GOLONGAN selebriti juga gemar bergaya dengan kemeja tartan.
GOLONGAN selebriti juga gemar bergaya dengan kemeja tartan.
Faizatul Farlin Farush Khan


Antara gaya fesyen yang sentiasa kelihatan menarik disarung oleh wanita tanpa sedikit pun menjejaskan sisi feminin mereka ketika berpakaian ialah kemeja tartan.

Tartan merujuk kepada corak berpetak yang bertindan antara satu sama lain secara menegak dan melintang, dalam dua atau lebih gabungan warna.

Corak itu diperkenalkan sejak sekitar kurun ke-18. Malah, fabrik itu dipakai bangsa Celtic bermula kurun kelapan sebelum ia menjadi popular apabila disarung oleh penduduk Scotland di bahagian tanah tinggi.

Selama berkurun, penduduk di sana memakai pakaian daripada fabrik bercorak tartan dan hidup bebas daripada ancaman kuasa asing di tanah mereka.

Sekitar 1746, British menggubal undang-undang yang mengharamkan pemakaian baju bercorak tartan sebagai simbol pemberontakan terhadap pemerintahan kerajaan itu selain satu cara penduduk Scotland memberontak.

Namun apabila undang-undang itu dihapuskan pada 1782, tartan kembali menjadi pakaian kebangsaan Scotland.

Selepas ratusan tahun berlalu dan tartan tidak lagi menjadi simbol pemberontakan, ia tetap popular dan digemari ramai termasuk dalam dunia fesyen.

Pada asalnya, corak tartan dihasilkan daripada bulu yang ditenun menjadi fabrik tetapi kini, terdapat banyak corak tartan dihasilkan pada material jenis lain.

Tartan mempunyai kaitan rapat dengan Scotland dan antara pakaian tradisinya ialah kain paras lutut yang dilipat seakan-akan skirt dan dipakai oleh lelaki.

Kemeja diperbuat daripada corak tartan mempunyai gaya versatil dan boleh diperagakan dengan pelbagai cara untuk membuatkan penampilan kelihatan lebih menarik.

Ia menjadi pilihan kerana bukan saja mudah dipadankan dengan apa juga pakaian, ia membuatkan pemakai kelihatan bergaya tetapi santai.

Antara cara yang digayakan oleh wanita adalah memadankannya dengan skirt pendek, seluar jean, disarung di atas baju-T tanpa dibutang, diikat pada

bahagian hujungnya, diikat di pinggang ataupun dipakai di bawah baju panas tanpa lengan.

Selain itu, kemeja tartan yang bersaiz besar juga boleh disarung sebagai kardigan dan kelihatan menarik digayakan dengan seluar jean.

Penggunaan aksesori tambahan seperti skaf yang diikat pada kolar mampu membuatkan pemakaian kemeja tartan kelihatan lebih bergaya dan lari daripada kebiasaan.

Pada masa sama, tidak semestinya kemeja tartan tidak boleh dipadankan dengan pakaian lain yang bercorak, seperti beg tangan atau kasut, biarpun kemeja itu sendiri sudah mempunyai coraknya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 April 2016 @ 12:08 PM