PEMAIN skuad negara, Azimuddin Kamarudin (terjatuh, kanan) terlepas peluang menambah jaringan pada perlawanan menentang Korea Selatan di Stadium Azlan Shah, Ipoh, malam ini. FOTO L MANIMARAN
PEMAIN skuad negara, Azimuddin Kamarudin (terjatuh, kanan) terlepas peluang menambah jaringan pada perlawanan menentang Korea Selatan di Stadium Azlan Shah, Ipoh, malam ini. FOTO L MANIMARAN
Saiful Affendy Sapran


Ipoh: Speedy Tigers mengesahkan pertembungan dengan New Zealand bagi penentuan tempat ketiga dan keempat Piala Sultan Azlan Shah (PSAS), esok selepas menewaskan Korea Selatan, 1-0 pada aksi terakhir kumpulan, hari ini.

Keputusan itu menyaksikan skuad negara yang muncul juara pada edisi dua tahun lalu, menduduki tangga ketiga selepas lima perlawanan dengan mengumpul sembilan mata.

Pada perlawanan malam ini, penyerang, Mohamad Akhimullah Anuar Esook menjaringkan gol tunggal buat skuad negara pada minit ke-7 yang juga gol pertamanya pada edisi kali ini.

Skuad bimbingan Sarjit Singh dilihat berusaha untuk menambah jaringan selepas itu, namun beberapa peluang terbaik yang diperolehi gagal menghasilkan gol.

Babak kedua menyaksikan aksi lebih agresif dipamerkan skuad negara, namun seperti pada suku pertama dan kedua, mereka masih gagal menambah gol yang diharapkan.

Skuad bimbingan Sarjit memperoleh tujuh pukulan sudut penalti, namun kesemuanya tidak dimanfaatkan sebaik-baiknya.

Sementara itu, seperti Pakistan, Jepun turut mengekalkan rekod tanpa kalah selepas menewaskan Kanada 3-1 pada aksi terakhir.

Keputusan itu menyaksikan Jepun menduduki tangga teratas dengan 13 mata hasil empat kemenangan serta satu seri mengatasi Pakistan di tempat kedua yang meraih 11 mata selepas seri 1-1 dengan New Zealand, hari ini.

Sean Davis meletakkan Kanada di depan menerusi gol padang minit ke-42, namun Jepun bangkit dengan tiga gol selepas itu menerusi Hiro Saito (m-43), Tsubasa Tanaka (m-56) dan Kosei Kawabe pada minit terakhir perlawanan.

Pakistan dan Jepun akan bertemu pada aksi final, malam esok.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 10 Mei 2024 @ 10:31 PM