif Roche Children's Walk memberi mereka motivasi untuk terus berusaha keras dalam memastikan kanak-kanak ini diberi peluang kehidupan melalui bimbingan dan perlindungan yang betul.

"Pada tahun lalu, dana yang disumbangkan membantu untuk membayar yuran tuisyen kepada kanak-kanak di rumah ini.

"Kami juga menyediakan sokongan kepada dua penghuni untuk melanjutkan pengajian ke peringkat vokasional dalam bidang seni kulinari dan kursus matrikulasi," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Ogos 2022 @ 6:42 AM