Oleh Nor Faizah Mohamed

Tradisional, namun masih menepati trend era ini. Ada sebahagiannya mencetuskan enigma tapi masih kelihatan sisi elegan si jejaka moden.

Di kala musim yang menyaksikan kebanyakan peragaan meletakkan gaya era 90-an sebagai cetusan inspirasi, LR Larrie berusaha tampil berbeza.

Secara asasnya, LR Larrie memanfaatkan sebaiknya trend zaman itu-bermulanya revolusi teknologi dan fesyen eksentrik-lalu diubah kepada paduan kasut lebih kontemporari.

Himpunan kali ini memperlihatkan koleksi malar segar yang dibahagikan kepada dua kategori menarik, Fashion Executive dan Avant-garde.

Mempertaruhkan gaya kemas dan selesa, koleksi daripada dua kategori ini dihasilkan daripada kulit premium berkualiti yang disudahi dengan sentuhan artisan untuk hasil yang lebih terperinci.

Koleksi Fashion Executive menyerlahkan kasut rekaan klasik seperti oxford dan brogue yang diberi suntikan eksentrik dengan perincian seperti gancu serta rumbai.

Sesetengah rekaan oxford ini juga menampilkan corak berlubang untuk impak lebih tradisional sementara rona hitam dan perang jadi pilihan.

Untuk himpunan Avant-garde pula, LR Larrie menyerlahkan sepatu loafer, moccasin dan brogue yang selesa dalam padanan warna berani.

Sepatu brogue direka dengan sedikit kelainan yang dicetuskan daripada rekaan oxford manakala loafer dan moccasin masih mengekalkan siluet klasik untuk gaya separa formal.

Turut dipadankan bersama beberapa koleksi beg (atau dikenali 'man bag') yang boleh memuatkan barangan asas, selain komputer riba dan tablet.

Nyata himpunan ini dicipta sebagai tafsiran baru kasut lelaki yang bukan saja berfungsi untuk pergerakan, tapi memperlihatkan gaya unik si lelaki urban.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 30 January 2015 @ 5:01 AM