Antara kerosakan yang berlaku susulan gempa bumi di Cianjur bulan lalu. - FOTO AFP
Antara kerosakan yang berlaku susulan gempa bumi di Cianjur bulan lalu. - FOTO AFP
BERNAMA

Jakarta: Sebuah badan bukan kerajaan yang berpangkalan di London memberi amaran terdapat risiko wabak penyakit berjangkit susulan gempa bumi di daerah Cianjur, Jawa Barat.

Save the Children berkata mangsa yang terselamat kini bersesak-sesak di dalam khemah yang menempatkan ratusan orang yang tidak mempunyai akses kepada tandas yang mencukupi atau air bersih.

Dalam satu kenyataan ia berkata hujan lebat dan gegaran susulan telah mewujudkan keadaan seperti paya yang sesuai untuk penyebaran penyakit dan jangkitan.

Badan bukan kerajaan yang mempunyai 30 anggota kebangsaan itu berkata lebih banyak bantuan perlu dihantar segera selepas gempa bumi dan gegaran susulan merosakkan 40,000 rumah dan lebih 500 sekolah.

Hampir 115,000 orang, termasuk kira-kira 38,450 kanak-kanak, kekal kehilangan tempat tinggal selepas gempa bumi berukuran 5.6 magnitud melanda pada 21 November lalu, katanya.

Kerajaan Indonesia, agensi dan pekerja bantuan telah bekerja sepanjang masa dengan operasi bantuan dan menyelamat, tetapi usaha bantuan telah dihalang oleh kebanjiran yang dipanggil 'pelancong bencana'.

"Kami kini berdepan kelewatan kerana jalan raya disekat oleh orang ramai yang pergi ke Cianjur untuk melihat kemusnahan," kata ketua pasukan respons Save the Children Indonesia, Fadli Usman.

Beliau berkata ratusan ribu orang telah kehilangan tempat tinggal dan kini terpaksa hidup dalam keadaan yang menjadi bom jangka penyakit dan jangkitan.

"Mereka sangat memerlukan bantuan menyelamatkan nyawa secepat mungkin, tetapi kebanyakan keluarga yang paling teruk terjejas tinggal di kawasan terpencil yang sukar dihubungi melalui jalan raya.

"Selain akses, kami juga amat memerlukan lebih banyak dana untuk membantu memenuhi keperluan segera kanak-kanak dan keluarga termasuk air bersih, selimut, khemah, sokongan emosi, dan bekalan pendidikan supaya kanak-kanak dapat meneruskan hidup dengan sebaik mungkin," kata Fadli.

Save the Children telah beroperasi di Indonesia sejak 1976 dan bekerja di 19 daripada 38 wilayah mengenai respons dan program kemanusiaan yang dikaitkan dengan pendidikan, kesihatan dan pemakanan, perlindungan kanak-kanak dan kemiskinan.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 6 Disember 2022 @ 6:27 PM