PILIH rona dan corak yang boleh menunjukkan peralihan warna seluar dan kasut.
PILIH rona dan corak yang boleh menunjukkan peralihan warna seluar dan kasut.
Hafiz Ithnin


STOKIN pastinya salah satu pakaian yang tidak boleh diketepikan kepentingannya kepada si pemakai. Ia bukan sekadar menjadi pelengkap dalam berbusana malah memberi keselesaan dan mempunyai elemen keselamatan.

Dunia fesyen yang sentiasa maju ke depan memberi peluang kepada orang ramai untuk bereksprementasi dalam pemakaian termasuk menyarungkan stokin.

Penganalisis Fesyen, Faizal Hamid berkata, jika dahulu pemakaian stokin perlu mengikut 'buku manual' tersendiri kerana ia tidak mahu kelihatan melanggar protokol di dalam pemakaian.

"Namun, pada hari ini pemakaian stokin sudah menjadi salah satu fesyen yang menunjukkan identiti si pemakai itu sendiri.

"Tidak ada lagi isu ia boleh atau tidak untuk digayakan. Perkara asas yang perlu diambil kira adalah kesesuaiannya untuk disarungkan dalam budaya, kepercayaan, masyarakat itu sendiri atau acara yang ingin dihadiri si pemakai," katanya.

Justeru, Faizal Hamid berkongsikan lima perkara yang perlu diambil tahu si pemilik tubuh sebelum mereka ingin menyarungkan sepasang stokin.

1. Protokol

Walaupun pada hari ini berbusana adalah ekspresi diri tetapi perlu diingatkan bahawa tidak semua pemakaian yang pada hemat si pemakai sesuai tetapi dilihat sebaliknya dalam budaya atau acara tertentu.

Perkara ini penting untuk si pemakai menyarungkan pasangan stokin mereka itu supaya tidak nampak canggung di dalam sesebuah acara.

Misalnya dalam acara rasmi, anda menyarungkan sut dan kasut kulit yang formal tetapi mengenakan stokin jenis sukan di paras buku lali.

Mungkin pada hemat anda, stokin tidak akan nampak kerana ia berada di sebalik seluar tetapi perlu diingatkan dalam situasi luar jangka seperti ketika duduk atau memerlukan si empunya diri membuka kasut, akan jelas kelihatan stokin yang anda sarungkan.

Untuk majlis formal sebaik-baiknya sarungkan pasangan stokin yang mempunyai ketinggian melebihi buku lali dan sesuai dengan rona busana utama yang disarungkan.

2. Warna

Pada hari ini terdapat pelbagai warna stokin ditawarkan di pasaran dan bagi mereka yang berani pastinya memilih rona terang kerana pada hemat peribadi ia adalah nilai berpakaian yang perlu ditonjolkan.

Sebaik-baiknya jika di dalam acara rasmi pastikan warna yang disarungkan mempunyai kesinambungan dengan warna kasut supaya ia tampak lebih serasi dalam peralihan rona kasut dan seluar.

3. Tekstil

Pemilihan tekstil tidak kurang pentingnya kerana ia memberi keselesaan kepada si pemakai stokin. Kebanyakan stokin yang dijual di pasaran diperbuat daripada pelbagai bahan campuran.

Paling popular pastinya adalah jenis kain kapas kerana ia lebih murah dan mempunyai kesesuaian untuk cuaca panas. Jadi bahan ini dicampurkan biasanya dengan bahan seperti lycra yang memberi keselesaan kepada si pemakai.

Tekstil jenis bulu juga ada yang digunakan untuk membuat stokin. Bahan ini agak jarang berada di pasaran kerana untuk pemakaian kasual. Biasanya digunakan untuk aktiviti sukan seperti mendaki kerana ia memberi rasa hangat kepada kaki.

Tidak sekadar itu, terdapat satu lagi tekstil yang agak mewah digunakan iaitu campuran sutera dan bulu kambing kashmir. Bahan ini digunakan untuk menghasilkan sepasang stokin yang menonjolkan kemewahan kepada si pemakai.

Sebagai pembeli anda perlu tahu jenis tekstil stokin yang akan disarungkan mengikut kesesuaian acara dan fungsi. Jangan pula stokin ke pejabat digunakan untuk aktiviti bersukan!

4. Corak

Ketika ini permukaan stokin tidak lagi ditawarkan dalam bentuk polos. Malah lukisan animasi turut ditawarkan kepada sepasang stokin yang akan disarungkan orang dewasa.

Bagi mereka yang mempunyai personaliti berani dan ingin menunjukkan gaya santai, pastinya corak yang berwarna warni dan mempunyai animasi menjadi pilihan.

Seperti dikatakan di awal tadi, ketika ini tiada lagi manual pemakaian stokin. Jadi, anda boleh memakai pelbagai corak yang diinginkan. Namun, perlu diingatkan kebebasan itu juga perlu bersandarkan kepada situasi semasa.

5. Kebersihan

Meskipun stokin dipakai di bahagian dalam tetapi jangan ketepikan soal kebersihan dan kemampuannya untuk berfungsi dengan baik.

Pastikan stokin yang disarungkan dalam keadaan bersih dan fungsinya masih mampu berada 'kukuh' untuk membaluti kaki anda.

Perkara ini kerana mungkin bagi segelintir individu, kedudukan stokin yang berada di dalam kasut dan tertutup dengan seluar, maka soal kebersihannya tidak perlu diambil peduli.

Namun bagaimana sekiranya tiba-tiba anda perlu membuka kasut? Pasti akan kelihatan sisi lain peribadi anda yang mungkin keadaan stokin sudah berlubang atau kotor. Lebih memburukkan keadaan ia jarang dibasuh sehingga mengeluarkan bau yang kurang menyenangkan apabila anda perlu membuka kasut.

Perlu diingatkan kebersihan stokin amat penting demi kesihatan kaki anda sendiri!

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 January 2022 @ 6:45 AM