ANTARA peserta yang menyertai larian tahunan BHPetrol Orange Run 2017 anjuran BHPetrol dengan kerjasama PDRM, MBPJ dan Affin Bank.
ANTARA peserta yang menyertai larian tahunan BHPetrol Orange Run 2017 anjuran BHPetrol dengan kerjasama PDRM, MBPJ dan Affin Bank.
HM Digital

Acara larian tahunan BHPetrol Orange Run 2017 anjuran BHPetrol dengan kerjasama Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) dan Affin Bank kembali untuk tahun ke-12 berturut-turut, baru-baru ini.

Program itu dijalankan untuk menggalakkan rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup lebih sihat dan dalam masa sama menabur bakti kepada masyarakat yang memerlukan.

Pengarah Urusan BHPetrol Tan Kim Thiam berkata, pihaknya amat gembira kerana dapat menganjurkan acara larian Orange Run yang cukup bermakna.

“Selama 12 tahun berturut-turut, Orange Run adalah platform untuk orang ramai menyertai acara larian yang menyeronokkan, mengekalkan tahap kesihatan yang baik dan memberi kesan positif kepada masyarakat dengan mengumpul dana untuk tujuan amal.

“Kami teruja kerana selepas sekian lama, begitu ramai peserta berkumpul di sini demi menyertai program amal kebajikan. Kami juga berharap dapat meneruskan larian ini untuk tahun-tahun akan datang,” katanya.

TIMBALAN Pengerusi/Pengarah Urusan Kumpulan Boustead Holdings Berhad Tan Sri Datuk Seri Lodin Wok Kamaruddin menyampaikan sumbangan kepada wakil Yayasan Kebajikan Dan Perkhidmatan Perubatan Malaysia.
TIMBALAN Pengerusi/Pengarah Urusan Kumpulan Boustead Holdings Berhad Tan Sri Datuk Seri Lodin Wok Kamaruddin menyampaikan sumbangan kepada wakil Yayasan Kebajikan Dan Perkhidmatan Perubatan Malaysia.

Selepas tamat larian, Timbalan Pengerusi/Pengarah Urusan Kumpulan Boustead Holdings Berhad, Tan Sri Datuk Seri Lodin Wok Kamaruddin menyampaikan sumbangan RM30,000 kepada Yayasan Kebajikan Dan Perkhidmatan Perubatan Malaysia, Persatuan Rumah Kanak-kanak Ini Disayangi dan Persatuan Sindrom Down Malaysia, dengan setiap pertubuhan menerima sumbangan RM10,000.

Acara larian yang bermula dari pusat beli-belah The Curve, Mutiara Damansara itu, menarik lebih 5,000 penyertaan. Ia dibuka kepada semua individu berusia 13 tahun dan ke atas. Untuk menggalakkan penyertaan daripada segenap lapisan masyarakat, larian ini terbahagi kepada lapan kategori, iaitu Terbuka Lelaki & Veteran, Terbuka Perempuan & Veteran, Kanak-Kanak Lelaki & Kanak-Kanak Perempuan, dan Terbuka Antarabangsa Lelaki & Perempuan.

Pemenang bagi semua kategori menerima hadiah keseluruhan bernilai RM50,000 bersama baucar BHPetrol.

BHPetrol Orange Run 2017 memberi keseronokan kepada peserta dan keluarga yang datang bersama-sama untuk memberi semangat dan sorakan. Orang ramai turut terhibur dengan pelbagai aktiviti sampingan lain seperti tawaran produk dan pemberian produk contoh BHPetrol, Affin Bank, Nestle dan Lucozade.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 Oktober 2017 @ 12:00 PM