AHMAD Syahrir dan isteri selepas diijab kabul.
AHMAD Syahrir dan isteri selepas diijab kabul.
Nor ‘Asyikin Mat Hayin


Kuala Lumpur: Tertarik dengan personaliti isteri atau suami normal menyebabkan insan orang kurang upaya (OKU) memilih mereka sebagai pasangan hidup, selain daripada faktor jodoh.

Penyelaras Unit Perkhidmatan Orang Kurang Upaya, Pejabat Timbalan Rektor (Pembangunan Pelajar dan Penglibatan Masyarakat) Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Prof Madya Dr Aida Mokhtar berkata, kemungkinan kelebihan ini tidak dimiliki oleh orang lain.

Menurutnya, oleh itu masyarakat tidak perlu berasa pelik terhadap golongan berkenaan yang mengahwini pasangan normal.

"Kita tiada hak untuk mempersoalkan takdir jodoh mereka. Saya mempunyai bekas pelajar berkerusi roda yang berkahwin dengan orang normal.

"Bekas pelajar ini suka memuat naik gambarnya duduk di kerusi roda di samping isterinya.

"Saya lihat gambar mereka mendapat banyak tanda suka dan komen yang positif.

"Kita perlu memberi sokongan positif kerana mereka juga berhak hidup bahagia di samping keluarga," katanya.

Dalam pada itu, Aida berkata, pasangan seperti ini perlu saling memiliki sifat empati untuk lebih memahami antara satu sama lain.

"Pasangan OKU juga perlu berempati dengan pasangannya yang mungkin menghadapi pelbagai cabaran daripada segi komen negatif segelintir masyarakat yang mungkin mempersoalkan tindakannya mengahwini pasangan OKU.

"Individu normal yang mengahwini pasangan OKU adalah insan hebat kerana boleh menerima pasangan seadanya dan mempunyai kekuatan emosi luar biasa.

"Di samping itu, pasangan normal berupaya meletakkan dirinya dalam situasi pasangan OKU. Ini dapat membantu mereka lebih memahami pasangan masing-masing," katanya.

Selain itu, katanya, pasangan berkaitan juga perlu mempunyai komunikasi yang baik untuk mewujudkan persefahaman dan mengekalkan keharmonian rumah tangga.

Di samping itu, katanya lagi, luahkan sekiranya ada rasa ketidakpuasan hati dan jangan memendamnya kerana ia boleh menyebabkan keadaan bertambah rumit.


'Sentiasa usaha jadi suami sempurna'

"Walaupun saya orang kurang upaya (OKU) namun saya akan sentiasa berusaha menjadi suami yang sempurna kepada isteri.

"Ia satu daripada cara untuk menghargai keikhlasan isteri kerana sudi memilih dan menerima saya sebagai suami," kata Ahmad Syahrir Omar.

Ahmad Syahrir, 41, mengahwini isterinya, Noor Hasmeera Abdul Kadir, 34, yang juga wanita normal dua tahun lalu.

Ahmad Syahrir menjadi OKU pada usia 18 tahun kesan daripada penyakit saraf dialaminya yang menyebabkan kemampuan kedua-dua kakinya untuk berjalan beransur hilang.

Ahmad Syahrir berkata, dia mengenali isterinya menerusi satu platform atas talian dan pertemuan pertama mereka ialah selepas empat bulan berkenalan.

"Dalam pertemuan itu, saya berterus terang dengan isteri mengenai kekurangan diri dan penyakit dihadapi.

"Selepas pertemuan ini, saya tidak menyangka isteri bersetuju untuk menjadi isteri. Namun, saya terlebih dahulu melakukan solat sunat Istikharah bagi memohon petunjuk Allah SWT dan Alhamdulillah, dipermudahkan kesemuanya," katanya.

Pengusaha dobi itu berkata, tidak dinafikan sebelum mengenali isteri, dia tidak pernah memikirkan perihal untuk mendirikan rumah tangga disebabkan kekurangan diri sebagai OKU.

Katanya, namun semua itu berubah apabila melihat ada beberapa rakan yang juga OKU mendirikan rumah tangga dengan wanita normal, bahkan kehidupan mereka harmoni dan bahagia.

"Walaupun saya OKU tetapi akan jadikan hubungan ini sempurna seperti pasangan normal lain.

"Bila dikenang, memang sedih menjadi OKU, selain perlu bergantung dengan kerusi roda untuk bergerak.

"Namun saya sedar dan optimis dengan ujian ini. Saya juga yakin Allah SWT tarik rezeki tidak dapat berjalan, tetapi digantikan dengan rezeki lain iaitu dikurniakan isteri dan rakan-rakan yang sangat baik serta kewangan mencukupi," katanya.

Kata Ahmad Syahrir, malah keluarga mentua turut menerima dirinya seadanya.

Mengenai perniagaannya, Ahmad Syahrir berkata, dia memulakan perniagaan kedai dobi sejak tiga setengah tahun lalu.

Pada masa sama, dia turut menyediakan beberapa perkhidmatan lain seperti membayar pelbagai bil dan sebagainya.

Bekas atlet paralimpik Kedah itu berkata, perniagaan diusahakannya turut terkesan dengan pandemik Covid-19.

"Bagaimanapun, keadaan semakin pulih. Impian saya dalam perniagaan ialah ingin membebaskan diri daripada masalah kewangan.

"Selain itu, saya mahu menjadi idola kepada OKU lain untuk bangkit mengubah diri dan kehidupan," katanya yang menetap di Alor Setar, Kedah.

Katanya lagi, kecacatan diri bukan pengakhir kehidupan dan buktinya, ramai OKU yang berjaya tetapi tidak diketengahkan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 25 September 2022 @ 7:00 AM