Shuhada Mansor

SHUHADA MANSOR beri gambaran idea beberapa gaya boleh dicuba.

Berhijab tidak menghalang untuk berfesyen, ada teknik boleh digabungkan untuk nampak ‘trendy’ dan bergaya.

Tudung satu ton menjadi kegilaan hijabista masa kini. Bukan hanya si gadis bahkan wanita berhijab juga setuju jika tudung satu warna lebih menarik dan mudah digayakan.

Kebanyakan baju bercorak lebih menarik disesuaikan dengan tudung jenis ini. Jika baju berwarna-warni dan tudung pula bercorak, pasti penampilan nampak ‘serabut’ dengan banyak warna.

Gen Y kongsikan dua idea yang boleh anda cuba pada situasi berbeza. Gaya formal dan santai menjadikan hijabista kini lebih trendy dan berani.

Formal

Memilih tudung krim untuk pemakaian ke majlis formal adalah pilihan tepat. Warna ini menampilkan imej ceria, profesional dan yakin dalam hubungan sosial. Warna ‘selamat’ ini boleh digayakan dengan kain atau seluar warna lebih terang jika mahukan kelainan.

Gabungan dengan ‘blazer’ atau kardigan jenis kimono bercorak melengkapkan lagi gaya untuk membuat pembentangan di kuliah atau perjumpaan di pejabat.

Dengan aksesori minimum ditambah pula dengan beg tangan sesuai, gaya ini menjadikan anda nampak berkeyakinan dan profesional. Lengkapkan imej ini dengan identiti tersendiri pastinya menarik orang sekeliling lebih yakin dengan idea anda.

Santai

Aktiviti hujung minggu dengan rakan menjadikan hari anda lebih panjang. Pemilihan tudung warna hijau dengan gaya turban adalah idea terbaik untuk imej santai.

Ada berpendapat, warna ini sesuai digayakan dengan apa saja jenis pakaian. Jean antara jenis pakaian paling tepat boleh digabungkan. Kombinasi warna dengan gaya ini memberi mesej penampilan tidak formal dan lebih mesra.

Lilitan turban ditambah dengan aksesori anting-anting tidak ada salahnya jika dilengkapkan dengan kasut sneakers. Unsur ‘sporty’ menampakkan penampilan catchy dan stail cara anak muda. Jangan ragu-ragu jika anda rasakan ia menarik untuk dipakai. Berani cuba pelbagai gabungan gaya pastinya membuatkan anda kelihatan cukup selesa dengan imej sendiri.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 April 2016 @ 5:00 AM