BERBINCANG adalah cara mengenal lebih dekat pasangan.
BERBINCANG adalah cara mengenal lebih dekat pasangan.
Muhamaad Razis Ismail


MEMILIKI keluarga bahagia menjadi impian bagi setiap pasangan yang mendirikan rumah tangga.

Bagaimanapun, untuk mengecapi kebahagiaan pasti ada pasang surutnya. Sering kali berlaku perselisihan faham berpunca daripada tidak memahami personaliti pasangan berbeza dan berlawanan.

Sebagai contoh individu mempunyai personaliti introvert lebih tertumpu kepada karakter lebih santai dan tertutup, memendam, tidak suka menonjolkan diri dan mereka lebih suka berada dalam kumpulan yang kecil serta lebih suka bersendirian.

Berbanding pasangan dari golongan ekstrovert yang suka menonjol diri, suka berkongsi masalah dan bercerita, mempunyai keyakinan diri yang tinggi, suka berada dalam kelompok, kuat bekerja serta mempunyai cita-cita yang besar selain hebat.

Kebiasaannya pasangan yang mempunyai personaliti berbeza dan ekstrem akan sentiasa berselisih faham dengan hala tuju perkahwinan mereka.

Naib Presiden Persatuan Psikologi Malaysia (PSIMA), Dr Shazli Ezzat Ghazali berkata, seorang yang introvert biasanya akan sentiasa pentingkan kekeluargaan, memendam rasa jika berlaku konflik dan urusan kerja tidak penting bagi mereka.

"Golongan introvert juga banyak bersabar, tidak suka meluahkan perasaan dan selalu menghadapi tekanan dan kemurungan bersifat kendiri.

"Manakala seseorang yang ekstrovert pula mementingkan penonjolan diri, imej dan bagi mereka kerja adalah segala-galanya. Jika mereka dihalang melakukan kerja, luahan emosi negatif akan berlaku dan kadang-kadang mereka akan bertindak agresif terhadap pasangan mereka.

"Mereka akan menjadi dominan terhadap keluarga dan menuntut ahli keluarga ataupun pasangan memahami mereka," katannya ketika dihubungi.

Menurutnya, masalah terhadap rumah tangga ini boleh berlaku sekiranya kurang kefahaman, tidak mempunyai kemahiran komunikasi dengan baik dan tidak berupaya menjadi pendengar yang baik.

"Selain itu, kurang sifat empati, terlalu ikutkan emosi dan pemikiran kendiri tanpa menghiraukan masalah sebenar yang mereka lalui turut memberi kesan kepada rumah tangga.

"Masalah ini juga boleh berlaku kerana kurang didikan formal, agama dan sifat serta kebergantungan pada Tuhan rendah," katanya.

Bagaimanapun, dari sudut positif, apabila pasangan berbeza ini saling memahami, Dr Shazli melihat hubungan akan menjadi lebih kuat apabila mereka saling melengkapi, sekali gus mengukuhkan hubungan kekeluargaan.

"Seseorang yang ekstrovert akan memberi tumpuan kepada kerja dan seterusnya berjaya dalam kerjaya manakala seseorang yang introvert pula akan memberi tumpuan kepada keluarga dan ini secara tidak langsung menyumbang kepada keseimbangan dalam konteks sebuah keluarga.

"Pendapatan yang tinggi boleh dijana individu ekstrovert manakala keharmonian keluarga boleh dicapai dengan individu yang mempunyai personaliti introvert," katanya.

Pensyarah kanan Program Psikologi Klinikal dan Kesihatan Tingkah Laku, Fakulti Sains Kesihatan Universiti Kebangsaan Malaysia itu berkata, memahami personaliti dan keperibadian pasangan masing-masing adalah penting kerana ia menjadi agen penilai apa yang disukai dan tidak disukai pasangan masing-masing.

MANFAAT perbezaan personaliti untuk keharmonian rumah tangga.
MANFAAT perbezaan personaliti untuk keharmonian rumah tangga.

"Penilaian yang tepat mengenai personaliti ini penting untuk cuba sedaya upaya mengelak melakukan apa yang tidak disukai pasangan dan membina rasa hormat serta saling kasih mengasihi antara pasangan.

"Memang cinta tidak kenal warna kulit, saiz fizikal mahupun jenis personaliti, namun jika kita mengabaikan ilmu mengenai jenis personaliti masing-masing keupayaan kita untuk 'berdaya tindak' dengan pasangan dengan lebih baik akan terjejas," katanya.

Mengulas lanjut, sifat negatif seperti cemburu, prasangka buruk dan paranoid boleh berlaku jika pasangan tidak dapat mengawal emosi serta pemikiran pasangan masing-masing.

"Ini sudah tentu akan memberi kesan yang tidak baik pada hubungan pasangan dan mereka akan hidup dalam suasana konflik, tidak selamat selain sentiasa risau serta takut pada pasangan masing-masing.

"Berbeza jika setiap pasangan memahami personaliti masing-masing, suasana harmoni dan tenteram serta positif tercerna dalam perhubungan," katanya.

Tambahnya, memberi dan menerima kekuatan serta kelemahan pasangan adalah penting sebagai aset berharga untuk mewujudkan persefahaman sesama pasangan suami isteri.

"Apabila pasangan berbeza personaliti mempunyai persefahaman dalam hubungan ia akan menjadi kekuatan yang luar biasa dalam pembentukan keluarga yang berjaya," katanya.

Oleh itu, amat penting sebelum mendirikan rumah tangga, pasangan yang mempunyai pesonaliti berbeza perlu saling mengenali dengan lebih mendalam mengenai 'ruang' personaliti masing-masing.

"Jika mereka ingin hidup bersama, mereka seharusnya menerima pasangan masing-masing dan mencari jalan untuk saling hormat menghormati antara satu sama lain.

"Selain itu, pasangan perlu meningkatkan keupayaan komunikasi dan mencari ilmu bagi mengukuhkan hubungan cinta dan kasih sayang dengan mengamalkan rasa hormat serta empati di antara pasangan masing-masing.

"Menerusi cara ini pasangan ini akan sentiasa memberi sokongan antara satu sama lain untuk sama-sama berjaya dalam bidang masing-masing," katanya.

Beliau berkata, kedua-dua jenis personaliti ini amat berharga dalam persekitaran kita kerana mempunyai kekuatan dan kelebihan jika ia dirangsang serta dimanfaatkan secara bijaksana.

"Amat penting kita perlu memahami, menghormati, memupuk empati dan bertindak secara positif untuk mendepani isu perbezaan personaliti ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 3 November 2021 @ 6:45 AM