Gaya dan rona tudung memberi aura tersendiri ketika ke tempat kerja.
Gaya dan rona tudung memberi aura tersendiri ketika ke tempat kerja.
Hafiz Ithnin


PEMAKAIAN ke pejabat pastinya menjadi sesuatu yang tidak boleh dipandang remeh kerana ia mampu menonjolkan personaliti anda.

Tidak kira posisi apa pun pemakaian perlu tampak kemas dan selesa apatah lagi, jika anda mengenakan hijab untuk ke pejabat.

Jurugaya tudung, Siti Maryam Anuar berkata, bagi mengenakan tudung bersesuaian adalah perkara pertama yang perlu diambil kira sebagai busana asas yang disarungkan si pemakai.

"Dalam dunia pekerjaan terdapat pelbagai jenis pakaian yang disarungkan wanita mengikut kesesuaian masa, acara dan juga profesion itu sendiri.

"Malah, pada hari ini pemakaian busana kasual ke pejabat dalam kalangan wanita sudah menjadi trend dan tidak terikat dengan kod pemakaian tertentu asalkan ia nampak kemas dan selesa dipakai serta menonjolkan identiti syarikat atau institusi," katanya.

Justeru, Siti Maryam berkongsi beberapa tip pemakaian tudung yang bersesuaian dengan pakaian biasa disarungkan ke pejabat:

1. Uniform

Bagi mereka yang mempunyai uniform kerja tertentu seperti pihak berkuasa atau bekerja di hospital, pastinya mempunyai kod pemakaian tudung yang perlu dipatuhi.

Pastikan anda tidak memakai tudung yang melanggar kod pemakaian yang sudah ditetapkan walaupun di media sosial sebenarnya anda seorang pengaya paling terkenal.

Jika pihak syarikat atau institusi tidak menetapkan kod pemakaian rona tudung sebaik-baiknya pilih rona tudung dan uniform yang sama kerana ia akan lebih nampak profesional.

Mungkin juga anda boleh sarungkan tudung yang mempunyai warna seakan-akan sama dengan uniform.

2. Baju kurung atau baju tradisional

Jika menyarungkan baju kurung atau tradisional yang mempunyai motif abstrak atau berbunga, pilih warna tudung yang sama dengan warna tanah pakai itu atau warna corak yang lebih menonjol dalam pakaian berkenaan.

Pastikan tudung yang disarungkan itu polos kerana pakaian anda sudah mempunyai pelbagai corak. Perkara ini penting supaya gaya keseluruhan tidak nampak begitu serabut.

Selain itu, untuk mengenakan aksesori seperti kerongsang pada tudung bagi pakaian mempunyai corak yang banyak pastikan saiznya tidak begitu besar kerana gaya sarat pada pakaian sudah memadai untuk menonjolkan gaya yang lebih elegan.

PEMAKAIAN tudung perlu sesuai dengan gaya pemakaian ke pejabat.
PEMAKAIAN tudung perlu sesuai dengan gaya pemakaian ke pejabat.

3. Sut

Bagi sesetengah wanita ke pejabat, mereka wajib untuk mengenakan pakaian jenis sut sama ada untuk tugasan harian atau menghadiri acara tertentu.

Bagi pemakaian sut yang mempunyai dua lapisan iaitu lapisan pertama disarungkan seperti blaus atau kemeja, anda boleh memilih warna tudung yang mempunyai warna yang sama dengannya.

Dari segi pemilihan corak tudung, ia bergantung juga kepada sut berkenaan. Jika sut itu jenis polos, anda boleh mengenakan tudung yang mempunyai corak abstrak.

Manakala untuk sut yang mempunyai corak seperti jalur yang lebih besar atau mempunyai corak berbunga, anda boleh mengenakan tudung yang tidak bercorak dan lilitan tudung perlulah kemas bagi menonjolkan kredibiliti dan profesional.

Elakkan daripada memilih material fabrik seperti jenis satin kerana berkilat dan terlalu menonjol. pemilihan fabrik seperti kapas dan chiffon adalah sangat sesuai dan disarankan.

Pastikan keseluruhan warna busana termasuk tudung yang dipilih tidak melebihi tiga jenis warna.

4. Kasual

Bagi sesetengah syarikat mereka tidak kisah untuk kakitangan mengenakan pakaian lebih santai asalkan selesa dan sesuai dengan karakter syarikat itu sendiri.

Di sini, anda boleh bereksperimen dengan pelbagai jenis tudung yang anda ingin gayakan. Namun, berbalik kepada perkara asas iaitu perlu sesuai dengan pakaian.

Misalnya anda mengenakan skirt labuh dan kemeja-T yang berona lembut, anda boleh mengenakan warna tudung yang lebih terang daripada pakaian berkenaan. Tudung berkenaan secara tidak langsung menjadi titik fokal dalam gaya anda.

5. Aksesori tudung

Untuk ke pejabat atau bertemu pelanggan, anda perlu lebih berkonsep sederhana. Pemilihan aksesori disarankan lebih ekslusif dan lebih menawan.

Aksesori yang terlalu besar, berlebihan dan juga berkilauan ketika di pejabat akan memberi kesan ketidakseimbangan dalam pemilihan cita rasa berfesyen serta menjadikan pergerakan atau pandangan rakan sekerja tidak selesa kerana terlalu menonjol.

Lilitan tudung juga tidak perlu menggunakan terlalu banyak 'pin' peniti kerana jika anda perlu menunaikan solat dan mengambil wuduk, ia memerlukan masa untuk membuka serta memakai semula 'pin' peniti atau aksesori itu.

Perlu disematkan dalam diri anda bahawa sebaik baiknya pemakaian dan pemilihan aksesori untuk ke pejabat, tidak perlu sarat, berkilat, bersesuaian dan tidak terlalu ketat. Gabungan semua ciri-ciri di atas akan menampakkan bahawa anda seorang yang profesional dan rakan sekerja selesa dengan anda!

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Julai 2022 @ 6:17 AM