Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) menerima cenderahati daripada Tan Sri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani (dua, kanan) sempena lawatan kerja ke tapak Operasi Sime Darby Plantation Berhad di Pulau Carey, hari ini bersama Datuk Seri Johari Abdul Ghani (dua, kiri) dan Amir Hamzah Azizan (kiri). FOTO BERNAMA
Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) menerima cenderahati daripada Tan Sri Dr Nik Norzrul Thani Nik Hassan Thani (dua, kanan) sempena lawatan kerja ke tapak Operasi Sime Darby Plantation Berhad di Pulau Carey, hari ini bersama Datuk Seri Johari Abdul Ghani (dua, kiri) dan Amir Hamzah Azizan (kiri). FOTO BERNAMA
BERNAMA

Banting: Sektor perladangan digesa tidak melakukan penebangan hutan baharu untuk penanaman sawit sebaliknya menambah baik penggunaan teknologi bagi meningkatkan pengeluaran dan pendapatan.

Menteri Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata ia adalah antara tiga perkara utama yang ditekankan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika sesi taklimat tertutup bersama pengurusan tertinggi Sime Darby Plantation (SDP) Berhad sempena lawatan kerja beliau ke tapak operasi syarikat konglomerat itu di Pulau Carey, dekat sini, hari ini.

Johari berkata perladangan adalah antara sektor terbesar yang menyumbang kepada ekonomi negara dan Perdana Menteri mahu melihat sektor tersebut memenuhi beberapa aspek termasuk meningkatkan penggunaan teknologi.

"Perdana Menteri kata kita tidak mahu penebangan hutan berlarutan sebaliknya kekal dengan apa yang ada tetapi dalam masa sama kita mahu meningkatkan hasil dan antara caranya adalah dengan penggunaan teknologi," katanya ketika ditemui pemberita selepas sesi taklimat tersebut yang turut disertai Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Johari berkata peningkatan penggunaan teknologi bukan sahaja dapat meningkatkan hasil sawit tetapi turut membantu dalam usaha kerajaan mengurangkan kebergantungan kepada tenaga buruh asing.

"Dalam hal ini, Perdana Menteri berkata cuma apabila kerja-kerja 3D (kotor, bahaya dan sukar) sahaja akan menggunakan khidmat mereka (buruh asing)," katanya.

Selain itu, katanya, Anwar turut menggesa sektor perladangan mengguna pakai teknologi yang dihasilkan syarikat pemula niaga tempatan bagi menyokong perkembangan syarikat berkenaan.

Menurutnya, Perdana Menteri juga berharap syarikat pemula niaga dapat memperkenalkan teknologi mereka yang telah berjaya dihasilkan bagi memastikan ia dapat dijual kepada pemain industri perladangan.

Sementara itu, Johari berkata, pemain industri perladangan perlu mencontohi SDP yang berjaya membangun dan mengguna pakai teknologi mesin baharu dalam sektor sawit.

Beliau berkata penggunaan teknologi yang diguna pakai SDP berjaya memperluaskan skop kerja di ladang kepada 12.5 hektar bagi seorang pekerja berbanding lapan hektar bagi seorang pekerja sebelum ini.

Menurutnya, beliau juga sedia mempertimbang untuk memastikan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) mengguna pakai sebahagian teknologi yang digunakan oleh SDP dalam operasi harian lembaga itu.

"Kemudian kita akan perkenalkan kepada semua pemain industri kepala sawit untuk mereka tengok dan buat serta guna pakai teknologi seperti digunakan SDP ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2024 @ 11:22 PM