6 sepatu edisi terhad ada hubung kait budaya pop sejak enam dekad.
6 sepatu edisi terhad ada hubung kait budaya pop sejak enam dekad.
Intan Mas Ayu Shahimi


Enam dekad lalu, jenama sepatu global Hush Puppies (HP) buat julung kalinya mengeluarkan kasut daripada material suede. Siapa tahu, koleksi berkenaan mencetus revolusi dalam fesyen sekali gus menampilkan cara menggayakan kasut hingga ke hari ini.

Sentiasa tampil dengan rekaan unik dan tersendiri, HP kini dikenali sebagai jenama sepatu moden dan kasual kerana komitmennya menghasilkan variasi kasut klasik dan sentiasa menjadi gaya serta pilihan ramai.

Malah dalam sejarah 60 tahun jenama ini di pasaran dunia, HP tampil dengan rekaan yang dekat di hati penggemar sepatu seperti Chukka, Walla, Oxfords, Derby, Sneaker dan Sandal.

Mengekalkan gaya klasik dan kasual pada setiap rekaannya, baru-baru ini HP menampilkan koleksi inovasi yang dihasilkan menerusi teknologi kasutnya yang tersendiri.

Semua sepatu edisi terhad itu dilancarkan serentak dalam acara gilang-gemilang bertemakan Hush Puppies 60th Anniversary Thru The Decades di ruang legar kompleks beli-belah 1 Utama, 25 April lalu.

Decades Collection mengetengahkan enam rekaan terbaru dan pada masa sama turut memperkenalkan sepatu Icon58, Shiba Brogue Oxford. Koleksi edisi terhad itu bagaimanapun hanya boleh didapati di butik HP terpilih iaitu di 1 Utama, Pavilion, City Square dan Gurney Paragon.

Pemangku Presiden Pembangunan Produk Globalnya Kerry Hartman menjelaskan, inspirasi di sebalik Decades Collection berkait dengan aliran fesyen dan budaya pop di setiap dekad, bermula sejak jenama itu ditubuhkan pada 1958, sehingga 2000.

“Hush Puppies Icon58 Collection, menampilkan The Shiba Brogue Oxford yang amat bersesuaian dengan gaya fesyen kasual terkini. Koleksi dengan perincian tapak ‘shadow dog’ ini ternyata sungguh praktikal dan selesa untuk digayakan,” katanya.

Dijual pada harga RM699, ikuti pengembaraan dari 1958 hingga 2018, apabila setiap rekaan kasut ini disuntik semangat kegembiraan dan kebebasan gaya kasual yang sinonim dengan HP.

1958 - Bernard 58 Oxford

Rekaan era 50-an ini cukup bergaya dan praktikal. Struktur bulu kuda dan baldu pada bahagian luar berserta kekuatan tapak yang tidak boleh dipertikaikan, memberi keselesaan pada si pemakai. Rekaan ini boleh jadi item harus milik jika anda mahu suntikan elemen vintaj dalam fesyen harian.

1960 - Bernard 60s Oxford

Gaya ‘throwback’ yang akan diminati musim ini. Diinspirasikan dari era 60-an, zaman penjajahan British, memiliki ciri seni minimalis dan mood fesyen, rekaan vintaj ini akan menyerlahkan aura bintang rock dalam diri anda. Suai padankan bersama celana denim kegemaran untuk imej yang segar dan bergaya.

1980 - Bernard 80s Oxford

Inilah gaya ikonik era 80-an yang terbaik dibawakan jenama ini untuk peminat setianya. Direka dalam rona neon berserta butiran di bahagian belakang kasut, sepatu ini ini pasti menyuntik keunikan pada gaya anda.

1990 - Bernard 90s Chukka

Gaya 90-an penuh ikonik. Diilhamkan dari era ‘grunge’, rekaan ini mempunyai kemasan stud berserta tali ikatan dalam rona kontra. Padankan bersama denim rabak kegemaran anda untuk menjiwai dan meraikan fesyen ala 90-an.

1970 - Bernard 70s Slip On

Rekaan dengan aura era 70-an ini pastinya dinanti gerobok kasut anda. Dihasilkan daripada material sleek suede bersama juraian rambu di bahagian depan, sepatu ini nampak begitu kemas dan bergaya. Rekaan tapak yang diperbuat daripada getah berkualiti memberikan keselesaan yang berterusan kepada si pemakai.

2000 - Bernard 2000 Slip On

Raikan era 2000 dengan mengenakan rekaan loafer yang menampilkan logo HP pada bahagian belakang kasut. Ia sesuai untuk gaya santai denim dan kemeja kasual atau boleh juga dikenakan bersama sut kegemaran. Rekaan ini mudah disuaipadankan dengan genre gaya yang berlainan.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 5 Mei 2018 @ 2:46 AM