PEMAKAIAN kasut formal jadi pelengkap dalam busana.
PEMAKAIAN kasut formal jadi pelengkap dalam busana.
Hafiz Ithnin


DALAM acara formal tidak dinafikan pentingnya aspek pemakaian kerana terikat dengan etika tertentu dan semestinya kehadiran anda dalam acara rasmi tidak seharusnya dilihat canggung.

Salah satu elemen berbusana yang tidak boleh dipandang ringan adalah kasut kerana ia sering menjadi perhatian khalayak.

Sekiranya padanan kasut dan busana tidak serasi, pastinya menonjolkan gaya kurang menarik dan mungkin menjadi bualan khalayak. Apatah lagi, jika anda menghadiri majlis berprestij.

Penganalisis fesyen Faizal Hamid berkata, 'dress shoes' atau kasut khusus untuk acara formal dan semi-formal dikenali sejak awal abad ke-20.

Jelasnya, tradisi pemakaian kasut ini dikatakan bermula di benua Eropah khususnya dari golongan intelektual Itali dan Inggeris.

DOUBLE monk strap shoes antara gaya elegan.
DOUBLE monk strap shoes antara gaya elegan.

"Kasut acara formal ini hingga kini menjadi pilihan lelaki kerana rekaan dan material atau bahan yang digunakan cukup versatil serta malar segar.

"Material yang digunakan dalam pembuatan 'dress shoes' juga pelbagai seperti kulit, sued dan kanvas. Kini ada juga yang menggayakan 'dress shoes' untuk penampilan 'smart casual'," katanya.

Tambahnya, secara amnya ada empat jenis kasut formal yang wajib ada dalam almari lelaki yang pentingkan keterampilan dalam gaya berpakaian iaitu oxford, derby, monk strap dan brogue.

OXFORD shoes antara kasut formal yang sering digayakan.
OXFORD shoes antara kasut formal yang sering digayakan.

- Kasut oxford mulanya dikenali di institusi pendidikan Inggeris. Golongan siswa yang dikenali sebagai Oxfornians memakai kasut oxford untuk acara tertentu di kawasan kampus. Pastikan anda miliki kasut oxford dalam rona hitam, ia cukup segak digayakan dengan sut sebagai pelengkap penampilan.

- Sementara itu, kasut jenis derby pernah dikenali sebagai kasut khusus untuk aktiviti olahraga atau kegiatan memburu. Seiring perkembangan era fesyen kontemporari, kasut derby berkembang menjadi kasut semi-formal, tetapi masih mengekalkan 'siluet sporty' seperti awal kemunculannya.

Gayakan padanan kasut derby dan 'briefcase' rona serupa untuk lebih gaya. Material sued dalam rona coklat gelap (dark brown) paling popular dan menjadi pilihan lelaki yang pentingkan gaya.

PEMAKAIAN kasut formal perlu sesuai dan selesa.
PEMAKAIAN kasut formal perlu sesuai dan selesa.

- Kasut jenis monk strap pula sangat unik kerana gabungan elemen oxford dan derby dalam rekaan keseluruhannya. Istimewanya kasut derby ini selalunya didatangkan dalam edisi dual fabrik. Ia tidak mempunyai tali, tetapi ada elemen seperti tali pinggang, di mana terdapat cangkuk atau kancing logam yang berfungsi sebagai pengikat kasut ini.

Dengan siluet klasik, kasut monk strap juga dapat memperlihatkan sisi formal pada gaya lelaki yang memakainya.

- Untuk kasut jenis brogue, dengan elemen rekaan seperti lubang-lubang kecil yang menghiasi bahagian luar kasut. Material yang selalu digunakan bagi menghasilkan kasut brogue adalah 'saturated leather'.

- Sebelum mencuba kasut yang mahu dibeli, cuba minta ukur tapak kaki anda dahulu. Anda mungkin rasa anda tahu saiz kaki anda, tetapi mungkin juga anda salah kerana kadangkala saiz kasut berbeza antara satu jenama dengan jenama lain.

Apabila anda menyukai rekaan kasut tertentu dan anda mahu mencuba, pastikan anda memakainya sambil berjalan-jalan di sekitar kedai atau premis terbabit.

Dengan cara ini kita boleh rasakan keselesaan kasut itu. Beli beberapa kasut dan pakai secara bergilir-gilir supaya tahan lama.

Pastikan kasut anda sentiasa bersih dan kilatkan selalu (jika perlu).

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Februari 2022 @ 6:30 AM