KAKITANGAN Roche bersama-sama membantu kanak-kanak kurang upaya pendengaran.
KAKITANGAN Roche bersama-sama membantu kanak-kanak kurang upaya pendengaran.
Siti Nadirah Hafidzin

Tidak semua individu dilahirkan dalam keadaan sempurna dan bagi membantu golongan kurang bernasib baik, lebih 400 kakitangan Roche Malaysia menganjurkan pelbagai aktiviti dalam usaha mengumpul dana RM40,000 khusus untuk kanak-kanak kurang upaya pendengaran.

Roche yang juga perintis global dalam bidang farmaseutikal dan diagnostik menjalankan usaha itu melalui tayangan filem, bazar dan sumbangan daripada kakitangannya.

Turut diadakan program amal berjalan sempena acara tahunan global Roche - Roche Children’s Walk. Ini kempen tanggungjawab sosial korporat (CSR) Roche di peringkat global yang membabitkan lebih 100 lokasi di seluruh dunia.

Setiap Jun, lebih 90,000 kakitangan Roche di seluruh dunia bersama-sama mengumpul dana untuk projek amal kanak-kanak di negara masing-masing.

Semua dana yang dikumpul kemudian disumbangkan kepada pelbagai program badan bukan kerajaan (NGO) di negara membangun seperti Malawi, Ethiopia dan Filipina.

Pengurus Besar Roche Services (Asia Pacific) Sdn Bhd Martin Kikstein berkata, di Malaysia, pihaknya bekerjasama dengan Yayasan Budi Penyayang iaitu sebuah NGO bagi menyokong program Komuniti TUTUR yang juga satu inisiatif dijalankan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Program TUTUR membolehkan kanak-kanak yang menerima implan koklear untuk mengetahui kaedah bagi mengatasi masalah pendengaran menerusi pelbagai aktiviti seperti mengenal bunyi dan komunikasi.

PELANCARAN filem Backstage di Indonesia.
PELANCARAN filem Backstage di Indonesia.

Menurutnya, program TUTUR juga menjalankan usaha lain seperti berkongsi ilmu pengetahuan dan pembinaan sikap ibu bapa selain memperkembangkan sikap serta kemahiran juga pengetahuan pesakit.

“Kami gembira dapat membantu kanak-kanak yang mengalami masalah pendengaran untuk mendapatkan mutu kehidupan yang lebih baik. Di Roche, pesakit adalah tumpuan utama operasi kami.

“Kami yakin dengan potensi untuk menterjemahkan sains ke dalam terapi bagi mengatasi keperluan pesakit dan turut membantu mereka hidup lebih

sihat, “katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Budi Penyayang Malaysia Datuk Leela Mohd Ali berkata, sokongan Roche penting untuk mengekalkan program Penyayang-Komuniti TUTUR.

“Kami sudah menjalankan kerjasama selama 17 tahun bersama-sama dengan TUTUR untuk memperbaiki kehidupan kanak-kanak yang kehilangan pendengaran.

“Kami juga menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) baru dengan UKM untuk membantu meneruskan program seperti ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 31 Julai 2018 @ 2:08 PM