GEORG (dua dari kiri) dan Dr Siti Hasmah melihat lukisan yang dihasilkan oleh pesakit leukemia.
GEORG (dua dari kiri) dan Dr Siti Hasmah melihat lukisan yang dihasilkan oleh pesakit leukemia.
Oleh Hajahfarhana Tarmudi


Apabila menceritakan mengenai kesengsaraan dan pende­ritaan kanak-kanak, ramai yang bersimpati. Namun, simpati saja tidak cukup tanpa memberikan sebarang bantuan yang diperlukan oleh kanak-kanak kurang bernasib baik itu.

Memahami kepentingan sokongan yang padu kepada kanak-kanak berkenaan, Tesco mengumumkan kerjasama dengan Universiti Malaya (UM), Yayasan Pe­nyayang dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) untuk mengumpul dana sebanyak RM1 juta.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Tesco Malaysia, Datuk Georg Fischer, program berkenaan bertujuan membantu memperbaiki kesihatan dan perkembangan sosioekonomi kanak-kanak kurang bernasib baik di kawasan setempat, seluruh negara dan di peringkat antarabangsa.

“Sudah lebih sedekad jenama ini mengetuai pelbagai inisiatif tanggungjawab sosial korporat bagi membantu memperbaiki kehidupan ramai kanak-kanak di seluruh Malaysia.

“Kini, kami meneruskan usaha murni itu untuk membantu kanak-kanak di Malaysia dan negara lain yang memerlukan bantuan dengan segera.

“Inisiatif ini bukan hanya membolehkan kami membantu kanak-kanak kurang bernasib baik di kawasan terdekat saja malah me­ngurangkan beban individu yang tidak berdosa di pering­kat antarabangsa,” katanya.

Ditubuhkan dengan tema Komuniti, Rawatan Kanser dan Bantuan Kemanusiaan, inisiatif yang diketuai oleh pasar raya terkemuka itu diharap dapat membantu seramai mungkin kanak-kanak yang memerlukan bantuan bagi menyediakan kehidupan lebih berkualiti.

Untuk permulaan, ia komited untuk menyumbang dana awal sebanyak RM500,000 melalui pelbagai aktiviti yang sudah dirancang sepanjang tahun seperti lelongan lukisan, Tesco Walk for Life dan tabung yang disediakan di kaunter pembayaran pasar raya itu di seluruh negara.

Dana yang dikumpul akan diagihkan untuk membantu kanak-kanak kurang bernasib baik mengikut keperluan iaitu di peringkat setempat, seluruh negara dan antarabangsa.

Bagi peringkat setempat, dana berkenaan diharap dapat membantu menyediakan makanan dan keperluan asas kepada rumah anak yatim dan pusat komuniti di sekitar pasar raya itu beroperasi.

Sementara itu, dana berkenaan turut disumbangkan kepada pesakit leukemia di seluruh negara untuk menampung kos perubatan, prosedur pemindahan sum-sum tulang, kelengkapan perubatan serta kos keluarga pesakit yang perlu berulang-alik ke hospital.

Di peringkat antarabangsa pula dana berkenaan akan disumbangkan untuk menyediakan bantuan kemanusiaan kepada kanak-kanak yang terbabit dalam bencana alam atau mangsa perang.

Sebagai usaha awal, pasar raya Tesco bersama rakan amalnya akan menghulurkan bantuan kepada kanak-kanak Palestin yang cedera ketika perang dengan memberikan bantuan anggota prostatik.

Tabung Kanak-Kanak Jalinan Budi itu dilancarkan oleh Tun Dr Siti Hasmah Mohamad Ali dan disaksikan Pengerusi Yayasan Penyayang, Datuk Dr Abdul Malek Hanafiah, Naib Canselor UM, Profesor Dr Amin Jalaludin dan Ketua Aktivis PPIM, Datuk Nadzim Johan.

Usaha berkenaan adalah komitmen baru selepas kejayaan Tesco melaksanakan program sebelum ini iaitu Membantu Kanak-Kanak Menghidap Penyakit Leukemia dengan kerjasama Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Tempoh pelaksanaan program berkenaan ditamatkan lebih awal daripada sasaran tiga tahun kerana lebih RM1 juta dana berjaya dikutip bagi membantu pesakit kanak-kanak mendapatkan rawatan dan perubatan untuk pe­nyakit berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 30 Jun 2015 @ 12:17 PM