GABUNGAN jalur dan corak lain boleh memberi keunikan tersendiri jika bijak acu dan padan.
GABUNGAN jalur dan corak lain boleh memberi keunikan tersendiri jika bijak acu dan padan.
Hafiz Ithnin

DI pasaran jika ingin membeli pakaian, sudah pastinya kita amat menitikberatkan bukan sahaja mengenai kualiti fabrik, tetapi rona dan corak yang mampu memberi aura kepada tubuh apabila sudah memilikinya.

Jelas menunjukkan corak seperti jalur sudah lama berada di pasaran selain melalui pelbagai evolusi zaman kerana ia mempunyai peminat tersendiri.

Penganalisis fesyen, Faizal Hamid berkata, dapat dilihat di pasaran tempatan dan antarabangsa gaya reka corak jalur klasik sama ada melintang, menegak atau serong dalam pelbagai warna atau saiz pilihan fabrik.

"Trend jalur di pasaran ini didatangkan dalam variasi dan interpretasi gaya yang paling ceria, berani serta menarik.

"Lebih menyerlah adalah jalur dalam rona yang paling terang dan menambat pandangan mata. Antara yang menjadi pilihan adalah jalur dalam fabrik berkait (knit) seperti 'ribbed top', skirt dan gaun dalam jalur warna pelangi (gayakan ia dengan padanan aksesori dan kasut tinggi rona metalik)," katanya.

JIKA tidak berani menggunakan jalur keseluruhannya boleh pilih pakaian yang mempunyai konsep perhiasan jalur.
JIKA tidak berani menggunakan jalur keseluruhannya boleh pilih pakaian yang mempunyai konsep perhiasan jalur.

Katanya, untuk gaya yang lebih bersahaja dan santai padankan dengan 'distressed denim' serta 'flat mules' kerana idea penggayaan adalah tidak terbatas mengikut cita rasa anda sendiri.

"Uniknya reka corak jalur, ia antara trend yang cukup versatil, kontemporari, senang diadaptasi serta segar digayakan siang hingga malam untuk pelbagai acara.

"Lebih penting, trend reka corak jalur cukup malar segar dan hebat dipakai oleh semua orang," katanya.

Justeru, Faizal kongsikan panduan mudah bagi menggayakan reka corak jalur:

1.Pastikan anda memilih rekaan fesyen jalur yang sesuai personaliti dan bentuk badan. Secara psikologi, jalur serong membuatkan diri lebih menarik berbanding jalur melintang.

Jalur halus pada skirt atau seluar dapat memberikan ilusi ketinggian yang lebih daripada realiti sebenar. Apapun cuba bereksperimentasi terlebih dahulu sebelum membuat sebarang pembelian.

2.Suntik warna ceria dalam reka corak jalur sebagai alternatif yang mudah bagi jalur monokromatik yang ada dalam almari anda. Cuba gayakan warna biru dan merah terang yang dipadankan dengan putih atau cuba eksprementasi dengan variasi rona terang seperti jalur lebar dalam rona kontras warna pelangi untuk mendapatkan penampilan yang lebih edgy.

RONA jalur yang pelbagai di pasaran menjadikan trend ini semakin diminati.
RONA jalur yang pelbagai di pasaran menjadikan trend ini semakin diminati.

3.Jalur antara reka corak yang paling senang untuk kita suai padan dengan apa sahaja. Ia juga boleh memberi dimensi dan karakter pada penampilan keseluruhan.

Hanya dengan tambahan lapisan pakaian dalam corak jalur yang ringkas, dapat menyuntik elemen segar pada padanan pakaian yang kita gayakan.

4.Jalur juga mudah dan menarik digayakan dengan reka corak kontras yang lain. Konsep acu dan padan, kombinasi jalur dengan reka corak lain dalam variasi tekstur dapat menjadikan penampilan lebih santai dan urban.

Namun, pilih hanya satu corak bagi mendominasi gaya keseluruhan. Pastikan anda memilih koordinasi warna yang tepat dan reka corak dalam skala atau saiz yang pelbagai untuk mendapatkan kadar banding yang terbaik bagi potongan badan anda.

5.Bagi yang gemarkan gaya tenang, tetapi masih mahu mencuba trend jalur boleh cuba gayakan hanya sedikit sentuhan jalur seperti di lengan baju atau di hujung kain.

Susun letak dan kedudukan jalur yang betul dan menarik dapat menceriakan personaliti anda.

KEMEJA berjalur sentiasa mendapat perhatian.
KEMEJA berjalur sentiasa mendapat perhatian.

6.Selalunya top jalur seperti kemeja, blaus dan kemeja-T menjadi pilihan bagi menggayakan trend ini. Namun, untuk musim ini, reka corak jalur dalam padanan seperti blazer, sweater, seluar, skirt atau gaun menjadi ikutan.

Dapatkan juga aksesori seperti beg clutch, skaf dan kasut tumit tinggi dengan elemen jalur. Gunakan imaginasi untuk mempelbagaikan gaya.

7.Jangan takut untuk bereksperimentasi dengan reka corak jalur. Reka corak jalur klasik tidak semestinya perlu kelihatan hambar dan biasa.

Cuba berani pilih pelbagai dimensi, saiz, warna dan arah jalur untuk dapatkan gaya yang paling menyerlah untuk anda.

8.Reka corak jalur antara trend yang paling mudah dan segar digayakan siang hingga malam untuk pelbagai acara. Lebih penting, gaya reka corak jalur cukup malar segar dan hebat dipakai semua orang.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 9 November 2021 @ 6:30 AM